Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1720 : HUKUM BERZIKIR DALAM HATI

AK1720

Soalan :

Assalamu’alaikum ustaz, apakah hukumnya seseorang itu berzikir di dalam hati dan adakah mendapat pahala jika melakukannya ?

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Berzikir merupakan suatu ibadah mengingati Allah S.W.T sama ada melalui lisan ataupun melalui jantung hati. Zikir menerusi lidah meliputi istighfar, berdoa, berselawat ke atas Rasulullah S.A.W, tasbih, tahmid, takbir, tahlil, pembacaan Al-Quran dan seumpamanya.

Membaca Al-Quran turut termasuk dalam kategori perbuatan zikrullah. Kerana itu kita dapat melihat sebahagian mufassirin menafsirkan perkataan zikir yang terdapat di dalam Al-Quran sebagai pembacaan Al-Quran. Antaranya seperti yang disebutkan dalam firman Allah S.W.T :

وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَىٰ

Maksudnya : Dan sesiapa yang berpaling dari mengingati-Ku maka buat dirinya kehidupan yang sempit dan Kami akan bangkitkan dia pada hari kiamat kelak dalam keadaan buta.

Surah Ta Ha (124)

Imam Al-Qurthubi dalam tafsiran beliau ke atas kalimah وَمَنْ أَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِي berkata :

أَيْ دِينِي، وَتِلَاوَةِ كِتَابِي، وَالْعَمَلِ بِمَا فِيهِ

Maksudnya : Iaitu (berpaling dari) agamaku, membaca kitab-Ku (Al-Quran), dan (berpaling) dari beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya.

Rujuk Al-Jami’ li Ahkam Al-Quran, Al-Qurthubi (11/258)

Manakala berzikir di dalam hati juga merupakan suatu perkara yang dituntut. Dalam erti kata seseorang itu mengingati Allah S.W.T di dalam hatinya. Perbahasan ini telah kami kupas dalam  Al-Kafi #1410 : Hukum Berfikir Tentang Allah yang boleh dibaca menerusi pautan berikut https://bit.ly/2yNYs7o

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, berikut kami kongsikan firman Allah S.W.T :

وَاذْكُر رَّبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً

Maksudnya : Dan ingatlah Tuhan kamu di dalam diri kamu secara rendah diri dan penuh rasa takut.

Surah Al-A’raaf (205)

Imam Al-Thabari dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini menukilkan pendapat Mujahid bin Jabr yang menyebut :

أمروا أن يذكروه في الصدور تضرعًا وخيفة

Maksudnya : Mereka diperintahkan untuk mengingatinya (Allah) di dalam dada dengan penuh rendah diri dan juga penuh rasa takut.

Rujuk Tafsir Al-Thabari (13/354)

Ini bererti perasaan rendah diri dan perasaan takut itu dihadirkan bersama dengan mengingati Allah S.W.T di dalam hati. Ini bertepatan dengan apa yang difirmankan oleh Allah S.W.T :

وَلِمَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ جَنَّتَانِ

Maksudnya : Buat mereka yang takutkan maqam Tuhan mereka, ganjaran dua syurga.

Surah Ar-Rahman (46)

Imam Ibn Abi Al-Dunya menukilkan tafsiran Mujahid Ibn Jabr ke atas ayat ini yang menyebut :

هُوَ الرَّجُلُ يُرِيدُ أَنْ يُذْنِبَ الذَّنْبَ، فَيَذْكُرُ مَقَامَ رَبِّهِ، فَيَدَعُ الذَّنْبَ

Maksudnya : Dia adalah seorang lelaki yang hendak melakukan suatu dosa, kemudian dia mengingati kedudukan Tuhannya, lalu dia pun meninggalkan dosa tersebut.

Rujuk Al-Taubah, Ibn Abi Al-Dunya (Hlm. 67)

Maka jelas dari beberapa kenyataan di atas, zikir di dalam hati merujuk kepada mengingati Allah S.W.T serta merasai kebesaran dan ketinggian kedudukan Allah S.W.T di dalam jiwanya yang membawa dirinya kepada sikap rendah diri, serta takut kepada Allah S.W.T.

Imam Maimun Ibn Mihran berkata :

الذِّكْرُ ذِكْرَانِ ذِكْرُ اللهِ بِاللِّسَانِ، وَأَفْضَلُ مِنْ ذَلِكَ أَنْ تَذْكُرَهُ عِنْدَ الْمَعْصِيَةِ إِذَا أَشْرَفْتَ عَلَيْهَا

Maksudnya : Zikir itu ada dua. Zikrullah dengan menggunakan lisan (lidah), dan yang lebih afdhal dari itu adalah kamu mengingatinya ketika mana kamu hampir melakukan maksiat.

Rujuk Hilyah Al-Awliya’, Abu Nu’aim (4/87)

Penutup

Sebagai kesimpulan, setelah kami menekuni beberapa hujahan dan nas di atas kami menyatakan bahawa berzikir di dalam hati dalam erti kata mengingati Allah S.W.T dan mengenangkan kekuasaan serta kebesaran-Nya merupakan suatu sunnah yang dituntut di sisi syarak dan memberikan ganjaran pahala yang besar kepada para pelakunya. Semoga kita semua tergolong dalam kalangan mereka yang memperbanyakkan zikrullah menerusi lisan dan juga melalui jantung hati.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.