Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

Soalan:

Assalamu'alaikum. Mohon bertanya, mana lebih utama antara membayar zakat pendapatan dan menyelesaikan hutang sekiranya orang itu mempunyai kewangan yang agak terhad untuk melangsaikan kedua-duanya dalam satu masa? Terima kasih.

Ringkasan Jawapan:

Sekiranya seseorang sudah sampai tempohnya untuk membayar hutang, dan dalam masa yang sama cukup syarat-syarat wajib mengeluarkan zakat maka hendaklah didahulukan untuk membayar hutang sekiranya keadaan hartanya tidak mencukupi. Kemudian jika masih berbaki hartanya, dan cukup syarat untuk mengeluarkan zakat maka hendaklah dikeluarkan zakat. Adapun sekiranya hartanya mencukupi, maka hendaklah dilangsaikan kedua-duanya sekaligus kerana kedua-duanya merupakan tuntutan wajib. Wallahu a’lam.

Huraian Jawapan:

Wa’alaikumussalam WBT. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Para fuqaha’ menjelaskan bahawa zakat merupakan tuntutan yang wajib. Ia berdasarkan firman Allah SWT:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”.

Surah al-Taubah (103)

Begitu juga kewajipan membayar hutang adalah wajib berdasarkan sabda Baginda SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

نَفْسُ اَلْمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ, حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya: Roh orang yang beriman itu tergantung disebabkan hutang, sehingga dibayarkan untuknya (hutang tersebut).

Riwayat al-Tirmizi (1078)

Justeru, berdasarkan dalil-dalil yang telah disebutkan, jelaslah bahawa hutang dan zakat ialah suatu kewajipan yang wajib ditunaikan oleh seseorang Muslim. Bagi seorang Muslim yang memiliki harta yang telah mencapai nisab dan tempoh tertentu maka dia wajib mengeluarkan zakatnya, demikian juga bagi seseorang yang memiliki hutang maka ia wajib membayarnya. Boleh rujuk artikel kami yang berkaitan dalam masalah ini:

Al-Kafi #1082: Bayar Hutang Atau Bayar Nafkah: https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3084-al-kafi-1082-bayar-hutang-atau-bayar-nafkah

Namun begitu, jika seseorang menghadapi dua kewajipan dalam suatu masa (membayar hutang secara segera dan mengeluarkan zakat), dan keadaan kewangannya agak terhad (tidak dapat membayar kedua-duanya sekaligus), maka yang mana satu patut didahulukan? Para ulama’ menjelaskan berkenaan hal ini seperti berikut:

Imam Khatib al-Syirbini berkata:

إذَا اجْتَمَعَا عَلَى حَيٍّ وَضَاقَ مَالُهُ عَنْهُمَا فَإِنْ كَانَ مَحْجُورًا عَلَيْهِ قُدِّمَ حَقُّ الْآدَمِيِّ وَإِلَّا قُدِّمَتْ الزَّكَاةُ

“Dan sekiranya berhimpun hutang dan zakat ke atas orang yang masih hidup dan sempit hartanya (kewangannya agak terhad), iaitu jika dia mahjur ‘alaih (terhalang daripada menggunakan harta disebabkan hutang), maka didahulukan hak manusia (hutang), namun jika tidak terhalang (disebabkan hutang) maka didahulukan zakat ke atasnya”. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 3/133; Hasyiyah al-Jamal, 2/290).

Imam al-Suyuti berkata:

“Bahkan didahulukan hak-hak manusia (hutang) dan dikemudiankan hak-hak Allah selagi mana orang itu masih hidup. Dan antara contoh masalah ini antaranya, apabila berhimpunnya hutang dan zakat (iaitu didahulukan membayar hutang ke atas zakat)”. (Rujuk: al-Asybah wa al-Naza’ir, 1/355).

Darul Ifta’ Mesir ketika mengulas berkenaan hal ini berkata:  

“Adapun seseorang sekiranya ada hutang ke atasnya dan (dalam masa yang sama) telah tiba masanya untuk mengeluarkan zakat, maka ditentukan ke atasnya untuk melangsaikan hutangnya terlebih dahulu, kemudian membayar zakat jika  masih lagi berbaki hartanya setelah itu (membayar hutang), sekiranya harta yang berbaki itu mencukupi syarat-syarat dan kadar wajib untuk mengeluarkan zakat harta”. (Rujuk: https://www.elbalad.news/3948532).

Justeru, jelaslah bahawa bagi seseorang yang diwajibkan ke atasnya zakat dan hutang pada masa yang sama, maka hendaklah didahulukan untuk membayar hutang ke atas zakat sekiranya hartanya tidak mencukupi. Dalam hal ini para ulama’ menyebutkan:

“Hal ini kerana hak manusia (hutang) itu dibina atas kesempitan dan kebakhilan, maka didahulukan ke atas hak Allah SWT (contohnya zakat) yang dibina di atas kemudahan dan tolak ansur, seperti mana didahulukan qisas ke atas bunuh dalam masalah orang yang murtad”. (Rujuk: Kifayah al-Nabih fi Syarh al-Tanbih, 6/69).

Kesimpulan

Setelah meneliti perbahasan di atas, justeru jelaslah bahawa sekiranya seseorang diwajibkan zakat dan hutang ke atasnya serta hartanya tidak mencukupi maka hendaklah didahulukan untuk membayar hutang. Kemudian jika masih berbaki hartanya, dan cukup syarat untuk mengeluarkan zakat maka hendaklah dikeluarkan zakat. Adapun sekiranya kewangannya mencukupi, maka hendaklah dilangsaikan kedua-duanya sekaligus kerana kedua-duanya merupakan tuntutan wajib.

Walau bagaimanapun, sekiranya hutang itu adalah hutang jangka masa panjang, maka hutang tersebut tidak mengurangi kewajipan zakat sedikitpun. Yang menjadi masalah hanyalah sekiranya hutang tersebut perlu dibayar bersamaan dengan waktu yang diwajibkan zakat ke atasnya.

Wallahu a’lam.