Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #857 : ADAKAH ANAK PEREMPUAN JANDA MENJADI MAHRAM WALAUPUN SUDAH BERCERAI?

af857 copy 33557931 compressed

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Saya berkahwin dengan seorang janda yang mempunyai 3 orang anak perempuan. Kemudian 3 tahun selepas itu saya bercerai dengannya. Adakah anak dia menjadi mahram saya. Maksudnya kalau saya terjumpa anak perempuan dia bolehkah dia bersalaman dengan saya. Ini kerana ibu saya kata, anak tersebut bukan mahram saya. Mohon pencerahan.

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Siapakah mahram kita telah dijelaskan oleh Allah swt di dalam al-Quran. Firman Allah swt :

وَلَا تَنكِحُوا۟ مَا نَكَحَ ءَابَآؤُكُم مِّنَ ٱلنِّسَآءِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۚ إِنَّهُۥ كَانَ فَـٰحِشَةً وَمَقْتًا وَسَآءَ سَبِيلًا ﴿٢٢﴾ حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَـٰتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَٰتُكُمْ وَعَمَّـٰتُكُمْ وَخَـٰلَـٰتُكُمْ وَبَنَاتُ ٱلْأَخِ وَبَنَاتُ ٱلْأُخْتِ وَأُمَّهَـٰتُكُمُ ٱلَّـٰتِىٓ أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَٰتُكُم مِّنَ ٱلرَّضَـٰعَةِ وَأُمَّهَـٰتُ نِسَآئِكُمْ وَرَبَـٰٓئِبُكُمُ ٱلَّـٰتِى فِى حُجُورِكُم مِّن نِّسَآئِكُمُ ٱلَّـٰتِى دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا۟ دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَـٰٓئِلُ أَبْنَآئِكُمُ ٱلَّذِينَ مِنْ أَصْلَـٰبِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا۟ بَيْنَ ٱلْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ ٱللَّـهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا ﴿٢٣﴾ وَٱلْمُحْصَنَـٰتُ مِنَ ٱلنِّسَآءِ إِلَّا مَا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُكُمْ ۖ كِتَـٰبَ ٱللَّـهِ عَلَيْكُمْ ۚ

Maksudnya :” Dan janganlah kamu berkahwin (dengan perempuan-perempuan) yang telah diperisterikan oleh bapa kamu kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya perbuatan itu adalah satu perkara yang keji, dan dibenci (oleh Allah), serta menjadi seburuk-buruk jalan (yang dilalui dalam perkahwinan). Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan (diharamkan juga kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan isteri orang, kecuali hamba sahaya yang kamu miliki. (Haramnya segala yang tersebut itu) ialah suatu ketetapan hukum Allah (yang diwajibkan) atas kamu.

(Surah al-Nisa’ : 22-24)

Melalui ayat di atas para ulama, para ulama telah membuat ringkasan bahawa seorang individu menjadi mahram kepada individu yang lain adalah disebabkan oleh 3 faktor. 3 faktor tersebut ialah :

  1. Nasab (النسب)
  2. Perkahwinan (المصاهرة)
  3. Penyusuan(الرضاعة)

Menjawab persoalan yang dikemukakan oleh saudara yang bertanya, anak tersebut menjadi mahram kepada saudara dengan syarat dalam masa 3 tahun tersebut saudara ada menggauli ibunya.Ini termasuk dalam kategori mahram disebabkan oleh perkahwinan. Jika berlaku demikian, maka secara automatik, anak tersebut menjadi mahram

وَرَبَـٰٓئِبُكُمُ ٱلَّـٰتِى فِى حُجُورِكُم مِّن نِّسَآئِكُمُ ٱلَّـٰتِى دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا۟ دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ

Maksudnya : …” dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya)…”

(Surah al-Nisa’ : 23)

Kata al-Syaukani :

“Para ulama telah berijmak bahawa jika seorang lelaki berkahwin dengan seorang wanita kemudian dia menceraikannya atau mati sebelum menyetebuhinya maka halal bernikah dengan anak wanita tersebut.”

Rujuk Fath al-Qadir (2/113)

Ini bermakna, jika wanita tersebut disetubuhi maka anak-anak perempuannya akan menjadi mahram kita. Ini juga adalah berdasarkan kaedah yang masyhur :

العَقْدُ عَلَى البنات يحرم الأمهات والدخول بالأمهات يحرم البنات

Maksudnya :” Akad (nikah) dengan anak perempuan mengharamkan ibu-ibu. Dan menggauli ibu mengharamkan anak-anak perempuan.”

Maka, tiada sebarang masalah jika saudara bersalaman dengannya. Ini kerana dia adalah mahram bagi saudara.

Wallahu’alam.