Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #872: MAKMUM TERLUPA BACA AL-FATIHAH KETIKA BERJEMAAH

AK872.png

SOALAN

Apa hukum makmum terlupa untuk baca surah al-Fatihah ketika dalam solat berjemaah?

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Menjawab isu di atas, sekiranya terlupa maka tidak ada masalah. Cuma perlu dilihat, setakat mana terlupa itu. Sekiranya imam telah rukuk, maka perlu baca terlebih dahulu al-Fatihah sehinggalah dia dibenarkan tinggal tiga rukun perbuatan yang panjang.[1] Yakni sehingga imam hendak sujud kedua, maka pada masa itu, wajib dia mengikut imam semula.

Dalam mazhab al-Syafi’e memahami hadis nabi yang sahih dalam pelbagai riwayat. Antaranya, hadis yang diriwayatkan daripada ‘Ubadah bin al-Somit R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا صَلَاةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya: “Tidak ada solat bagi orang yang tidak membaca al-Fatihah.”

Riwayat al-Bukhari (756) dan Muslim (900)

Begitu juga hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

« مَنْ صَلَّى صَلاَةً لَمْ يَقْرَأْ فِيهَا بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ فَهْىَ خِدَاجٌ ». يَقُولُهَا ثَلاَثًا

Maksudnya: “Barangsiapa yang melaksanakan solat dan tidak membaca al-Fatihah di dalamnya, maka solatnya itu kurang.” Perkataan ini diulang sehingga tiga kali.

Riwayat Muslim (907)

Imam al-Nawawi Rahimahullah berkata:

وَاَلَّذِي عَلَيْهِ جُمْهُورُ الْمُسْلِمِينَ الْقِرَاءَةُ خَلْفَ الْإِمَامِ فِي السِّرِّيَّةِ وَالْجَهْرِيَّةِ.

Maksudnya: Jumhur umat Islam berpendapat wajib membaca al-Fatihah di belakang imam sama ada pada solat Sirr (perlahan) atau Jahr (kuat). (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/365)

Membaca al-Fatihah adalah wajib kepada imam dan makmum. Adapun makmum terbahagi kepada dua.

Jika sekiranya makmum masbuk, bacalah sekadar sebelum imam rukuk. Apabila imam rukuk, walaupun bacaan belum habis, dia berhak mengikut imam berdasarkan kepada nas hadis:

وَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا

Maksudnya: “Jika imam rukuk, maka rukuklah”

Riwayat al-Bukhari (733) dan Muslim (411)

Manakala, yang membaca al-Fatihah sehingga habis adalah bagi makmum yang sifatnya Muafiq. Adapun jika sembahyang seorang, dia juga wajib membaca al-Fatihah. Inilah mazhab Imam al-Syafie Rahimahullah.

Sekali lagi kami tegaskan bahawa al-Fatihah adalah wajib bagi imam, makmum (kecuali makmum masbuk) dan juga sembahyang seorang diri.

Semoga Allah mengurniakan kefahaman kepada kita dalam mengamalkan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Amin.

[1] Imam al-Nawawi menyebut dalam kitab al-Majmu’, makmum diberi keuzuran agar tidak mengikuti imam sebanyak tiga rukun yang panjang pada keadaan-keadaan tertentu, di mana makmum mesti rukuk sebelum imam bangun dari sujud kedua untuk qiyam pada rakaat atau bangun untuk tasyahhud. (Rujuk al-Majmu’ oleh Imam al-Nawawi)