Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #134: ADAKAH HARUS MENGATAKAN ALLAH SWT BOLEH MENJADIKAN ZAT-NYA BERADA DI ARAH TERTENTU DI SYURGA KELAK?

ADAKAH HARUS MENGATAKAN ALLAH SWT BOLEH MENJADIKAN ZAT NYA BERADA DI ARAH TERTENTU DI SYURGA KELAK

 

ADAKAH HARUS MENGATAKAN ALLAH SWT BOLEH MENJADIKAN ZAT-NYA BERADA DI ARAH TERTENTU DI SYURGA KELAK?

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ada terdengar dalam satu video bahawa seorang ustaz berkata bahawa kita akan melihat Allah SWT di Syurga kelak dengan Allah SWT boleh menjadikan zat-Nya pada mana-mana arah tertentu untuk dilihat. Soalan saya, adakah dakwaan ini benar mengikut akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah?

Mohon pencerahan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Dakwaan bahawa Allah SWT boleh menjadikan zat-Nya pada arah tertentu di Syurga kelak adalah dakwaan yang batil dan tidak berasaskan kefahaman yang sahih terhadap sifat Allah SWT. Hal ini kerana Allah SWT tidak boleh disifatkan dengan apa-apa sifat makhluk yang bertempat, berarah, berjisim dan terhad pada batasan tertentu.

Dakwaan Allah SWT boleh menjadikan zat-Nya pada arah tertentu merupakan perkara yang mustahil pada akal. Jika kita membuat dakwaan sedemikian, maka ia membuka ruang kepada dakwaan yang lebih teruk seperti Allah SWT boleh menjadikan bagi-Nya anak dengan kekuasaan dan kehendak-Nya, sedangkan perkara tersebut batil dan mustahil.

Oleh itu, apa yang didakwa tersebut adalah tidak benar dan perlu untuk dibetulkan semula. Sesungguhnya Allah SWT tidak menyerupai mana-mana makhluk dan juga tiada makhluk yang menyerupai-Nya berdasarkan firman Allah dalam surah al-Shura’, ayat 11.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Anugerah yang terbesar di akhirat nanti ialah dapat melihat zat Allah SWT. Melihat Allah SWT termasuk dalam perkara yang harus pada akal. Menurut Imam Abu Hasan al-Asyari, keharusan orang beriman untuk melihat Allah SWT di akhirat kelak merupakan ijmak ulama ahli Sunnah Waljamaah . Firman Allah SWT:

وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَّاضِرَةٌ ‎﴿٢٢﴾‏ إِلَىٰ رَبِّهَا نَاظِرَةٌ ‎﴿٢٣﴾

Maksudnya: “Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri; Melihat kepada Tuhannya.”

Surah al-Qiyamah: 22-23

Bahkan menurut Ibn Kathir hadis berkenaan orang beriman akan melihat Allah SWT di akhirat diriwayatkan dalam pelbagai riwayat yang sahih sehingga sampai kepada kedudukan mutawatir (maknawi) . Antaranya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Jarir bin Abdullah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

خَرَجَ عَلَيْنَا رَسولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ لَيْلَةَ البَدْرِ، فَقالَ: إنَّكُمْ سَتَرَوْنَ رَبَّكُمْ يَومَ القِيَامَةِ كما تَرَوْنَ هذا، لا تُضَامُونَ في رُؤْيَتِهِ.

Maksudnya: “Suatu hari kami duduk bersama Rasulullah SAW dan Baginda melihat kepada bulan yang mengambang lalu bersabda: “Kalian akan melihat Tuhan kalian seperti mana kalian melihat bulan ini, dan kalian tidak akan mempunyai kesukaran untuk melihat-Nya.”

