Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #976: BOLEHKAH MAHKAMAH MENETAPKAN KADAR MAS KAHWIN YANG MUNASABAH

mas kahwin munasabah.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Uruf mas kahwin di Malaysia tidak mahal tetapi adat perkahwinan meminta mas kahwin yang mahal. Bolehkah pihak mahkamah atau mereka yang berautoriti dalam agama menetapkan kadar mas kahwin yang munasabah?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Sebagaimana yang kami nyatakan, mas kahwin adalah wajib dengan nas-nasnya, makanya menetapkan kadar mas kahwin ini telah dibahaskan oleh ulama’. Kami nukilkan daripada guru kami, Syeikh Mustafa Khin dan rakan-rakannya berkata:

Mas kahwin tidak mempunyai kadar minimum dan maksimumnya. Setiap sesuatu yang dinamakan harta atau boleh ditukar dengan harta, boleh dijadikan mas kahwin sama ada sedikit atau banyak, tunai atau hutang, atau sesuatu yang bermanfaat, seperti kain, sejadah, wang, tempat kediaman atau mengajar sesuatu kemahiran.

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَأُحِلَّ لَكُم مَّا وَرَاءَ ذَٰلِكُمْ أَن تَبْتَغُوا بِأَمْوَالِكُم

Maksudnya: Dan dihalalkan bagi kamu selain yang demikian (iaitu) mencari isteri-isteri dengan hartamu.

                                                                                             (Surah al-Nisa’: 24)

Ayat ini hanya menyebut harta (المال) semata-mata tanpa menetapkan kadar yang tertentu.

Begitu juga, hadith Rasulullah SAW bersabda:

أَعْطِهَا وَلَوْ خَاتَمًا مِنْ حَدِيدٍ

Maksudnya: “Engkau berikanlah perempuan itu walaupun sebentuk cincin besi.”

Riwayat al-Bukhari (4741) dan Muslim (1425)

Dan hadith yang lain, daripada Amir bin Rabi’ah RA, katanya:

أَنَّ امْرَأَةً مِنْ بَنِى فَزَارَةَ تَزَوَّجَتْ عَلَى نَعْلَيْنِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَرَضِيتِ مِنْ نَفْسِكِ وَمَالِكِ بِنَعْلَيْنِ. قَالَتْ نَعَمْ. قَالَ فَأَجَازَهُ

Maksudnya: “Seorang perempuan daripada Bani Fazarah berkahwin dengan mas kahwinnya, seperti kasut. Maka Rasulullah SAW bersabda: “Adakah kamu redha dengan mendapat sepasang kasut sebagai mas kahwin?” Perempuan itu menjawab: “Ya!” Lalu Baginda membenarkannya.”

Riwayat al-Tirmizi (1113)

Allah SWT berfirman:

وَإِنْ أَرَدتُّمُ اسْتِبْدَالَ زَوْجٍ مَّكَانَ زَوْجٍ وَآتَيْتُمْ إِحْدَاهُنَّ قِنطَارًا فَلَا تَأْخُذُوا مِنْهُ شَيْئًا

Maksudnya: Dan jika kamu ingin mengganti isterimu dengan isteri yang lain, sedang kamu telah memberikan kepada seseorang di antara mereka harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil kembali daripadanya barang sedikitpun.

(Surah al-Nisa’: 20)

Ayat ini menjelaskan bahawa suami harus memberikan isterinya harta yang banyak. Hal ini menunjukkan bahawa tiada had maksimum bagi pemberian mas kahwin terhadap isteri.

Walaupun begitu, mas kahwin tersebut sunat hukumnya, tidak kurang daripada 10 Dirham bagi mengelakkan percanggahan Mazhab Hanafi yang mewajibkannya.

Begitu juga sunat tidak melebihi 500 Dirham berdasarkan mas kahwin anak-anak perempuan dan isteri Rasulullah SAW.

Hal ini berdasarkan hadith, daripada Umar bin al-Khattab, katanya:

لاَ تُغْلُوا صُدُقَ النِّسَاءِ أَلاَ لاَ تُغْلُوا صُدُقَ النِّسَاءِ فَإِنَّهَا لَوْ كَانَتْ مَكْرُمَةً فِى الدُّنْيَا أَوْ تَقْوَى عِنْدَ اللَّهِ كَانَ أَوْلاَكُمْ بِهَا النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا أَصْدَقَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ امْرَأَةً مِنْ نِسَائِهِ وَلاَ أُصْدِقَتِ امْرَأَةٌ مِنْ بَنَاتِهِ أَكْثَرَ مِنْ ثِنْتَىْ عَشْرَةَ أُوقِيَّةً

Maksudnya: “Janganlah kamu berlebihan memberi mas kahwin kepada perempuan. Sekiranya mas kahwin sebagai penghormatan di dunia ataupun tanda taqwa di akhirat, nescaya Rasulullah SAW menentukan kadarnya lebih mahal daripada kamu. Baginda tidak pernah memberikan isteri-isterinya dan anak-anak perempuannya mas kahwin melebihi 12 uqiyyah.”

