Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

al Kafi 1713

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu persoalan. Selepas membaca surah al-Fatihah di dalam solat. Selepas itu, kita disunatkan untuk membaca mana-mana surah. Soalan saya, manakah lebih baik antara membaca surah pendek secara sempurna atau sebahagian ayat di dalam surah yang panjang? Atau kedua-duanya sama sahaja. Mohon pencerahan mengenai perkara ini.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, membaca surah dan ayat-ayat al-Quran selepas surah al-Fatihah adalah merupakan perkara sunat dan menyempurnakan lagi pahala solat. Al-Khatib al-Syirbini menyebutkan bahawa membaca surah selepas bacaan al-Fatihah (adalah sunat) sekalipun pendek pada dua rakaat yang awal oleh imam atau orang yang solat bersendirian, sama ada solat secara jahriyyah atau sirriyyah. (Lihat al-Iqna’ fi Hal  Alfaz Abi Syuja’, 1/143-144)

Bacaan ayat al-Quran selepas surah al-Fatihah

Menjawab persoalan di atas, Imam Ibn Hajar al-Haitami ada menyebutkan bahawa :

وَيَحْصُلُ أَصْلُ سُنَّتِهَا بِآيَةٍ بَلْ بِبَعْضِهَا إنْ أَفَادَ عَلَى الْأَوْجَهِ وَالْأَفْضَلُ ثَلَاثٌ وَسُورَةٌ كَامِلَةٌ أَفْضَلُ مِنْ بَعْضِ طَوِيلَةٍ

Maksudnya : “Asal pahala sunatnya (bacaan al-Quran selepas al-Fatihah) diperoleh dengan hanya (membaca) satu ayat. Bahkan sebahagiannya (daripada ayat tersebut) sekiranya bermanfaat (memberi makna). Namun, adalah lebih baik (membaca) tiga ayat. Dan (membaca) satu surah secara sempurna  adalah lebih baik berbanding membaca sebahagian ayat surah yang panjang.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 2/51-52)

Hal ini adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah bahawa :

كانَ النبيُّ صَلّى اللهُ عليه وسلَّمَ يَقْرَأُ في الرَّكْعَتَيْنِ مِنَ الظُّهْرِ والعَصْرِ بفاتِحَةِ الكِتابِ، وسُورَةٍ سُورَةٍ، ويُسْمِعُنا الآيَةَ أحْيانًا.

Maksudnya : “Nabi SAW membaca di dalam dua rakaat (yang pertama) solat Zohor dan Asar surah al-Fatihah dan surah surah (iaitu di rakaat pertama dan kedua), serta baginda kadang-kadang memperdengarkan kami ayat (yang dibacanya).” Riwayat al-Bukhari (762) dan Muslim (451)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan bahawa :

فِيهِ دَلِيلٌ... أَنَّ قِرَاءَةَ سُورَةٍ قَصِيرَةٍ بِكَمَالِهَا أَفْضَلُ مِنْ قِرَاءَةِ قَدْرِهَا من طويلة لأن المستحب للقارئ أن يبتدىء مِنْ أَوَّلِ الْكَلَامِ الْمُرْتَبِطِ وَيَقِفُ عِنْدَ انْتِهَاءِ الْمُرْتَبِطِ وَقَدْ يَخْفَى الِارْتِبَاطُ عَلَى أَكْثَرِ النَّاسِ أَوْ كَثِيرٍ فَنُدِبَ مِنْهُمْ إِلَى إِكْمَالِ السُّورَةِ لِيُحْتَرَزَ عَنِ الْوُقُوفِ دُونَ الِارْتِبَاطِ

Maksudnya : “Padanya terdapat dalil… bahawa membaca surah yang pendek secara sempurna (lengkap) adalah lebih baik berbanding membaca ayat-ayat daripada surah yang panjang mengikut kadarnya (surah yang pendek tersebut) kerana disunatkan bagi Qari untuk memulakan bacaannya daripada permulaan ayat yang saling berkaitan (dalam sesuatu topik) dan berhenti pada bahagian penghabisan perkara yang berkaitan itu. Boleh jadi perkaitan atau perkara yang menghubungkan (antara ayat-ayat al-Quran) ini tersembunyi kepada kebanyakan atau ramai orang. Oleh itu, disunatkan kepada mereka untuk melengkapkan bacaan surah tersebut agar dapat mengelakkan daripada berhenti (pada suatu ayat) tanpa perkaitannya.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/174)