(Riwayat al-Bukhari)

Hukum Melihat Allah SWT Di Syurga

Kami telah membincangkan berkenaan melihat Allah SWT di syurga dalam artikel al-Afkar #107 bertajuk: Nikmat Melihat Allah SWT Di Syurga. Imam al-Tahawi dalam kitab Aqidah al-Tahawiyah menegaskan bahawa kita wajib beriman dengan perkara ini. Kata beliau:

وَالرُّؤْيَةُ حَقٌّ لِأَهْلِ الْجَنَّةِ بِغَيْرِ إِحَاطَةٍ وَلَا كَيْفِيَّةٍ

Maksudnya: Melihat Allah di akhirat bagi penduduk Syurga adalah benar, namun dengan tanpa mencakupi keseluruhan zat dan sifat-Nya dan tanpa kaifiat tertentu.[1] (Rujuk al-Aqidah al-Tahawiyyah, 43)

Di samping itu, perlu difahami bahawa sesungguh Allah SWT tidak boleh disifatkan dengan apa-apa sifat makhluk. Hal ini kerana Allah SWT tidak menyerupai mana-mana makhluk dan sama sekali tiada makhluk yang menyerupai Allah SWT. Firman Allah SWT:

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ ۖ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Maksudnya: Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya) dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.

Surah al-Shura: 11

Oleh yang demikian, Allah SWT sifat-Nya tidak bertempat, tidak berarah, tidak  berjisim, tidak terhad pada batasan dan penghujung, tidak beranggota badan sepertimana sifat-sifat makhluk. Imam al-Tahawi menegaskan hal ini dengan berkata:

تعالى الله عن الحدود والغايات، والأركان والأعضاء والأدوات، لا تحويه الجهات الستّ كسائر المبتدعات

Maksudnya: Maha suci Allah SWT daripada terikat dengan batasan dan penghujung. Maha suci Allah SWT daripada anggota dan bahagian badan serta alatan. Allah SWT juga tidak terikat dengan mana-mana daripada enam arah seperti sifat makhluk.[2] (Rujuk Akidah Tahawiyyah, 62)

Kefahaman ini menjadi asas penting dalam memahami persoalan berkaitan sifat-sifat Allah SWT dalam apa jua perbahasan dalam ilmu Akidah, termasuk perbahasan melihat Zat Allah SWT di Syurga kelak. Syeikh al-Ghunaimi menjelaskan hal ini dengan berkata:

و نقول الرؤية إلى الذات المقدسة المنزهة عن الإحاطة و الجهة حقٌّ، أيْ ثابتة لأهل الجنّة لكن بغير إحاطة بجوانب المرئي وحدوده، لتعاليه تعالى عن التناهي والاتصاف بالجوانب والحدود، ولا كيفية من مقابلة وجهة وارتسام واتصال شعاع وثبوت مسافة بين الرائي والمرئي، لأنّ هذا كلّه في رؤية الأجسام، والله تعالى ليس بجسم، فليست رؤيته كرؤية الأجسام.

Maksudnya: Kami berpandangan bahawa perbahasan melihat kepada Zat Allah SWT yang Maha Mulia pada hari Kiamat adalah tanpa meliputi keseluruhan Zat Allah SWT dan tanpa ada cara tertentu adalah benar yakni sabit bagi ahli Syurga namun tanpa meliputi sudut apa yang dilihat dan batasannya. Ini kerana Allah SWT Maha Suci daripada sifat berpenghujung dan mempunyai sudut dan batasan tertentu. Juga melihat Allah SWT di Syurga dengan tanpa cara yang tertentu seperti cara berhadapan, ada rupa bentuk, cahaya dan jarak antara orang yang melihat dengan apa yang dilihat. Cara-cara melihat ini ialah melihat bagi sesuatu yang berjisim. Adapun Allah SWT tidak berjisim maka melihat zat-Nya Yang Maha Mulia tidak sama dengan melihat apa yang berjisim.[3] (Rujuk Syarah al-Aqidah al-Tahawiyyah, 79)

Oleh yang demikian, apa yang dapat disimpulkan ialah Allah SWT Maha Suci daripada bersifat dengan sifat-sifat makhluk, maka melihat zat-Nya Yang Maha Mulia juga dengan tidak bertempat, tidak berarah dan lain-lain daripada kesemua sifat makhluk tersebut. Kata beliau lagi:

ومن لم يكن في مكان ولا جهة و ليس بجسم، فرؤيته كذلك ليس في مكان ولا جهة ولا بمقابلة واتصال شعاع وثبوت مسافة، وإلّا لم يكن رؤية له بل لغيره.

