Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1712 : ADAKAH ZONKEY HALAL DIMAKAN?

AL KAFI 1712 Zonkey

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu persoalan. Baru-baru ini, saya ada membaca sebuah berita di dalam internet bahawa seekor anak kacukan antara kuda belang dan keldai telah dilahirkan di Chyulu Hills. Ia dikenali sebagai zonkey. Kita tahu bahawa keldai jinak (peliharaan) haram dimakan, tetapi kuda belang halal dimakan. Jadi soalannya, zonkey tersebut mengikut hukum keldai atau kuda belang? Mohon pencerahan mengenai perkara ini.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.A :

أنَّ رَسولَ اللهِ صَلّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ نَهى يَومَ خَيْبَرَ عن لُحُومِ الحُمُرِ الأهْلِيَّةِ، وَأَذِنَ في لُحُومِ الخَيْلِ

Maksudnya : “Sesungguhnya Rasulullah SAW semasa perang Khaibar telah melarang daripada (memakan) daging keldai jinak (peliharaan), dan mengizinkan untuk memakan daging kuda.” Riwayat Muslim (1941)

Hadis di atas menunjukan bahawa kita dilarang atau diharamkan untuk memakan daging keldai jinak (peliharaan) dan diharuskan untuk memakan daging kuda.

Imam al-Nawawi telah menukilkan bahawa ini adalah merupakan pendapat majoriti ulama. Bahkan Imam al-Khattabi telah menyebutkan bahawa larangan untuk memakan keldai jinak ini adalah merupakan pendapat seluruh ulama (‘Ammah al-Ulama). (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/6) Begitu juga mengenai keharusan memakan daging kuda. Imam al-Nawawi telah menyenaraikan sejumlah nama-nama ulama yang bersetuju dengan pendapat bahawa daging kuda adalah halal serta tidak makruh memakannya. Antaranya ialah Abdullah bin al-Zubair, Fadhalah bin ‘Ubaid, Anas bin Malik, Asma’ binti Abu Bakar, Sa’id bin Jubair, al-Hasan al-Basri, Ibrahim al-Nakha’i, Hammad bin Abu Sulaiman, Abu Yusuf, Muhammad al-Syaibani, Abu Daud dan lain-lain. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/4)

Definisi zonkey dan ciri-cirinya[1]

Zonkey adalah haiwan kacukan yang dihasilkan melalui pembiakan silang antara dua spesies yang berbeza tetapi berada dalam satu kumpulan genetik yang sama. Secara teknikalnya, individu haiwan tersebut hanya diklasifikasikan sebagai zonkey sekiranya benih jantan adalah daripada kuda belang (zebra) dan benih betina adalah daripada keldai. Namun, sekiranya benih jantan daripada keldai dan benih betina daripada kuda belang, ia dikenali sebagai zedonk. Selain itu, kacukan antara kuda belang dan keldai juga dikenali sebagai zebras dan zenkey.

Keldai dan kuda belang adalah haiwan yang saling berkait rapat antara satu sama lain dan kedua-duanya tergolong dalam famili kuda. Oleh itu, kedua-dua spesies ini mempunyai sebilangan ciri-ciri yang hampir sama (serupa) termasuklah ukuran saiznya. Sekalipun zonkey cenderung untuk memiliki ukuran saiz yang sama dengan kedua-dua haiwan ini, tetapi penampilannya dilihat lebih cenderung kepada rupa keldai dengan corak garisan-garisan unik pada bulu mereka yang diwarisi daripada ibubapa kuda belang mereka. Zonkey biasanya berwarna coklat atau kelabu di bahagian bawah badannya dan pada beberapa bahagian badan yang lebih ringan seperti kaki dan perutnya di mana garis-garis gelap zonkey paling menonjol. Ia juga mempunyai bulu panjang berwarna hitam di sepanjang bahagian belakang atas badannya sehingga ke bahagian ekor. Zonkey juga mempunyai kepala dan telinga yang besar, menyebabkan ianya lebih menyerupai keldai berbanding kuda belang (zebra).

Hukum daging zonkey

Sebenarnya perbahasan mengenai zonkey ini sangat berkait rapat dengan perbahasan para ulama mengenai hukum daging baghal. Baghal ialah binatang hasil daripada pengawanan antara kuda betina dengan keldai jantan. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat, hlm. 103)  

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa daging baghal adalah haram di sisi mazhab Syafie. Dan ini juga adalah merupakan pendapat seluruh para ulama melainkan apa yang telah dinukilkan oleh ulama-ulama mazhab Syafie bahawa al-Hasan al-Basri berpendapat daging baghal adalah harus (dimakan). (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/8)

Pengharaman daging baghal ini, adalah berdasarkan riwayat Jabir bin Abdullah R.A, beliau telah berkata :

ذَبَحْنَا يَوْمَ خَيْبَرَ الْخَيْلَ، وَالْبِغَالَ، وَالْحَمِيرَ، فَنَهَانَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ البِغَالِ، وَالْحَمِيرِ، وَلَمْ يَنْهَنَا عَنِ الْخَيْلِ

Maksudnya : “Pada waktu perang Khaibar, kami telah menyembelih kuda, baghal dan keldai (jinak). Rasulullah SAW telah melarang kami daripada (memakan) daging baghal dan keldai (jinak), tetapi tidak melarang kami daripada (memakan) daging kuda.” Riwayat Abu Daud (3789)

Imam Kamaluddin al-Damiri juga menyatakan bahawa diharamkan memakan baghal kerana ia adalah haiwan (spesies) yang lahir daripada pengawanan antara haiwan yang halal (dimakan) dengan haiwan yang haram. Sekiranya haiwan tersebut lahir daripada pengawanan antara kuda dengan keldai liar, maka dagingnya adalah halal tanpa khilaf (sepakat ulama). Dan disandarkan dengan (hukum) baghal pada pengharaman (memakan dagingnya) bagi setiap haiwan yang lahir daripada pengawanan antara haiwan yang boleh dimakan dengan tidak boleh dimakan seperti al-Sim’u (السِّمْعُ)[2]. Demikianlah juga hukumnya bagi keldai yang lahir, hasil daripada pengawanan antara keldai liar dengan keldai jinak (peliharaan), sama ada haiwan yang halal dimakan itu jantan atau betina. (Lihat al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, 9/547-548)

Perkara ini juga bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan bahawa :

إذا تعارض حاظر ومبيح قدّم الحاظر احتياطا

Maksudnya : “Sekiranya bertembung antara hukum haram dan harus, maka hukum haram didahulukan sebagai langkah berhati-hati.” (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah al-Mustakhrajah min Kitab I’lam al-Muwaqqi’in, hlm. 400)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan bahawa hukum daging zonkey terbahagi kepada dua keadaan iaitu :

  • Sekiranya zonkey yang lahir ini adalah merupakan hasil kacukan daripada pembiakan silang antara kuda belang dan keldai liar, maka dagingnya adalah halal dimakan tanpa sebarang khilaf.
  • Akan tetapi, sekiranya zonkey itu adalah merupakan hasil kacukan pembiakan silang antara kuda belang dan keldai jinak (peliharaan), maka kami cenderung kepada pendapat yang menyatakan bahawa dagingnya haram dimakan. Ini adalah pendapat yang lebih selamat dan berhati-hati.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

 

[1] Lihat https://a-z-animals.com/animals/zonkey/. Telah diakses pada 22 April 2020.

[2] Al-Sim’u ialah haiwan yang lahir daripada pengawanan antara serigala dengan dubuk dan hukumnya adalah haram (dimakan). (Lihat al-Mughni, 9/407-408)