Riwayat Ahmad (1114)

Satu uqiyyah bersamaan 40 dirham. Oleh itu, 12 uqiyyah ialah 480 dirham. Kadar ini bersamaan dengan 2 ½ kali ganda nisab zakat bagi perak. Ia berbeza-beza mengikut matawang sesebuah negara dan nilaiannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/483-485)

Berdasarkan kenyataan di atas seperti yang dihasratkan oleh Saidina Umar, adalah dibolehkan bagi pihak pemerintah berdasarkan maslahat dan maqasid perkahwinan itu sendiri. Walaupun begitu, perundingan dan persetujuan dari pihak isteri perlu diambil kira agar ia tidaklah dibuat dengan sewenang-wenangnya. Kisah seorang perempuan yang membaca nas Ilahi kepada Saidina Umar adalah salah satu daripada jawapan bahawa perlunya keredaan daripada pihak isteri. [1]

Kami juga mengambil kesempatan di sini menasihatkan ibubapa atau wali agar mempermudahkan urusan perkahwinan anak perempuan apabila wujudnya kufu’ dan mempunyai agama serta akhlak. Ini akan menatijahkan rasa kebahagiaan dari semua pihak yang akhirnya dapat menzahirkan baiti jannati yang menjadi idaman semua pasangan hidup.

Kami akhiri dengan berdoa kepada Allah sepertimana yang diajar:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami, kurniakanlah kepada kami di dunia dengan kebaikan dan di akhirat dengan kebaikan. Dan selamatkanlah kami dari azab Neraka.”

 

Nota Hujung:

[1] Diriwayatkan daripada Masruq, beliau berkata: “Umar bin al-Khattab R.A menaiki mimbar Rasulullah SAW lalu berkhutbah:

“Wahai sekalian manusia, mengapa kamu terlalu meninggikan mahar wanita. Sesungguhnya dahulu Rasulullah dan para sahabat, jumlah mahar di antara mereka hanyalah empat ratus dirham dan kurang dari itu. Jika meninggikan mahar adalah tanda ketaqwaan kepada Allah atau sebuah kemuliaan, tentulah kamu tidak akan mampu mendahului mereka dalam perkara tersebut. Jangan sampai aku ketahui ada orang yang meninggikan mahar lebih dari empat ratus dirham.”

Masruq berkata: “Kemudian beliau pun turun dari mimbar. Beliau (Umar) kemudiannya ditahan oleh seorang wanita Quraisy dan berkata kepadanya: “Wahai Amirul Mukminin, engkau telah melarang manusia menetapkan mahar bagi wanita lebih dari empat ratus dirham.”

Umar menjawab: “Ya!” Wanita tersebut pun berkata lagi: “Tidakkah engkau mendengar Allah SWT berfirman dalam kitab-Nya:

وَآتَيْتُمْ إِحْدَاهُنَّ قِنطَارًا فَلَا تَأْخُذُوا مِنْهُ شَيْئًا ۚ أَتَأْخُذُونَهُ بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُّبِينًا

Maksudnya: Sedang kamu telah memberikan kepada seseorang di antara mereka harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil kembali daripadanya walaupun sedikit. Adakah kamu akan mengambilnya kembali dengan jalan tuduhan yang dusta dan dengan (menanggung) dosa yang nyata?”

(Surah al-Nisa’: 20)

Umar pun berkata: “Ya Allah, berilah keampunan kepadaku. Semua orang lebih faqih (memahami) daripada Umar.”

Kemudian beliau pun kembali menaiki mimbar dan berkata: “Sesungguhnya tadi aku telah melarang kamu menetapkan mahar wanita lebih dari empat ratus dirham. (Tetapi) sekarang, sesiapa pun boleh memberikan hartanya berdasarkan yang dia suka (sebagai mahar).”

Abu Ya’la berkata: “Aku menyangka dia berkata: “Sesiapa yang dengan rela hatinya, maka silalah untuk memberi mahar berdasarkan kesanggupannya (kehendaknya).”

(Lihat Tafsir Ibnu Kathir, 2/244. Beliau menyatakan sanadnya baik dan kuat)