Maksudnya: Sesuatu yang tidak bertempat, tidak berarah dan tidak berjisim, maka cara melihatnya juga dengan tidak bertempat, tidak berarah, tidak secara berhadapan, tidak dengan pancaran cahaya serta tidak berjarak. Jika tidak dengan cara sebegini, maka apa yang dilihat itu bukanlah Allah SWT, bahkan selain-Nya.[4] (Rujuk Syarah al-Aqidah al-Tahawiyyah, 79)

Bagaimanakah Orang Beriman Melihat Allah Swt?

Berkenaan dengan hadis di atas sebahagian orang mentafsirkan makna hadis ini dengan mengatakan bahawa Allah SWT memiliki arah tertentu kerana Nabi SAW memperumpamakan Allah SWT dengan bulan. Namun pandangan ini tertolak kerana makna hadis di atas ialah Nabi SAW ingin menjelaskan bahawa di akhirat nanti orang beriman akan melihat Allah SWT dengan jelas sebagaimana mereka melihat bulan purnama dan bukannya memperumpamakan Allah SWT dengan bulan.

Imam al-Baihaqi ketika menerangkan makna hadis di atas menjelaskan bahawa makna “لا تضامون” bermaksud orang beriman tidak berhimpun untuk melihat Allah SWT dari arah tertentu di samping tidak pula bersesak-sesak untuk melihat-Nya. Oleh itu Allah SWT tidak memiliki arah sebagaimana makhluk.[5] Imam al-Nawawi pula dalam Syarah Sahih Muslim berkata:

لَا يَلْزَمُ مِنْ رُؤْيَةِ اللَّهِ تَعَالَى إِثْبَاتُ جِهَةٍ تَعَالَى عَنْ ذَلِكَ بَلْ يَرَاهُ الْمُؤْمِنُونَ لَا فِي جِهَةٍ كَمَا يَعْلَمُونَهُ لَا فِي جِهَةٍ

Maksudnya: “Melihat Allah tidak mesti perlu menetapkan arah Maha Suci Allah dari arah bahkan orang beriman akan melihat Allah SWT dengan tanpa arah sebagaimana mereka meyakini bahawa Allah tidak berhajat kepada arah.[6]

Manakala Imam Ibn Hajar al-Asqalani pula menjelaskan kekeliruan di atas dengan mengatakan bahawa Allah SWT Maha Suci daripada memiliki arah. Perumpamaan hadis di atas ialah perumpamaan berkaitan melihat Allah SWT dan bukannya memperumpamakan Allah SWT dengan bulan Maha Suci Allah dari segala kekurangan.[7] Hal ini juga dijelaskan oleh Syeikh al-Ghunaimi bahawa perumpamaan tersebut dari sudut kejelasan yang sempurna melihat Allah SWT tanpa sebarang syak dan ragu. Kata beliau:

فتشبيهه الرؤية برؤية البدر والشمس من حيث الوضوح التام والتجلّى الكامل الذي لا شكّ فيه ولا ريب

Maksudnya: Perumpamaan melihat seperti melihat bulan purnama dan matahari adalah dari sudut kejelasan dan tajalli (penjelmaan) sempurna yang tanpa syak dan keraguan padanya.[8] (Rujuk Syarah al-Aqidah al-Tahawiyyah, 82)

Persoalan Allah SWT Boleh Menjadikan Zat-Nya Di Mana-Mana Arah

Selain itu, dakwaan yang mengatakan bahawa Allah SWT boleh menjadikan zat-Nya Yang Maha Mulia pada arah tertentu, maka ini termasuk dalam hukum mustahil pada akal. Sifat qudrah(kekuasaan)  dan iradah(kehendak) Allah SWT hanya tertakluk kepada perkara yang harus pada akal dan tidak tertakluk kepada perkara yang wajib dan mustahil.

