IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-592: HUKUM HASIL KEUNTUNGAN PERNIAGAAN YANG MENGGUNAKAN PINJAMAN RIBA SEBAGAI MODAL

IF 592

 

Soalan

Assalamualaikum… Saya nak tanya kalau kita guna duit dari pinjaman riba, kemudian duit tu kita guna untuk mencari rezeki seperti sebagai modal memulakan perniagaan, hasil daripada perniagaan yang kita dapat tu halal dan boleh digunakan ke? Terima Kasih.

 

Ringkasan Jawapan

Pinjaman berasaskan riba adalah haram dan antara dosa besar seperti yang dinyatakan oleh Imam Nawawi. Namun begitu, hasil daripada perniagaan yang dijalankan menggunakan wang tersebut adalah halal dan boleh digunakan. Ini adalah kerana, wang yang dipinjam tersebut menjadi milik peminjam dan boleh digunakannya, pengharaman tersebut adalah kerana haram lighairihi (haram disebabkan perkara lain) iaitu kerana tolong-menolong dalam transaksi riba.

 

Kami menasihatkan agar pelaku untuk bertaubat daripada dosa yang dilakukan ini kerana ianya merupakan dosa besar. Disarankan juga agar membayar dengan segera pinjaman tersebut dan tidak melibatkan diri dengan riba dalam tempoh yang lama. Sekiranya tidak mampu, hutang tersebut boleh dibuat pembiayaan semula dengan institusi-institusi yang menawarkan pembiayaan cara Islam.

 

Huraian Jawapan

Pinjaman berasaskan riba adalah suatu perkara yang amat dilarang dalam Islam. Buktinya dapat dilihat daripada al-Quran dan Hadis. Allah s.w.t berfirman

وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَيۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْۚ

Maksudnya: Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.

(Surah al-Baqarah: 275)

 

Selain itu, terdapat juga hadis bahawa Rasulullah s.a.w melaknat orang yang terlibat secara langsung dengan riba bukan sahaja pada pemberi riba, tetapi termasuklah penerima, pembayar, pencatat dan saksi.

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ آكِلَ الرِّبَا وَمُؤْكِلَهُ وَكَاتِبَهُ وَشَاهِدَيْهِ وَقَالَ هُمْ سَوَاءٌ

Maksudnya: Rasulullah s.a.w melaknat penerima riba dan pembayar riba dan orang yang mencatatnya dan kedua-dua saksinya dan Baginda berkata mereka itu semuanya sama.

(Sahih Muslim 1598)

 

Imam Nawawi dalam al-Minhaj menerangkan bahawa hadis ini menjadi asas kepada pengharaman penglibatan secara langsung dalam transaksi riba kerana ianya dianggap sebagai tolong-menolong dalam perkara kebatilan.

هذا تصريح بتحريم كتابة المبايعة بين المترابيين والشهادة عليهما وَفِيهِ تَحْرِيمُ الْإِعَانَةِ عَلَى الْبَاطِلِ

Maksudnya: Hadis ini menjelaskan tentang pengharaman catatan perniagaan antara dua orang yang terlibat dengan riba dan saksi mereka dan padanya pengharaman tolong-menolong atas kebatilan. (Rujuk al-Minhaj Syarh Sahih Muslim 26/11)

 

Menurut Imam al-Mawardi, para ulama telah sepakat tentang pengharaman riba namun terdapat perbezaan pandangan tentang cabang-cabang berkaitan riba dan kaedah pengharamannya.

قَدْ أَجْمَعَ الْمُسْلِمُونَ عَلَى تَحْرِيمِ الرِّبَا وَإِنِ اخْتَلَفُوا فِي فُرُوعِهِ وَكَيْفِيَّةِ تَحْرِيمِهِ

Maksudnya: Sesungguhnya telah sepakat kaum muslimin (para ulama) atas pengharaman riba walaupun terdapat perbezaan terhadap perkara cabangnya dan bagaimana pengharamannya. (Rujuk al-Hawi al-Kabir 74/5)

 

Manakala pandangan oleh Imam Nawawi dalam al-Majmu’ menyatakan riba adalah salah satu dosa besar malah pengharaman riba ini turut dilakukan oleh syariat agama lain.

فَقَدْ أَجْمَعُ الْمُسْلِمُونَ عَلَى تَحْرِيمِ الرِّبَا وَعَلَى أَنَّهُ مِنْ الْكَبَائِرِ وَقِيلَ إنَّهُ كَانَ مُحَرَّمًا فِي جَمِيعِ الشَّرَائِعِ

Maksudnya: Sesungguhnya telah sepakat kaum muslimin atas pengharaman riba dan ianya merupakan salah satu dosa besar, dan ada pendapat yang menyatakan riba diharamkan pada semua syariat agama-agama lain (samawi) (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 391/9)

 

Pinjaman berasaskan riba adalah dikategorikan sebagai haram lighairihi iaitu ianya menjadi haram atas faktor larangan lain iaitu riba.

