AL-AFKAR #114: PERMASALAHAN BERKENAAN ADAKAH NABI KHIDIR MASIH HIDUP SEHINGGA SEKARANG

AL-AFKAR #114: PERMASALAHAN BERKENAAN ADAKAH NABI KHIDIR MASIH HIDUP SEHINGGA SEKARANG

AF 114

Soalan

Assalamualaikum, Saya ingin bertanya adakah Nabi Khidir masih hidup sehingga sekarang ada yang menyebut masih hidup dan ada yang kata telah meninggal dunia. Yang mana patut saya harus percaya.

Ringkasan Jawapan

Dalam hal hidup dan wafatnya Nabi khidir AS, para ulama berbeza pandangan berkenaan dengannya, majoriti ulama berpendapat bahawa Nabi Khidir AS masih hidup dan sebahagian daripadanya berpandangan bahawa Baginda telah wafat. Terdapat pelbagai kisah dan cerita yang telah disampaikan oleh para ulama, namun tidak ada dalil yang khusus dan nas yang jelas di dalam permasalahan ini. Pun begitu, yang jelasnya seperti yang disebutkan di dalam al-Quran dan hadis adalah kisah Nabi Musa AS pergi bertemu Nabi Khidir AS untuk belajar dan bersahabat dengannya.

Justeru dalam mempercayai hal hidup dan wafatnya Baginda AS bukanlah menjadi satu tanggungjawab yang disyariatkan kepada umat Islam dalam akidah. Malah tidak menjadi sebarang masalah untuk mengambil pengajaran dan kisah Baginda AS yang banyak disebut di dalam kitab tafsir dan juga sirah.

Huraian Jawapan

Al-Quran menceritakan kisah perjalanan Nabi Musa AS bertemu seorang hamba Allah SWT yang soleh untuk mempelajari ilmu daripadanya. Kisah ini telah dirakamkan di dalam surah al-Kahfi sepertimana firman Allah SWT:

فَوَجَدَا عَبْدًا مِّنْ عِبَادِنَا آتَيْنَاهُ رَحْمَةً مِّنْ عِندِنَا وَعَلَّمْنَاهُ مِن لَّدُنَّا عِلْمًا

Maksudnya: Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami.

(Surah al-Kahfi, 65)

Seperti yang disebut di dalam al-Quran hamba Allah yang soleh ini, menurut sebahagian pandangan ulama ia merupakan seorang wali iaitu lelaki yang soleh, dan menurut pandangan jumhur dan kebanyakan ulama dia merupakan nabi Allah AS yang digelar sebagai Khidir seperti yang diceritakan Baginda Nabi SAW. Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW bersabda:

إِنَّمَا سُمِّيَ الْخَضِرُ أَنَّهُ جَلَسَ عَلَى فَرْوَةٍ بَيْضَاءَ فَإِذَا هِيَ تَهْتَزُّ مِنْ خَلْفِهِ خَضْرَاءَ

Maksudnya: Sesungguhnya dinamakan sebagai Khadir disebabkan apabila dia duduk di atas tanah yang putih (yang kering dan tidak mempunyai tumbuhan), maka tanah yang tandus berubah menjadi hijau dan subur (setelah dia duduk di atasnya)

Riwayat al-Bukhari (3402)

Pelbagai pandangan ulama berkaitan nama sebenar Nabi Khidir AS, ada yang menyatakan bahawa nama Nabi Khidir AS adalah Iliya bin ‘Amil, Alfah bin Malkan, Balyan dan Armiya. Namun menurut pandangan yang lebih sahih, nama Baginda adalah Balya bin Mulkan. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Damiri di dalam kitabnya dengan menukilkan pandangan Imam al-Sa’labi:

والأصح الذي نقله أهل السير وثبت عن النبي صلى الله عليه وسلم، كما قاله البغوي وغيره، إن اسمه بليا

Maksudnya: Dan menurut pandangan yang lebih sahih yang menukilkan pandangan Ahli al-Sir dan jelas daripada Nabi SAW, seperti yang disebutkan oleh Imam al-Baghawi dan selainnya bahawa nama Baginda adalah Balya

(Rujuk, Hayat al-Hayawan al-Kubra, 1/382)

Berbalik kepada persoalan hidup atau wafatnya Nabi Allah Khidir AS, para ulama berbeza pendapat berkenaan dengannya. Imam al-Nawawi berpendapat bahawa Nabi Khidir AS masih hidup sehingga sekarang, dan ini juga merupakan pandangan jumhur ulama. Imam al-Nawawi menyebut di dalam karyanya Syarh Sahih Muslim:

جُمْهُورُ الْعُلَمَاءِ عَلَى أَنَّهُ حَيٌّ مَوْجُودٌ بَيْنَ أَظْهُرِنَا وَذَلِكَ مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ عِنْدَ الصُّوفِيَّةِ وَأَهْلِ الصَّلَاحِ وَالْمَعْرِفَةِ وَحِكَايَاتُهُمْ فِي رُؤْيَتِهِ وَالِاجْتِمَاعِ بِهِ وَالْأَخْذِ عَنْهُ وَسُؤَالِهِ وَجَوَابِهِ وَوُجُودِهِ فِي الْمَوَاضِعِ الشَّرِيفَةِ وَمَوَاطِنِ الْخَيْرِ أَكْثَرُ مِنْ أَنْ يُحْصَرَ وَأَشْهَرُ مِنْ ان يستر

Maksudnya: Mejoriti ulama berpendapat bahawa Khidir masih hidup dan ada di kalangan kita, dan ini juga pandangan yang disepakati di sisi ahli Sufi (Tasawwuf), ahli Salih dan Ma’rifah, Dan kisah-kisah mereka pada melihatnya, berhimpun dengannya, mengambil pengajaran daripadanya dan bersoal jawab bersamanya dan kehadirannya di tempat-tempat yang mulia dan tempat-tempat yang baik terlalu banyak untuk dihitung dan terlalu mahsyur untuk dirahsiakan.

(Rujuk Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 15/135-136)

Begitu juga pandangan imam al-Tha’labi dengan menyatakan bahawa Nabi Khidir AS hidup sehingga akhir zaman dan wafat ketika diangkatnya al-Quran. Ini seperti yang dinukilkan oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani di dalam kitabnya:

وَقَالَ الثَّعْلَبِيّ: " يُقَال إِن الْخضر لَا يَمُوت إِلَّا فِي آخر الزَّمَان عِنْد رفع الْقُرْآن ".

Maksudnya: Al-Tha’labi berkata: Dikatakan sesungguhnya Khidir tidak wafat melainkan pada akhir zaman ketika mana al-Quran diangkat.

(Rujuk, al-Isobah fi Tamyiz al-Sahabah, 2/252)

Selain itu, mereka yang berpendapat bahawa Nabi Khidir AS telah wafat seperti Abu Fadl bin Nasir, Qadi Abu Bakr bin al-‘Arabi dan yang lainnya, mereka berpandangan bahawa sekiranya Nabi Khidir AS masih hidup bagaimana mungkin Baginda tidak mengikut Nabi Muhammad SAW seperti yang diperintahkan oleh Baginda Isa AS seperti melakukan solat dibelakang Imam umat sekarang. Imam Abadi menukilkan daripada Imam Ibn Hajar di dalam kitabnya:

قَالَ الحافظ بن حَجَرٍ وَمِنْهُمْ أَبُو الْفَضْلِ بْنُ نَاصِرٍ وَالْقَاضِي أَبُو بَكْرِ بْنِ الْعَرَبِيِّ وَأَبُو بَكْرٍ مُحَمَّدُ بن الحسن النقاش ومنهم بن الْجَوْزِيِّ وَاسْتَدَلَّ بِمَا أَخْرَجَهُ أَحْمَدُ عَنِ الشَّعْبِيِّ عَنْ جَابِرٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَوْ أَنَّ مُوسَى كَانَ حَيًّا مَا وَسِعَهُ إِلَّا أَنْ يَتَّبِعَنِي قَالَ فَإِذَا كَانَ هَذَا فِي حَقِّ مُوسَى فَكَيْفَ لَمْ يَتْبَعْهُ الْخَضِرُ أَنْ لَوْ كَانَ حَيًّا فَيُصَلِّي مَعَهُ الْجُمُعَةَ وَالْجَمَاعَةَ وَيُجَاهِدُ تَحْتَ رَايَتِهِ كَمَا ثَبَتَ أَنَّ عِيسَى عَلَيْهِ السَّلَامُ يُصَلِّي خَلْفَ إِمَامِ هَذِهِ الْأُمَّةِ