Hal ini kerana jika ia tertakluk kepada perkara yang wajib pada akal ia akan membawa mengadakan apa yang telah sedia ada yang disebut sebagai tahsil al-hasil (تحصيل الحاصل). Adapun jika ia tertakluk kepada perkara yang mustahil pada akal, maka ia akan membawa kepada sifat yang berlawanan dengan hakikat realiti (انقلاب الحقائق). Justeru kedua-duanya membawa kepada perkara yang batil  dan tidak diterima oleh akal. Oleh yang demikian, sifat Qudrah Allah hanya tertakluk kepada perkara yang harus pada akal sahaja.[9]

Hal ini dapat dijelaskan bahawa jika kita mengharuskan perkara yang mustahil ini dengan mendakwa kehendak dan kekuasaan Allah SWT,  ia akan membuka ruang kepada dakwaan yang lebih teruk seperti Allah SWT boleh menjadikan bagi-Nya anak dengan kehendak dan kekuasaannya, sedangkan perkara itu adalah batil dan mustahil pada akal.

Oleh itu, dakwaan mengatakan bahawa Allah SWT boleh menjadikan zat-Nya pada arah atau tempat tertentu juga adalah satu dakwaan yang batil dan tidak berasaskan kepada kefahaman yang sahih terhadap sifat Allah SWT. Oleh itu, apa yang didakwa tersebut adalah tidak benar dan perlu untuk dibetulkan semula.

Kesimpulan

Secara kesimpulannya, hukum melihat Allah SWT di hari Akhirat di Syurga kelak adalah harus pada akal dan ia merupakan nikmat yang terbesar bagi ahli Syurga. Kita wajib beriman akan perkara ini dengan menyerahkan makna sebenarnya kepada Allah SWT dan mensucikannya daripada sifat-sifat makhluk yang baharu(hadith).

WaAllahu a’lam.

[1] Imam al-Tahawi, Aqidah al-Tahawiyah, Beirut: al-Maktab al-Islami (1414H), hlm. 43.

[2] Al-Tahawi, Abu Ja’afar, 2017, Akidah Tahawiyyah, Jabatan Mufti Negeri Selangor, hlmn. 62.

[3] Al-Ghunaimi, Abd al-Ghani, 2009, Syarah al-Aqidah al-Tahawiyyah, Dar al-Basair, Kaherah, hlmn. 79.

[4] Al-Ghunaimi, Abd al-Ghani, 2009, Syarah al-Aqidah al-Tahawiyyah, Dar al-Basair, Kaherah, hlmn. 79.

[5] Imam al-Baihaqi, al-I’tiqad wa al-Hidayah ila Sabil al-Rasyad, Beirut: Dar al-Afaq al-Jadidah (1410H), hlm. 128.

لَا تُضَامُّونَ فِي رُؤْيَتِهِ بِضَمِّ التَّاءِ وَتشْدِيدِ الْمِيمِ يُرِيدُ لَا تَجْتَمِعُونَ لِرُؤْيَتِهِ مِنْ جِهَتِهِ، وَلَا يُضَمُّ بَعْضُكُمْ إِلَى بَعْضٍ لِذَلِكَ فَإِنَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لَا يُرَى فِي جِهَةٍ كَمَا يُرَى الْمَخْلُوقُ فِي جِهَةٍ

[6] Imam al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, Beirut: Dar al-Ihya’ al-Thurast al-Arabi (1392H), jld. 3, hlm. 16.  

[7] Imam Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari, Beirut: Dar al-Makrifah (1379H), jld. 13, hlm. 427. 

فَإِنَّكُمْ تَرَوْنَهُ فِي جِهَاتِكُمْ كُلِّهَا وَهُوَ مُتَعَالٍ عَنِ الْجِهَةِ وَالتَّشْبِيهِ بِرُؤْيَةِ الْقَمَرِ لِلرُّؤْيَةِ دُونَ تَشْبِيهِ الْمَرْئِيِّ تَعَالَى اللَّهُ عَن ذَلِك

[8] Al-Ghunaimi, Abd al-Ghani, 2009, Syarah al-Aqidah al-Tahawiyyah, Dar al-Basair, Kaherah, hlmn. 79.

[9] وخرج بالممكن الواجب والمستحيل، فلا تتعلق القدرة بهما لأنّها إن تعلّقت بوجود الواجب لزم تحصيل الحاصل، وإن تعلّقت بعدمه لزم انقلاب حقيقة الواجب.

Al-Baijuri, Burhanuddin Ibrahim, 2012, Hasyiah al-Baijuri ‘ala Jawharah al-Tauhid, Dar al-Salam, Kaherah, 143.


Cetak   Emel
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+