Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #922: MAKSUD TULANG AQIQAH JANGAN DIPATAHKAN

 tulang aqiqah.JPG

Soalan

Assalamualaikum Dato Mufti, berkaitan daging aqiqah, saya bakal melakukan aqiqah minggu depan. Apakah yang dimaksudkan tulang binatang akikah janganlah dipatahkan dan dimasakkan terlebih dahulu dengan masakan manis? Terima kasih.

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami kemukakan dahulu definisi aqiqah. Perkataan aqiqah (العقيقة) berasal daripada perkataan al-‘Aqqu (العق) dan dari segi bahasa, bererti potong. Pada asalnya, aqiqah ialah nama bagi rambut bayi ketika lahir. Rambut tersebut dinamakan demikian kerana ia dicukur atau dipotong.

Aqiqah dari segi syara’ ialah binatang yang disembelih sempena rambut bayi dicukur. Sembelihan tersebut dinamakan aqiqah kerana ia dipotong dan dilapah. Justeru, perkataan aqiqah itu sunat disebut ibadah aqiqah atau sembelihan aqiqah.

Hal ini berdasarkan hadith, Nabi SAW ketika ditanya tentang perkataan aqiqah:

لاَ يُحِبُّ اللَّهُ الْعُقُوقَ

Maksudnya: “Allah tidak suka perkataan al-‘Uquq (العقوق), yang bermaksud derhaka.”

Riwayat Abu Daud (2842)

Hadith tersebut seolah-olah menunjukkan Nabi tidak menyukai sebutan aqiqah sahaja.

Dan seterusnya, Nabi SAW bersabda:

مَنْ وُلِدَ لَهُ وَلَدٌ فَأَحَبَّ أَنْ يَنْسُكَ عَنْهُ فَلْيَنْسُكْ

Maksudnya: “Sesiapa yang dikurniakan anak dan ingin melakukan ibadah untuknya, maka lakukanlah ibadah aqiqah.”

                                                                        Riwayat Abu Daud (2844)

Menjawab persoalan di atas, ini dipanggil dalam bab tafa’ul. Kami nukilkan di sini daripada kitab al-Fiqh al-Manhaji antara lain menyebut:

  • Daging aqiqah sunat disedekahkan sesudah dimasak, sebagaimana dalam majlis-majlis kenduri yang lain. Ia tidak disedekahkan secara mentah, sebagaimana daging qurban.
  • Daging aqiqah sunat dimasak dengan masakan yang manis supaya akhlak anak diaqiqahkan itu mulia. Afdhal pula masakan itu disedekahkan kepada orang miskin dan dihantar ke rumah mereka. Masakan itu juga sunat dimakan dan dihadiahkan sebahagiannya oleh orang yang beraqiqah.
  • Seberapa yang boleh, tulang binatang aqiqah sunat tidak dikerat-kerat. Ia dipotong pada sendi-sendinya sahaja. Mudah-mudahan, anggota anak yang diaqiqahkan itu selamat. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/343)

Justeru, beraqiqah sebagai mentahqiqkan rasa syukur kepada Tuhan dan menzahirkan rasa kegembiraan bersama kaum keluarga dan sahabat handai dengan kelahiran bayi.

Semoga ia memberi manfaat kepada kita semua. Amin.