 

Imam al-Ramli dalam Fatawa al-Ramli membahagikan harta yang haram kepada dua kategori iaitu haram lizatihi (pengharaman secara zat) dan haram lighairihi (haram disebabkan perkara lain). Haram lizatihi merujuk kepada perkara yang haram kerana asalnya memang haram kerana adanya unsur keburukan, najis dan menzalimi atau menyakiti orang lain seperti arak, khinzir, zina dan sebagainya. Manakala haram lighairihi merujuk kepada perkara yang menjadi haram disebabkan faktor larangan yang lain, bukan asalnya yang haram seperti harta yang dicuri atau dirampas, riba dan judi. (Rujuk Fatawa al-Ramli 372-373/4)

 

Terdapat contoh lain bagi memudahkan pemahaman berkaitan haram lizatihi. Contohnya, solat di tanah yang dirampas. Solat pada asalnya adalah perkara yang disyariatkan tetapi ia akan menjadi dosa atas sebab tanah yang dirampas. Selain itu, solat dengan memakai pakaian yang dicuri. Solat pada asalnya adalah perkara yang disyariatkan, tetapi perbuatan tersebut dikira sebagai haram dan berdosa atas sebab pakaian yang dicuri, namun solat itu masih sah.

 

Kami juga ingin kongsikan artikel lepas berkaitan yang boleh menjadi rujukan tambahan mengenai hal ini. Artikel AL-KAFI #1617: STATUS BARANGAN YANG DIBELI DENGAN PINJAMAN KONVENSIONAL, kami telah nyatakan secara ringkas berkaitan barang yang dibeli dengan pinjaman konvensional yang mana barang tersebut menjadi milik pembeli, namun ianya haram dan berdosa kerana pinjaman tersebut adalah berasaskan riba.

 

Justeru, duit pinjaman yang diperoleh tersebut boleh digunakan oleh untuk apa sahaja kegunaan seperti menjadikan modal perniagaan. Manakala hasil dan keuntungan perniagaan yang dijalankan adalah halal sekiranya perniagaan yang dijalankan mematuhi syarak bukannya perniagaan yang haram. Dalam masa yang sama, peminjam tidak boleh membiarkan dirinya terbelenggu dengan pinjaman yang berunsurkan riba. Peminjam wajib berusaha untuk menukar kepada pinjaman yang patuh syariah, seperti membuat pembiayaan semula yang berasaskan syariah.

 

Oleh itu, haram bagi orang Islam untuk mengambil pinjaman yang berasaskan riba atas apa sahaja sebab. Tambahan lagi, di Malaysia masih terdapat alternatif pembiayaan cara Islam yang bebas dari riba. Antara alternatif lain yang boleh dipilih adalah dengan menggunakan pembiayaan islamik yang disediakan oleh Institusi Kewangan Islam atau koperasi, geran-geran dan bantuan kerajaan, pinjaman daripada ahli keluarga yang bebas daripada riba (qard al-hasan), kerjasama perniagaan (musyarakah atau mudharabah) dan sebagainya.

 

Kesimpulan

Pinjaman berasaskan riba adalah haram dan antara dosa besar seperti yang dinyatakan oleh Imam Nawawi. Namun begitu, hasil daripada perniagaan yang dijalankan menggunakan wang tersebut adalah halal dan boleh digunakan. Ini adalah kerana, wang yang dipinjam tersebut menjadi milik peminjam dan boleh digunakannya, pengharaman tersebut adalah kerana haram lighairihi (haram disebabkan perkara lain) iaitu kerana tolong-menolong dalam transaksi riba.

 

Dinasihatkan agar peminjam bertaubat daripada dosa yang dilakukan ini kerana ianya merupakan dosa besar. Kami turut ingin menyarankan untuk membayar dengan segera pinjaman tersebut dan tidak berlama-lama dalam melibatkan diri dengan riba. Sekiranya tidak mampu, hutang tersebut boleh dibuat pembiayaan semula dengan institusi-institusi yang menawarkan pembiayaan cara Islam.

 

Wallahualam.

 

Bibliografi

Al-Mawardi. 1999. Al-Hawi al-Kabir. Terbitan Darul Kutub Ilmiyyah

An-Nawawi. 1392h. Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim. Terbitan Dar Ihya’ al-Turath al-Arabiyy

An-Nawawi. T.t. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. Terbitan Darul Fikir

Al-Ramli. T.t. Fatawa al-Ramli. Terbitan Maktabah Islamiyyah

Muhammad Anas Khorfan. 2020. Al-Tasarruf bi al-Mal al-Muktasab Haraman


Cetak   Emel