AL-AFKAR #118: PILIHAN AMALAN BAIK ATAU BURUK DI TANGAN KITA

Screenshot 2021 08 06 at 11.52.31 AM

 

Soalan : 

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ وَكَّلَ اللَّهُ بِالرَّحِمِ مَلَكًا فَيَقُولُ أَيْ رَبِّ نُطْفَةٌ أَيْ رَبِّ عَلَقَةٌ أَيْ رَبِّ مُضْغَةٌ فَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ أَنْ يَقْضِيَ خَلْقَهَا قَالَ أَيْ رَبِّ أَذَكَرٌ أَمْ أُنْثَى أَشَقِيٌّ أَمْ سَعِيدٌ فَمَا الرِّزْقُ فَمَا الْأَجَلُ فَيُكْتَبُ كَذَلِكَ فِي بَطْنِ أُمِّهِ

Anas bin Malik RA, dari Nabi SAW: "Allah mengutus malaikat pada setiap rahim, kemudian malaikat tersebut mengatakan; Wahai Tuhan, apakah segumpal mani?, Wahai Tuhan, apakah segumpal darah? Wahai Tuhan, apakah segumpal daging? Jika Allah berkehendak memutuskan penciptaannya malaikat mengatakan: Wahai Tuhan apakah laki-laki atau perempuan? Adakah sengsara ataukah bahagia? bagaimana rezekinya? bila ajalnya? lantas ditulis demikian dalam perut ibunya."

(Sahih al-Bukhari)

Berdasarkan attachment atau screen shot tentang hadis itu, saya ingin bertanya kalau Allah dah takdirkan seseorang tu evil doer (pelaku maksiat) sebelum dia dilahirkan lagi.. Jadi macamana dia nak pilih jalan baik kalau dah ditakdirkan sebegitu rupa?

Jawapan Ringkas : 

Allah SWT memberikan pilihan dalam melakukan amalan baik ataupun buruk. Tidak ada paksaan bagi mereka dalam melakukan amalan mereka. 

Firman Allah SWT :

مَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الْآخِرَةِ نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ ۖ وَمَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِن نَّصِيبٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.”

Surah al-Syura (20)

Setiap hamba Allah hendaklah memperbanyakkan amalan kebaikan yang dan perbanyakan doa agar dijauhkan dari amalan yang dilarang oleh Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الرَّجُلَ لَيُحْرَمُ الرِّزْقَ بِالذَّنْبِ يُصِيبُهُ ، وَلاَ يَرُدُّ الْقَدَرَ إِلاَّ الدُّعَاءُ

Maksudnya“Sesungguhnya seseorang itu boleh terhalang dari rezeki disebabkan dosa yang dilakukannya. Tidak ada yang dapat menolak takdir kecuali doa.”

(Riwayat Ibn Majah) 

Huraian Jawapan :

Tidak dapat dinafikan setiap ketentuan makhluk sudah di tulis dan ditetapkan oleh Allah SWT. Ketetapan inilah dinamakan sebagai Qada’ dan Qadar. Sabda Nabi SAW:

إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا، ثُمَّ يَكُونُ فِي ذَلِكَ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُونُ فِي ذَلِكَ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ الْمَلَكُ فَيَنْفُخُ فِيهِ الرُّوحَ، وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ: بِكَتْبِ رِزْقِهِ، وَأَجَلِهِ، وَعَمَلِهِ، وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيدٌ، فَوَالَّذِي لَا إِلَهَ غَيْرُهُ إِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلَّا ذِرَاعٌ، فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ، فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ، فَيَدْخُلُهَا، وَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ، حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلَّا ذِرَاعٌ، فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ، فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ، فَيَدْخُلُهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap kamu dikumpulkan penciptaannya di perut ibunya dalam keadaan air mani selama empat puluh hari, kemudian berubah menjadi seketul darah selama empat puluh hari, kemudian menjadi segumpal daging selama empat puluh hari. Kemudian diutus kepadanya malaikat untuk ditiupkan kepadanya roh dan (malaikat) diperintahkan untuk menetapkan empat perkara: Menetapkan rezekinya, ajalnya, amalnya dan kesudahannya sama ada derita atau bahagia. Demi Allah yang tidak ada tuhan melainkan-Nya, sesungguhnya di antara kamu ada yang melakukan amalan ahli syurga sehingga jarak antara dirinya dengan syurga tinggal sehasta, akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, lalu dia melakukan amalan ahli neraka, maka masuklah dia ke dalam neraka. Sesungguhnya di antara kamu ada yang melakukan amalan ahli neraka sehingga jarak antara dirinya dengan neraka tinggal sehasta, akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, lalu dia melakukan amalan ahli syurga, maka masuklah dia ke dalam syurga.” 

