Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1424: PERLUKAH DUA NIAT UNTUK MANDI WAJIB BAGI DUA HADAS BESAR?

ak1424.png

SOALAN

Assalamualaikum SS Datuk Mufti. Selepas saya ‘bersama’ dengan suami pada waktu malam, saya mendapati pada waktu pagi sebelum solat subuh keesokan harinya, darah haid saya keluar.

Soalan saya, adakah selepas saya habis haid nanti, saya perlu berniat mandi wajib bagi mengangkat hadas daripada bersetubuh dan haid, atau saya perlu berniat mengangkat hadas haid sahaja?

Mohon penjelasan Tuan Mufti. Terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Allah SWT mensyariatkan mandi wajib bagi seseorang yang berjunub sebelum melakukan beberapa ibadah seperti mendirikan solat, tawaf, memegang mushaf al-Quran, beriktikaf di masjid dan seumpamanya berdasarkan firman Allah di dalam al-Quran:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا ۚ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) - kecuali kamu hendak melintas sahaja - hingga kamu mandi bersuci.

(Surah al-Nisa’: 43)

Begitu juga, firman Allah SWT lagi:

وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا ۚ

Maksudnya: Dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.

(Surah al-Maidah: 6)

Para ulama’ telah menetapkan beberapa perkara yang menyebabkan wajibnya mandi keatas seseorang sebelum dia melaksanakan ibadah. Perkara-perkara tersebut sepertimana yang disebut di dalam kitab al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah ialah:

  1. Jima’ atau tenggelamnya hasyafah (kepala zakar) ke dalam faraj
  2. Keluar air mani
  3. Keluar darah Haid
  4. Keluar darah Nifas
  5. Keluar darah Wiladah
  6. Mati. (Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah: 114-117)

Selain daripada itu, para ulama’ meletakkan syarat fardu bagi mandi wajib hanya tiga, iaitu:

  1. Niat
  2. Menghilangkan najis jika sekiranya ada pada badan.
  3. Meratakan air ke seluruh rambut (bulu-bulu) dan badan. (Rujuk Matan Ghoyah wa al-Taqrib: 21)

Berkaitan perbahasan niat, perbuatan berniat hendaklah dilakukan ketika membasuh basuhan pertama keatas anggota badan. Manakala berkaitan bilangan niat untuk sebab-sebab hadas yang banyak, Syeikh Hasan al-Kaf menerangkan di dalam kitabnya ini dengan menyebut:

مَسْأَلَةٌ (1): إِذَا اجْتَمَعَ عَلَيْه غُسْلَانِ وَاجِبَانِ فَأَكْثَرَ (كَالجِمَاعِ وَ خُرُوجِ المَنِيّ) فَهَلْ تَكْفِي عَنْهُمَا نِيَّةُ وَاحِدَةٌ؟

الجواب: نَعَمْ تَكْفِى نِيَّةٌ وَاحِدَةٌ لَهُمَا. وَ مِثْلُهُ فِي غُسْلِ السُنَّةِ

Maksudnya: Permasalahan 1: Jika sekiranya berkumpul dua atau lebih sebab yang menyebabkan wajib untuk mandi junub seperti jima’ dan keluar air mani contohnya, adakah memadai dengan satu niat sahaja. Jawapan: Ya, memadai dengan satu niat sahaja bagi kedua-dua sebab tersebut. Sama juga bagi mandi sunat (iaitu memadai satu niat sahaja untuk dua mandi sunat). (Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah: 118)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan bahawa cukup sekadar satu niat sahaja untuk mandi wajib tersebut bagi dua atau lebih sebab yang mewajibkan mandi bagi seseorang tersebut. Justeru, tidak perlu untuk dia berniat untuk mandi wajib bagi dua hadas seperti hadas jima’ dan keluar darah haid. Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman terhadapnya serta memberikan kita taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari’at-Nya dengan sebaiknya. Amin.

WaAllahu a’lam.