Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #506: IDDAH BAGI WANITA MENOPAUS

Soalan:

Apakah tempoh iddah bagi perempuan yang menopaus ?

 

Jawapan:

Dalam mengulas isu ini, kami perincikan kepada dua keadaan:

Pertama: Iddah Wanita Menopaus Yang Kematian Suami.

Tempoh iddah bagi seorang wanita yang telah kematian suami, dan dirinya sudah terputus kitaran haid (menopaus) adalah selama empat bulan sepuluh hari. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:

وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya: Dan sesiapa yang telah meninggal dunia dari kalangan kamu dan mereka meninggalkan isteri-isteri, hendaklah mereka itu (para isteri) beriddah selama empat bulan sepuluh hari.

Surah al-Baqarah (234)

 

Ayat di atas ini umum meliputi wanita-wanita muda yang kematian suami dalam keadaan mereka masih didatangi haid dan juga bagi wanita-wanita yang telah menopaus. Justeru, iddah wanita menopaus yang kematian suami adalah selama empat bulan sepuluh hari.

 

Kedua: Iddah Wanita Menopaus Yang Diceraikan Suami

Namun sekiranya seorang wanita yang menopaus itu diceraikan oleh suaminya, dan bukan disebabkan kematian suami, maka iddah baginya adalah selama tiga bulan. Ini berdalilkan firman Allah S.W.T:

وَاللَّائِي يَئِسْنَ مِنَ الْمَحِيضِ مِن نِّسَائِكُمْ إِنِ ارْتَبْتُمْ فَعِدَّتُهُنَّ ثَلَاثَةُ أَشْهُرٍ وَاللَّائِي لَمْ يَحِضْنَ

Maksudnya: Dan perempuan-perempuan yang sudah terputus haidnya (menopaus) dari kalangan isteri-isteri kamu sekiranya kamu ragu—ragu (berkenaan iddahnya) maka iddah mereka adalah tiga bulan dan begitu juga perempuan yang tidak ada haidnya (belum sampai tempoh haid).

Surah Al-Thalaq (4)

 

Kesimpulan

Justeru, iddah bagi seorang wanita yang menopaus terbahagi kepada dua. Iaitu sama ada dia kematian suami atau dia diceraikan oleh suaminya. Sekiranya dia diceraikan oleh suaminya, maka iddahnya adalah selama tiga bulan dan sekiranya dia beriddah disebabkan kematian suaminya, maka iddahnya adalah selama empat bulan sepuluh hari.