(Sahih Bukhari)

Melalui hadis nabi SAW ini jelas kita dapat fahami setiap ketentuan Allah ke atas manusia telah ditetapkan. Hadis ini juga sepakat memberi makna yang sama dengan hadis di atas. Oleh itu, wajib bagi setiap muslim beriman dengan ketentuan ini sama ada baik ataupun buruk sesuatu ketetapan itu. Al-Kattabi menjelaskan kenyataan Nabi SAW “Sesungguhnya di antara kamu ada yang melakukan amalan ahli neraka sehingga jarak antara dirinya dengan neraka tinggal sehasta, akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, lalu dia melakukan amalan ahli syurga, maka masuklah dia ke dalam syurga.” bahawa zahir bagi amalan-amalan kebaikan dan keburukan hanya sebagai tanda bukanlah suatu kewajipan yang dikehenadaki. Manakala kesudahan sesuatu kejadian itu telah di tentukan qada’ dan qadar.[1]

[Lihat ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari: 15/132]

Namun, Allah SWT juga telah menjelaskan pada kita usaha dalam melakukan kebaikan perlu ada dan pasti akan dipermudahkan bagi mereka yang Allah inginkan kebaikan dari-Nya. Sabda nabi SAW:

مَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ السَّعَادَةِ، فَسَيَصِيرُ إِلَى عَمَلِ أَهْلِ السَّعَادَةِ، وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الشَّقَاوَةِ، فَسَيَصِيرُ إِلَى عَمَلِ أَهْلِ الشَّقَاوَةِ، فَقَالَ: اعْمَلُوا فَكُلٌّ مُيَسَّرٌ، أَمَّا أَهْلُ السَّعَادَةِ فَيُيَسَّرُونَ لِعَمَلِ أَهْلِ السَّعَادَةِ، وَأَمَّا أَهْلُ الشَّقَاوَةِ فَيُيَسَّرُونَ لِعَمَلِ أَهْلِ الشَّقَاوَةِ

Maksudnya: “Sesiapa dalam kalangan orang yang bahagia(ahli syurga), maka dia akan beramal dengan amalan orang yang bahagia(ahli syurga). Adapun, sekiranya dia daripada kalangan orang yang derita(ahli neraka), maka dia akan beramal dengan amalan orang yang derita(ahli neraka). Sabda Nabi SAW lagi: “Beramallah dan setiap orang itu akan dipermudahkan (oleh Allah SWT). Adapun orang yang bahagia akan dipermudahkan dalam beramal dengan amalan orang yang bahagia. Manakala orang yang derita akan dipermudahkan dalam beramal dengan amalan orang yang derita”. 

 Riwayat Muslim (2647)

Qadhi ‘Iyadh memberi pencerahan tentang hadis ini bahawa apabila Allah SWT menetapkan kesengsaraan atas hamba-Nya. Dia akan memudahkan jalannya untuk beramal dengan amalan orang yang mendapat kesengasaraan. Allah akan mengizinkan sebab-sebab yang membantunya melakukan perbuatan maksiat. Ini kerana manusia itu ada sesuatu yang diperolehi dari perbuatannya dan tidak ada paksaan baginya melakukan perbuatan maksiat itu.[2]

 [Lihat Ikmal al-Mu’lim bi Fawaid Muslim: 8/129]

Justeru, setiap manusia tidak mengetahui apa pengakhirannya sama ada baik atau buruk, ahli syurga atau ahli neraka dan mendapat kebahagiaan atau kesengsaraan. Tetapi Allah SWT memerintahkan setiap manusia untuk melakukan ketaatan dan berusaha meninggalkan segala bentuk maksiat. Setiap manusia juga diberi pilihan untuk melakukan di antara amalan baik dan buruk. Oleh yang demikian, tiada paksaan ke atas mereka dalam memilih sesuatu amalan sama ada baik atau buruk. 

