Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1198: MENGGANTI PUASA SUNAT YANG DIBATALKAN

ganti puasa sunat.JPG

SOALAN

Saya sentiasa iltizam dengan puasa sunat pada hari Isnin sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Namun begitu, pada hari Isnin yang lepas, seorang kawan saya telah mengajak saya keluar makan tengah hari di sebuah restoran. Untuk tidak menghampakannya, saya telah menerima jemputannya dan membatalkan puasa sunat saya pada hari tersebut. Adakah perlu untuk saya qadha puasa sunat yang saya telah batalkan?

 

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.

Amalan berpuasa pada hari Isnin adalah satu amalan sunat yang sangat dituntut untuk diamalkan. Ini berdasarkan hadith-hadith Nabi SAW, antaranya daripada Aisyah RA telah berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ

Maksudnya: “Nabi SAW sentiasa berpuasa pada hari Isnin dan Khamis.”

Riwayat at-Tirmizi (745)

Begitu juga dengan hadis daripada Abi Qatadah al-Ansari R.A berkata:

أنَّ رَسولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ سُئِلَ عن صَوْمِ الاثْنَيْنِ فَقالَ: فيه وُلِدْتُ وَفِيهِ أُنْزِلَ عَلَيَّ

Maksudnya: Bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW telah ditanya mengenai amalan berpuasa pada hari Isnin, maka Baginda SAW bersabda: “Pada hari itu aku telah dilahirkan dan pada hari itu diturunkan ke atasku (al-Qur’an)”

Riwayat Muslim (1162)

Imam al-Nawawi menukilkan pendapat al-Qadhi Iyadh dengan berkata: Ditanggung kesahihan riwayat Syu'bah dan dikembalikan sifat puasa pada hari Isnin kerana kelahiran atau maulidnya dan juga diturunkan al-Quran al-Karim kepadanya tanpa menyebut hari Khamis. Inilah yang telah dinyatakan oleh al-Qadhi dengan jelas. Wallahu a'lam. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 7/145)

 

Mengenai hukum qadha (menggantikan) puasa sunat yang dibatalkan, para ulama’ berbeza pandangan kepada dua pendapat:

Pendapat pertama: Tidak wajib untuk menggantikan puasa sunat secara mutlak, sama ada membatalkannya kerana mempunyai keuzuran ataupun tidak. Ini kerana puasa sunat tidak wajib pada permulaanya, maka tidak wajib untuk menggantikannya jika membatalkan puasa tersebut. Ini adalah pendapat majoriti fuqaha’ dalam mazhab Syafi’e, Maliki dan Hanbali. Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (6/396-398), Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar al-Khalil (2/427), Syarh az-Zarkasyi ‘ala Mukhtasar al-Khiraqi (2/617)

Para fuqaha’ berhujah dengan hadith Nabi SAW:

Daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

دَخَلَ عَلَيَّ النبيُّ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ ذَاتَ يَومٍ فَقالَ: هلْ عِنْدَكُمْ شيءٌ؟ فَقُلْنَا: لَا، قالَ: فإنِّي إذَنْ صَائِمٌ ثُمَّ أَتَانَا يَوْمًا آخَرَ فَقُلْنَا: يا رَسولَ اللهِ، أُهْدِيَ لَنَا حَيْسٌ فَقالَ: أَرِينِيهِ، فَلقَدْ أَصْبَحْتُ صَائِمًا فأكَلَ

Maksudnya: Nabi SAW telah datang kepadaku pada suatu hari, lalu bertanya: “Adakah di sisimu sesuatu (makanan)?” Aku menjawab: “Tidak”, Nabi SAW berkata: “Jika begitu, aku berpuasa”. Kemudian Baginda mendatangi aku pada hari yang lain, maka aku berkata: “Ya Rasulullah, aku telah menerima hadiah hais (sejenis makanan Arab yang terdiri daripada campuran kurma, keju dan minyak)”, maka Baginda bersabda: “Bawakan kepadaku, sesungguhnya aku telah berpuasa pada waktu pagi, maka sekarang aku akan makan”

Riwayat Muslim (1154)

Hadith yang hampir sama lafaznya turut diriwayatkan oleh Imam an-Nasa’ie Rahimahullah dalam kitab sunannya (no.2322) dan Imam ibn Hibban Rahimahullah dalam kitab sahihnya (no.3628).

