Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BERAPA KADAR WASIAT YANG DIBENARKAN?

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 195 (23 FEBRUARI 2016 M / 14 JAMADILAWAL 1437 H)

SOALAN:

Assalamualaikum ustaz yang dihormati, saya ni ada musykilah. Boleh mohon ustaz beri pencerahan.

Ayah saya wasiatkan semua hartanya kepada saya dengan mengatakan: "Sekiranya aku mati, guna lah hartaku untuk pengurusan matiku, selebihnya sedekahkan ke masjid atau lain yang boleh smpai pahalaku di akhirat nanti."

Soalan saya. Adakah harta wasiat itu menjadi wasiat atau pusaka juga? Sedangkan beliau ada anak 10 orang.

 

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Turutan pengurusan harta pusaka adalah seperti berikut:
1. Pengurusan jenazah
2. Hutang
3. Wasiat
4. Faraid

Maka, digunakan daripada harta si mati bangi pengurusannya yang wajib sahaja. Kemudian, dibayar hutangnya jika ada. Hutang di sini ada dua, hutang kepada manusia dan hutang kepada Allah. Hutang kepada Allah seperti zakat, puasa, haji, fidyah, qada’, kaffarah dan nazar yang wajib. Dalam mazhab al-Syafie, hutang kepada Allah lebih utama untuk dilunaskan. Sabda Rasulullah SAW:

فَدَيْنُ اللهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Maksudnya: Maka hutang kepada Allah lebih berhak untuk ditunaikan.

Hadis Bukhari dan Muslim.

Kemudian, diuruskan harta pusaka selebihnya mengikut wasiat. Wasiat hanya boleh menggunakan 1/3 daripada harta pusaka, maka hanya 1/3 daripada harta si mati yang boleh disalurkan kepada masjid dan lain-lain. Dalam kes saudari, sedekah kepada masjid itu boleh digunakan daripada peruntukan ini. Daripada Saad bin Abi Waqas, bahawa dia bertanyakan Rasulullah SAW bolehkah dia berwasiat seluruh dan separuh hartanya tetapi dilarang. Sabda Rasulullah SAW:

فَالثُّلُثُ، وَالثُّلُثُ كَثِيرٌ، إِنَّكَ أَنْ تَدَعَ وَرَثَتَكَ أَغْنِيَاءَ خَيْرٌ مِنْ أَنْ تَدَعَهُمْ عَالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ فِي أَيْدِيهِمْ

Maksudnya: Maka (boleh berwasiat) satu pertiga (daripada harta), sedangkan satu pertiga itu pun sudah banyak. Sesungguhnya, jika engkau tinggalkan waris dalam keadaan kaya atau cukup, lebih baik daripada engkau tinggalkan mereka dalam keadaan tidak cukup, dengan menadah-nadah tangan meminta daripada tangan-tangan manusia.

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Maka, selebihnya atau 2/3 lain diberikan kepada ahli waris yang disebut itu.

Wallahua`lam.