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menguatkan lagi hujah Imam al-Nawawi di atas dengan mengatakan bahawa lafaz (كَانَ يَفْعَلُ) di dalam hadis tersebut menunjukkan kepada perbuatan yang berterusan atau kerap (kebiasaannya). (Lihat Fath al-Bari, 2/244)

Membaca sebahagian ayat daripada surah adalah harus

Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah menyatakan di dalam kitabnya :

وَكَانَ مِنْ هَدْيِهِ قِرَاءَةُ السُّورَةِ كَامِلَةً، وَرُبَّمَا قَرَأَهَا فِي الرَّكْعَتَيْنِ، وَرُبَّمَا قَرَأَ أَوَّلَ السُّورَةِ. وَأَمَّا قِرَاءَةُ أَوَاخِرِ السُّوَرِ وَأَوْسَاطِهَا فَلَمْ يُحْفَظْ عَنْهُ. وَأَمَّا قِرَاءَةُ السُّورَتَيْنِ فِي رَكْعَةٍ فَكَانَ يَفْعَلُهُ فِي النَّافِلَةِ، وَأَمَّا فِي الْفَرْضِ فَلَمْ يُحْفَظْ عَنْهُ.

Maksudnya : “Di antara petunjuk Nabi SAW ialah membaca surah secara lengkap (selepas al-Fatihah di dalam rakaat solat), boleh jadi baginda membacanya di dalam dua rakaat, dan boleh jadi juga baginda membaca ayat pada awal surah. Adapun membaca ayat-ayat pada akhir surah atau pertengahannya, tidak pernah diriwayatkan daripada baginda. Begitu juga, membaca dua surah dalam satu rakaat, baginda SAW hanya melakukannya di dalam solat sunat manakala di dalam solat fardu, tidak pernah diriwayatkan daripada baginda (membaca dua surah dalam satu rakaat).” (Lihat Zad al-Ma’ad, 1/208)

Walau bagaimanapun, terdapat riwayat daripada Abdullah bin ‘Abbas R.Anhuma yang menceritakan bahawa :

أنَّ رَسولَ اللهِ ﷺ، كانَ يَقْرَأُ في رَكْعَتَيِ الفَجْرِ في الأُولى منهما: {قُولوا آمَنّا باللَّهِ وَما أُنْزِلَ إلَيْنا} الآيَةَ الَّتي في البَقَرَةِ، وفي الآخِرَةِ منهما: {آمَنّا باللَّهِ واشْهَدْ بأنّا مُسْلِمُونَ} وفي رواية : {تَعالَوْا إلى كَلِمَةٍ سَواءٍ بيْنَنا وبيْنَكُمْ}

Maksudnya : “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah membaca di dalam rakaat pertama solat subuh : { قُولوا آمَنّا باللَّهِ وَما أُنْزِلَ إلَيْنا } iaitu ayat yang terdapat di dalam surah al-Baqarah, dan di dalam rakaat kedua : { آمَنّا باللَّهِ واشْهَدْ بأنّا مُسْلِمُونَ}. Dan di dalam riwayat lain : {تَعالَوْا إلى كَلِمَةٍ سَواءٍ بيْنَنا وبيْنَكُمْ }.” Riwayat Muslim (727)

Imam al-Syaukani menyatakan bahawa hadis ini menunjukkan bahawa harus membaca sebahagian ayat daripada surah di dalam rakaat solat. (Lihat Nail al-Autar, 2/267)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara :

  • Kami cenderung kepada pendapat yang menyatakan bahawa membaca surah secara lengkap sekalipun pendek di dalam rakaat selepas bacaan surah al-Fatihah adalah lebih baik (afdhal) berbanding membaca sebahagian ayat sahaja daripada mana-mana surah. Hal ini kerana ia lebih selamat dan berhati-hati dalam menjaga perkaitan dan topik yang dibawakan di dalam ayat-ayat al-Quran. Selain itu juga, kerana ramai orang tidak nampak atau tidak tahu perkaitan antara ayat-ayat al-Quran yang dibacakan itu menyebabkan boleh jadi mereka berhenti pada tempat yang tidak diharuskan untuk berhenti atau topiknya masih lagi tergantung (belum habis dibicarakan) sebagaimana yang difahami menerusi kata-kata Imam al-Nawawi.
  • Walau bagaimanapun, harus hukumnya membaca sebahagian ayat-ayat daripada surah di dalam solat dan tetap mendapat pahala sunat sekalipun dengan hanya membaca satu ayat daripadanya. Namun, sebaik-baiknya adalah membaca sekurang-kurangnya tiga ayat sebagaimana yang telah disebutkan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.