 

Pendapat kedua: Wajib untuk menggantikan puasa sunat yang dibatalkan kecuali jika seseorang itu berpuasa pada 5 hari yang diharamkan untuk berpuasa, iaitu: hari raya puasa, hari raya korban dan tiga hari tasyriq. Maka tidak wajib menggantikan puasa sunat yang dibatalkan jika berpuasa pada 5 hari tersebut. Ini adalah pendapat para fuqaha’ dalam mazhab Hanafi. Rujuk Majma’ al-Anhar fi Syarh Multaqa al-Abhar (1/252)

Para fuqaha’ dalam mazhab Hanafi berhujah berdasarkan hadith daripada Aisyah RA, beliau berkata:

أُهْدِيَ لِي وَلِحَفْصَةَ طَعَامٌ، وَكُنَّا صَائِمَتَيْنِ فَأَفْطَرْنَا، ثُمَّ دَخَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقُلْنَا لَهُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّا أُهْدِيَتْ لَنَا هَدِيَّةٌ، فَاشْتَهَيْنَاهَا فَأَفْطَرْنَا، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَا عَلَيْكُمَا صُومَا مَكَانَهُ يَوْمًا آخَرَ

Maksudnya: “Aku dan Hafsah telah diberikan hadiah makanan dan kami berdua berpuasa, maka kami membuka puasa”. Kemudian Rasulullah SAW datang kepada kami, lalu kami berkata: “Ya Rasulullah, sesungguhnya kami telah diberikan hadiah, kemudian kami berasa lapar lalu kami membuka puasa”. Maka Rasulullah SAW bersabda: “Tidak mengapa, ke atas kamu berdua menggantikannya pada hari lain.

Riwayat Abu Daud (2457), Imam an-Nawawi Rahimahullah telah menilai hadith ini
sebagai lemah di dalam kitabnya al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (6/396).

 

Kesimpulan

Dalam masalah ini, kami berpendapat bahawa pandangan majoriti ulama’, iaitu tidak wajib menggantikan puasa sunat yang dibatalkan adalah lebih tepat berdasarkan dua perkara:

  1. Hadith yang dijadikan hujah oleh para fuqaha’ mazhab Hanafi (hadith riwayat Imam Abu Daud) adalah hadith yang lemah berbanding dengan hadith yang dijadikan sandaran majoriti ulama’ (hadith riwayat Imam Muslim) yang merupakan hadith sahih.
  1. Lafaz hadith riwayat Abu Daud ((لا عليكما)) membawa maksud tidak mengapa atau tiada masalah. Oleh sebab itu, asal kepada tidak mengapa adalah tidak wajib qadha. Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (6/397), al-Mughni (3/159)

Walaupun begitu, menghimpunkan hadis Aisyah dan Hafsah yang diperintahkan oleh Nabi untuk berpuasa ganti sunat, menjadikan hukumnya adalah sunat. Justeru, kaedah usul menyebut, jika luput yang sunat maka ia boleh diqadha secara mutlak sepertimana kata ulama:

إنَّ قَضَاءَ السُّنَّةِ سُنَّةٌ كَمَا أَنَّ قَضَاءَ الوَاجِبِ وَاجِبٌ

Maksudnya: Sesungguhnya, mengqadha’ yang sunat itu hukumnya sunat sebagaimana mengqadha’ yang wajib itu hukumnya wajib. (Lihat Ithaf Zawi al-Basa'ir bi Syarh Raudhah al-Nazir, 2/264)

Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amin.