Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #899 : BERNIAT WUDUK SEBELUM AIR TERKENA MUKA

af899 compressed

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Adakah sah wuduk jika kita berniat sebelum air terkena muka?

Jawapan :

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Niat ketika wuduk merupakan salah satu rukun wuduk yang perlu ditunaikan bagi menjadikan wuduk yang diambil itu sah. Ini berdasarkan firman Allah swt :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا قُمْتُمْ إِلَى ٱلصَّلَوٰةِ فَٱغْسِلُوا۟ وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى ٱلْمَرَافِقِ وَٱمْسَحُوا۟ بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى ٱلْكَعْبَيْنِ ۚ

Maksudnya:” Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.”

(Surah al-Maidah : 6)

Ayat ‘apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang’ membawa maksud iradah (keinginan) untuk melakukan solat. Dengan kata lain ia adalah niat[1].Inilah yang dinyatakan dan dijelaskan oleh Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu’.

Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (1/356)

Ia juga berdasarkan sabda Nabi saw :

إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ

Maksudnya :”Amalan-amalan (dimulakan )adalah dengan niat.”

Riwayat al-Bukhari (1)

Suka kami jelaskan yang dimaksudkan dengan niat dari segi syarak seperti mana yang dijelaskan oleh Imam al-Baijuri di dalam hasyiahnya adalah bermaksud untuk melakukan sesuatu yang disertai (muqtarin) dengan perbuatan.

Rujuk Hasyiah al-Baijuri ‘ala Syarh Ibn al-Qasim ‘ala Matan Abu Syuja’(1/88)

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, wuduk yang diambil sah jika berniat sebelum air terkena muka dengan syarat niat tersebut dibuat ketika mana air sampai pada mana-mana bahagian muka. Tidak disyaratkan air sampai kepada muka keseluruhannya baru boleh berniat.

Kata Imam al-Nawawi :

“Jika dia berniat ketika awal basuhan wajah dan dia tidak berniat sebelum dan selepasnya maka sah wuduknya tanpa ada khilaf”

Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (1/361)

Imam al-Baijuri menyatakan :

“Yang lebih jelas adalah berniat ketika awal basuhan bagi mana-mana bahagian muka.”

Rujuk Hasyiah al-Baijuri ‘ala Syarh Ibn al-Qasim ‘ala Matan Abu Syuja’(1/89)

Pengarang al-Taqrirat al-Sadidah menyebut bahawa waktu berniat untuk wuduk adalah ketika mana membasuh mana-mana bahagian wajah.

Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah Fi al-Masail al-Mufidah (hlm 83)

Namun, sebahagian ulama menyatakan bahawa sah wuduk jika berniat ketika melakukan perkara sunat seperti membasuh tapak tangan atau berkumur. Inilah pandangan yang dikemukakan oleh Abu Hafs Bin Wakil. Ada juga yang berpandangan bahawa wuduk tidak sah jika dia lakukan ketika membasuh tapak tangan akan tetapi sah jika niat tersebut dilakukan ketika berkumur dan menghembus air dari hidung. Inilah pandangan yang dikemukakan oleh Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’.

Kami lebih cenderung kepada pandangan sebahagian ulama yang mengatakan sah wuduk ketika melakukan perkara sunat wuduk. Pandangan ini lebih sesuai bagi mereka yang sukar untuk menghadirkan niat ketika membasuh anggota fardu ataupun bagi mereka ada sifat was-was.

Kesimpulannya, wuduk menjadi sah jika niat tersebut dilakukan ketika mula membasuh mana-mana bahagian wajah. Namun, jika seseorang sukar untuk menghadirkan hati ketika membasuh anggota fardu atau ada sikap was-was diharuskan untuk berniat ketika melakukan perkara sunat wuduk. Wallahu’alam.

[1] Kami nyatakan di sini sedikit perbahasan berkaitan niat

  1. Hakikat niat : mengkehendaki sesuatu yang disertai dengan perbuatan
  2. Hukumnya : Wajib kecuali mandi mayat. Ini kerana niat untuk yang memandikan mayat adalah sunat.
  3. Tempat niat : Di dalam hati. Melafazkan niat adalah sunat. Ini bagi membantu hati menghadirkan niat.
  4. Masa : Awal ibadat.