Hal ini dijelaskan oleh Allah di dalam al-Quran: :

مَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الْآخِرَةِ نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ ۖ وَمَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِن نَّصِيبٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.”

Surah al-Syura (20)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan makna ayat ini melalui karyanya Tafsir al-Wasit, sesiapa yang inginkan adalah balasan dan ganjaran akhirat daripada amalannya maka Allah pasti akan memperkuatkannya dan membantunya untuk memenuhi hasrat itu.. Dan Allah akan memberi ganjaran terbaik untuknya. Barang siapa yang inginkan ganjaran dunia dan kebaikannya sahaja lalu mengabaikan urusan akhirat maka Allah akan mengurniakannya mengikut kehendak Allah SWT dan tidak ada baginya ganjaran hari akhirat.[3]

[Lihat Tafsir al-Wasit: 2335]

Melalui tafsiran ini, maka jelas setiap manusia memiliki pilihan dalam melakukan kebaikan atau keburukan kerana Allah tidak memaksa hamba-Nya melakukan amalan buruk mahupun amalan baik tetapi pilihan itu diberikan Allah SWT kepada manusia. Di samping akal yang dikurniakan kepada manusia oleh Allah untuk hamba-hambanya berfikir untuk memilih sama ada yang baik mahupun buruk.

Oleh yang demikian itu, setiap muslim wajib beriman kepada qada dan qadar Allah SWT. Beriman dengan qada dan qadar merupakan usul bagi kesempurnaan Iman. Ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Umar bin Khattab RA, Jibril AS bertanya kepada Nabi SAW, beritahu akan aku berkenaan dengan iman. Lalu Baginda SAW bersabda:

أَنْ تُؤْمِنَ بِاَللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ

Maksudnya: Beriman kepada Allah SWT, para malaikatNya, kitab-kitabNya, para rasulNya dan hari akhirat, serta beriman kepada takdir yang baik dan buruk

Riwayat Muslim (8)

 

Kesimpulan 

Sebagai hamba Allah SWT kita tidak boleh lari dari takdir yang telah ditetapkan Allah SWT. Namun, usaha ke arah melakukan ketaatan dan meninggalkan larangan Allah itu wajib dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan penuh pengharapan kepada Allah SWT di samping ada pilihan untuk melakukan kebaikan yang di berikan Allah kepada setiap hamba-Nya. Sertakan amalan-amalan kita dengan doa kepada Allah SWT agar di jauhkan dari perbuatan-perbuatan yang boleh menjauhkan kita dari Allah SWT.

Doa dapat menjauhkan diri kita dari ketentuan yang buruk. Oleh itu, perbanyakan doa kepada Allah SWT agar di jauhkan dari ketentuan yang buruk. Semoga dengan amalan baik dan doa-doa kita menjadikan kita sebahagian dari ketentuan Allah yang baik.

Wallahua'lam

Disediakan oleh,

Muhammad Asyraf bin Ahmad

 

[1] Abu Muhammad Mahmud bin Ahmad al-‘Aini, ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari, Beirut: Ihya’ al-Turath al-A’rabi , jld. 15 p:132

[2] Iyad bin Musa (1998), Ikmal al-Mu’lim bi Fawaid Muslim, , Mesir: Dar al-Wafa, jld. 8 p:129

[3] Wahbah al-Zuhaili (2001), Tafsir al-Wasit, Dar al-Fikr al-Mu’asir p:2335


Cetak   Emel