Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1121: INGIN WAKAF RUMAH, NAMUN BELUM HABIS BAYAR

wakaf rumah bayar.JPG

SOALAN

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Saya ada sebuah rumah dan ingin mewakafkan rumah tersebut untuk dijadikan pusat tahfiz bagi anak-anak yatim.

Namun, saya dimaklumkan bahawa saya tidak boleh mewakafkan rumah tersebut kerana masih ada baki hutang dengan bank. Hutang rumah tersebut masih berbaki 17 tahun.

Saya mohon nasihat Tuan Mufti berkenaan perkara ini, dan nasihat dalam usaha saya mengumpul bekalan saham untuk kehidupan akhirat. Terima kasih.

 

JAWAPAN

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami mulakan dengan takrif wakaf dan kelebihannya. Wakaf ditakrifkan sebagai menahan harta yang boleh dimanfaatkan selama bendanya masih baik dengan cara memutuskan hak kepemilikan atas harta tersebut, dan dialihkan untuk kepentingan-kepentingan yang dibolehkan.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 25/307, Hasyiah Qalyubi, 3/99 dan Taqrirat al-Sadidah, Qism Buyu’ hlm. 159)

Amalan berwakaf menjanjikan mempunyai kelebihan yang besar. Antaranya disebut sebagai pahala yang mengalir secara berterusan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW telah bersabda:

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ : إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: “Apabila matinya seorang manusia, maka terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara, iaitu: sedekah jariah, atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya, atau anak yang soleh yang sentiasa mendoakannya.”

Riwayat Muslim (4310), Abu Daud (2882)

Al-Khatib al-Syarbini berkata: Ulama telah mentafsirkan perkataan ‘sedekah jariah’ dalam hadis yang tersebut di atas itu dengan maksud wakaf, sepertimana kata Imam al-Rafi’i. Hal ini kerana pahala sedekah jariah terus menerus mengalir kepada orang yang melakukannya, sedangkan sedekah yang lain, pahalanya tidak berterusan mengalir sepertimana sedekah amal jariah atau wakaf. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 10/87)

Demikian juga Firman Allah SWT:

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّـهَ بِهِ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”

(Surah Ali-Imran: 93)

Menjawab kepada isu ini, kami nyatakan seperti berikut:

Pertama: Harta yang ingin diwakafkan itu mestilah memberi manfaat serta faedah menjadi milikan penuh terhadap diri pewakaf. ini sepertimana yang dinyatakan seperti berikut:

شَرْطُ ( الْمَوْقُوفِ ) كَوْنُهُ عَيْنًا مُعَيَّنَةً مَمْلُوكَةً مِلْكًا يَقْبَلُ النَّقْلَ يَحْصُلُ مِنْهَا مَعَ بَقَاءِ عَيْنِهَا فَائِدَةٌ أَوْ مَنْفَعَةٌ...

Maksudnya: “Syarat al-mauquf (barang yang diwakafkan) itu haruslah ianya satu ‘ain yang dimiliki, dan boleh pula dipindahkan serta diperoleh daripadanya faedah dan manfaat dengan ‘ainnya kekal tanpa berubah… (Lihat Tuhfatul Muhtaj fi Syarhil Minhaj, 25/317)

Al-Khatib al-Syarbini menyebut: “Hendaklah harta yang diwakafkan milik penuh dan mengikat bagi pewakaf (waqif) ketika dia mewakafkannya. Untuk itu tidak sah mewakafkan sesuatu yang bukan milik pewakaf. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/376)

Dalam isu ini, al-mauquf (barang yang diwakafkan) ialah sebuah rumah yang dibelinya di atas namanya sendiri. Sifat rumah tersebut adalah boleh diambil manfaat dan faedah pada masa hadapan. Namun begitu, rumah tersebut masih belum menjadi pemilikan penuh terhadap dirinya kerana masih mempunyai pembiayaan pinjaman yang belum dijelaskan sepenuhnya.

Harta yang diwakafkan hendaklah milik pewakaf dan boleh dipindah milik. Harta ini hendaklah memberikan faedah atau manfaat. Dengan ini, tidak sah mewakafkan harta yang bukan milik pewakaf. Wakaf bermakna memindahkan hak milik sesuatu harta daripada tangan pewakaf. Ini bermakna mewakafkan harta yang bukan milik pewakaf adalah perbuatan sia-sia. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 5/7)

Oleh itu, rumah tersebut perlu bebas daripada bebanan hutang terhadap bank terlebih dahulu, sebelum ia layak untuk dijadikan harta wakaf.

Dalam isu hutang ini juga, Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebut, jika seseorang berada di bawah custody kerana hutang dan mewakafkan seluruh atau sebahagian hartanya, sedangkan hutangnya meliputi seluruh harta yang dimiliki, hukum wakafnya sah. Akan tetapi pelaksanaannya bergantung pada kerelaan para pemiutangnya. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa 'Adillatuh, 7/625) Oleh itu, sekiranya pemiutang merelakan, maka wakaf boleh dilaksanakan. Namun jika sebaliknya, maka pelaksanaan wakaf tersebut adalah terhenti.

Kedua: Pada masa kini, telah wujud pelbagai bentuk dan jenis wakaf yang boleh dilaksanakan. Antaranya wakaf dalam bentuk wang tunai, wakaf pendidikan, wakaf pertanian, wakaf intelek, wakaf manfaat dan banyak lagi.

Oleh itu, hasrat puan untuk melakukan amalan wakaf masih boleh diteruskan, namun dalam bentuk yang lain. Kami syorkan puan untuk berhubung dengan pegawai di Perbadanan Wakaf atau Baitul Mal bagi mendapatkan kefahaman yang lebih jelas.

 

KESIMPULAN

Dalam situasi di atas, kami melihat bahawa tidak dibenarkan untuk mewakafkan rumah sepertimana yang dinyatakan di atas. Hal ini kerana, antara syarat al-mauquf (barang yang diwakafkan) ialah menjadi pemilikan penuh kepada pemilik.

Walaubagaimanapun dalam isu ini, sekiranya hutang pewakaf tidak sampai meliputi seluruh harta yang dimilikinya, maka wakafnya sah dan dapat dilaksanakan kerana lebihan hartanya setelah ia dikurangkan sebahagiannya untuk melunaskan hutang.

Oleh itu, sekiranya hutang tersebut masih berbaki sedikit sahaja berbanding nilai aset yang ada padanya, maka boleh diserahkan kepada Baitul Mal untuk dilunaskan hutang tersebut dan kemudian dipindah milik untuk diwakafkan bagi diambil manfaatnya yang lebih besar.

Semoga kita segala usaha dan amalan soleh yang kita lakukan diberi ganjaran yang besar oleh Allah SWT di akhirat nanti. Amin.