Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1459 : HUKUM MEMAKAI KHUF YANG DIPERBUAT DARIPADA KULIT HAIWAN YANG TIDAK DIMAKAN

AKI1459

Soalan :

Assalamu’alaikum S.S Mufti, bolehkah kita memakai khuf yang diperbuat dari kulit haiwan yang tidak dimakan ?

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Menurut kitab Al-Fiqh Al-Manhaji, khuf membawa erti : Dua kasut yang diperbuat daripada kulit yang menutup kedua buku lali. Rujuk Al-Fiqh Al-Manhaji (1/65).

Pemakaian khuf ini merupakan sebahagian dari sunnah Nabi S.A.W. Bahkan para ulama banyak meletakkan perbahasan khuf ini di dalam kitab-kitab akidah seperti Al-Aqidah Al-Tahawiyyah dan selainnya kerana ingin menyelisihi firqah menyeleweng seperti Al-Rafidhah yang mengingkari perbuatan menyapu ke atas dua khuf ini. Antara dalil yang menunjukkan kepada keharusan sapuan ke atas khuf adalah berdasarkan sebuah riwayat daripada Jabir bin Abdillah R.A beliau berkata :

رَأَيْتُ النَّبِىَّ صَلى الله عليهِ وَسَلّم بَالَ ثُمَّ تَوَضَّأَ، وَمَسَحَ عَلَى خُفَّيْهِ

Maksudnya : Aku pernah melihat bahawa apabila Rasulullah S.A.W selesai membuang air kecil, kemudian baginda berwuduk dan menyapu ke atas dua khuf baginda.

Riwayat Al-Bukhari (1478)

Para fuqaha telah meletakkan beberapa syarat berkenaan pemakaian khuf ini, seperti yang disebutkan dalam Al-Fiqh Al-Manhaji (1/66) yang kami kongsikan seperti berikut :

Pertama: Kedua-duanya dipakai setelah berwuduk dengan sempurna. Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Al-Mughirah bin Syu’bah R.A beliau berkata:

كُنْتُ مَعَ النَّبِىِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم َفِى سَفَرٍ، فَأَهْوَيْتُ لأَنْزِعَ خُفَّيْهِ فَقَالَ دَعْهُمَا، فَإِنِّى أَدْخَلْتُهُمَا طَاهِرَتَيْنِ فَمَسَحَ عَلَيْهِمَا 

Maksudnya: Aku bermusafir bersama-sama Nabi SAW. Ketika itu aku tunduk untuk menanggalkan kedua-dua khufnya, Baginda bersabda: Biarkan, aku memakainya ketika suci. Lalu Baginda menyapu bahagian atas kedua-duanya.”

Riwayat Al-Bukhari (203)

 

Kedua: Kedua-dua mestilah menutupi kesemua bahagian kaki yang wajib dibasuh (iaitu menutup sehingga ke bahagian buku lali atau lebih sedikit). Ini kerana kedua-duanya tidak dinamakan khuf kecuali dalam keadaan demikian.

Ketiga: Kedua-duanya hendaklah kalis air (iaitu tidak menyebabkan air menembus ke dalam mengenai bahagian kaki), kecuali pada jahitannya.

Keempat: Kedua-duanya mestilah kukuh dan tahan lasak hingga boleh dipakai berjalan selama sehari semalam bagi orang yang bermukim dan tiga hari tiga malam bagi yang bermusafir.

Kelima: Kedua-duanya mestilah suci sekalipun diperbuat daripada kulit bangkai yang disamak, kulit bangkai yang disamak adalah suci.

Justeru, apabila kita melihat kepada syarat yang kelima tersebut, dapat difahami bahawa kulit apa sahaja haiwan melainkan anjing dan khinzir, sama ada yang halal dimakan atau tidak, maka boleh digunakan untuk membuat khuf. Ini kerana bangkai haiwan sama ada yang dimakan atau tidak dimakan, maka kulitnya adalah suci sekiranya telah disamak. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

أَيُّمَا إِهَابٍ دُبِغَ فَقَدْ طَهُرَ

Maksudnya : Mana-mana kulit yang telah disamak, maka sesungguhnya ia telah menjadi suci.

Riwayat Al-Nasa’ie (4241)

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa hukum memakai khuf yang diperbuat daripada kulit haiwan yang tidak dimakan selain anjing dan babi, adalah boleh digunakan sekiranya ia telah disamak. Dan setiap kulit yang disamak itu adalah suci melainkan kulit babi dan anjing.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.