Maksudnya: Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Dan daripada mereka Abu al-Fadl bin Nasir, al-Qadi Abu Bakr bin al-‘Arabi, Abu Bakr Muhammad bin al-Hasan al-Nuqash dan daripada mereka Ibn al-Jauzi menyimpulkan dengan apa yang diriwayatkan oleh Ahmad daripada al-Sya’bi daripada Jabir bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda. “Demi nyawaku yang berada di tangan-Nya (kekuasaan-Nya), jika seandainya Musa masih hidup, tidaklah dibenarkannya melainkan perlu mengikutiku”. Imam Ibn Jauzi berkata: “Sekiranya ini merupakan hak bagi Nabi Musa, maka bagaimana Nabi Khidir tidak mengikutinya (Nabi Muhammad SAW) sesungguhnya sekiranya beliau hidup maka beliau akan mendirikan solat Jumaat dan berjemaah bersama Baginda serta berjihad di bawah panji Baginda seperti yang disabitkan sesungguhnya Nabi Isa AS akan mendirikan solat dibelakang imam umat ini”.

(Rujuk, ‘Aun al-Ma’bud, 11/339)

Dalam hal hidup dan wafatnya Nabi khidir AS, para ulama berbeza pandangan berkenaan dengannya, majoriti ulama berpendapat bahawa Nabi Khidir AS masih hidup dan sebahagian daripadanya berpandangan bahawa Baginda telah wafat. Terdapat pelbagai kisah dan pandangan yang telah disampaikan oleh para ulama, namun tidak ada dalil yang khusus dan nas yang jelas di dalam permasalahan ini. Malah tidak menjadi sebarang masalah sekiranya berpegang pada mana-mana pandangan yang diyakini dan dirasakan selesa, namun perlu diingat bahawa isu ini merupakan titik yang diperselisihkan oleh para ulama, maka setiap muslim perlu bersikap lapang dada dalam menghadapi isu-isu khilaf yang muktabar.

Justeru dalam mempercayai hal hidup dan wafatnya Baginda AS bukanlah menjadi satu tanggungjawab yang disyariatkan kepada umat Islam dalam akidah. Syeikh ‘Atiyyah Saqr ketika menjawab berkenaan dengan persoalan adakah nabi khidir hidup atau wafat dengan menyebut bahawa:

ولم يرد نص صريح فى كونه مات أو ما زال حيا حتى يقتله الدجال ، أو أن له لقاءآت مع بعض الأنبياء أو الأولياء ، أو أنه يلقى السلام على بعض الناس فيردون عليه التحية . كل ذلك ليس له دليل يعتد به وفى الوقت نفسه لا يترتب على الجهل به عقاب ، ولا يؤثر على إيمان المؤمن ، فهو ليس من العقائد التى كلفنا بها الدين ، وأولى ألا نشغل بالبحث عنها كثيرا ، وفى كتب التفسير والتاريخ متسع لمن أراد المزيد

Maksudnya: Tidak terdapat nas yang jelas menceritakan keadaan wafat atau hidupnya Nabi Khidir sehingga Baginda membunuh Dajjal, atau Baginda berhimpun bersama sesetengan para Nabi atau para wali atau Baginda memberi dan menjawab salam kepada sesetengah manusia. Setiap kisah ini tidak terdapat dalil atau bukti yang jelas, pada masa yang sama tidak mendapat balasan (dosa) atas kejahilan berkenaannya dan tidak memberi kesan ke atas iman orang yang beriman, kerana ia bukan menjadi satu pegangan akidah yang dipertanggungjawabkan oleh agama, dan lebih baik sekiranya tidak terlalu banyak membincangkannya, malah ia banyak terkandung di dalam kitab tafsir dan sirah bagi sesiapa yang ingin menambah pengetahuan tentangnya.

(Rujuk Mausu’ah Ahsan al-Kalam Fi al-Fatwa wa al-Ahkam, 6/271)

Wallahu’alam

Bibliografi

Hayat al-Hayawan al-Kubra, Muhammad bin Musa bin Isa bin Ali al-Damiri, Dar al-Kitab al-‘Ilmiyyah Bairut, 1424H

Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj, Abu Zakaria Mahyu al-Din bin Syarf al-Nawawi, Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi Bairut, 1392H

Al-Isobah fi Tamyiz al-Sahabah, Abu Fadl Ibn Hajar al-‘Asqalani, Dar al-Kitab al-‘Ilmiyyah Bairut, 1415H

‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud, al-Azim Abadi, Dar al-Kitab al-‘Ilmiyyah Bairut, 1415H

Mausu’ah Ahsan al-Kalam Fi al-Fatwa wa al-Ahkam, ‘Atiyyyah Saqr, Maktabah Wahbah, 2010M


Cetak   Emel