Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #859 : BOLEHKAH ANAK LELAKI MENJADI WALI KEPADA IBUNYA?

wali ibu.png

 

Soalan

Adakah anak lelaki boleh menjadi wali kepada ibunya?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kewujudan wali adalah wajib semasa aqad nikah. Perkahwinan seseorang perempuan sama ada dewasa atau masih kecil, janda ataupun dara, hendaklah diaqadkan oleh walinya. Seseorang perempuan tidak harus dikahwini, mengahwinkan dirinya sendiri atau mengahwinkan orang lain sama ada dengan izin atau tidak, walaupun terdapat ijab dan qabul daripada perempuan tersebut. Hal ini berdasarkan hadith daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

لاَ تُزَوِّجُ الْمَرْأَةُ الْمَرْأَةَ وَلاَ تُزَوِّجُ الْمَرْأَةُ نَفْسَهَا

Maksudnya: “Seseorang perempuan tidak harus mengahwinkan perempuan lain dan tidak harus mengahwinkan dirinya sendiri.”

Riwayat al-Daraqutni (3/227) dan Ibn Majah (1882)

Para sahabat R.Anhum menggelarkan perempuan yang mengahwinkan dirinya sendiri sebagai perempuan yang jahat, manakala dalam riwayat yang lain, dia disebut penzina. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/61)

Menjawab isu di atas, anak lelaki tidak boleh menjadi wali kepada ibunya. Pengarang al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Anak lelaki dan cucu lelaki daripada anak lelaki tidak boleh menjadi wali dalam perkahwinan. Oleh itu, sebagai seorang anak, dia tidak boleh menjadi wali kepada ibunya sendiri kerana tiada persamaan nasab antara keduanya. Hal ini adalah kerana mereka dinasabkan kepada bapa masing-masing. Anak lelaki bapa saudara boleh menjadi wali kepada ibu saudaranya sekiranya tiada wali yang lebih hampir untuk mengahwinkan ibu saudaranya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/63)

Kami juga berpendapat boleh jadi kebanyakan anak tidak merasa selesa untuk mewalikan ibunya yang ingin berkahwin kerana hubungan anak tersebut dengan bapanya yang asal. Ini secara fitrah perasaan tersebut akan wujud pada naluri dan jiwa anak-anak lelaki.

Semoga Allah kurniakan kepada kita kefaqihan dan kefahaman dalam agama sehingga kita dapat melaksanakannya dalam kehidupan kita. Amin.