Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

puasa 2

Soalan

Assalamualaikum, saya nak bertanya berkenaan puasa nazar. Contohnya kalau kita bernazar untuk berpuasa selama 5 hari, bolehkah kita berpuasa secara selang seli atau perlu puasa penuh secara berturut-turut. Terima kasih.

 

Jawapan Ringkas

Sekiranya nazar tersebut diniatkan secara mutlak tanpa mengkhususkan sama ada ingin buat secara selang-seli mahupun berterusan, maka seseorang itu bebas untuk memilih mana-mana cara yang diinginkan. Kewajipan nazar tersebut kekal bersifat umum mengikut apa-apa kaedah sekalipun selagimana mencapai tujuan dan hasrat utama iaitu berpuasa sebanyak bilangan 5 hari. 

 

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam W.B.T. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Nazar bermaksud mewajibkan suatu perbuatan qurbah (ibadah yang mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak diwajibkan oleh syara’ (ke atas dirinya), sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengikat) dengan suatu perkara. 

(Rujuk: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/501)

Setiap nazar yang menepati rukun dan syarat, wajib dipenuhi. Ini bersandarkan hadis Rasulullah SAW,

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلا يَعْصِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah, maka wajib laksanakannya. Barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat pada-Nya, maka jangan lakukan.”

Riwayat Bukhari (6202)

Barang siapa yang bernazar untuk berpuasa selama 5 hari secara mutlak tanpa mengikatnya dengan perkara lain seperti puasa secara berturut-turut mahupun secara terpisah-pisah, maka dia mempunyai kebebasan untuk memilih mana-mana kaedah yang disukai.

Perkara ini disebutkan oleh Imam Ramli dalam kitabnya,

(فَإِنْ قَيَّدَ بِتَفْرِيقٍ أَوْ مُوَالَاةٍ وَجَبَ) مَا قَيَّدَ بِهِ عَمَلًا بِمَا الْتَزَمَهُ، أَمَّا الْمُوَالَاةُ فَظَاهِرٌ، وَأَمَّا التَّفْرِيقُ فَلِأَنَّ الشَّارِعَ نَظَرَ إلَيْهِ فِي صَوْمِ الْمُتَمَتِّعِ، فَإِنْ نَذَرَ عَشَرَةً مُتَفَرِّقَةً فَصَامَهَا وَلَاءً حُسِبَ لَهُ مِنْهَا خَمْسَةٌ (وَإِلَّا) بِأَنْ لَمْ يُقَيِّدْ بِتَفْرِيقٍ وَلَا مُوَالَاةٍ (جَازَ) كُلٌّ مِنْهُمَا وَالْوَلَاءُ أَفْضَلُ.

Maksudnya: “Berkenaan isu mengkhususkan (niat puasa) sama ada ingin dilakukan secara terpisah mahupun berturut-turut, maka wajib melaksanakannya mengikut apa yang diniatkan. Adapun secara berturut-turut, maka halnya jelas. Adapun secara terpisah, maka Syarak melihatnya (sepertimana) hal orang yang berpuasa Mutamatti’ (iaitu: denda berpuasa 10 hari secara terpisah yang dikenakan bagi mereka yang mengerjakan Haji Tamattu’). Oleh itu, bagi sesiapa yang bernazar puasa sepuluh hari secara terpisah, tetapi dia melakukannya secara berturut-turut, maka dia dianggap baru berpuasa lima hari. Sebaliknya, jika dia tidak mengkhususkan (nazarnya) sama ada (dilakukan) secara terpisah mahupun berturut-turut, maka diharuskan untuk melakukan mana-mana sahaja. Walaupun begitu, melaksanakan secara berturut-turut adalah lebih afdhal (baik)”.

(Lihat: Nihayah al-Muhtaj, 8/225)

Berdasarkan teks ulama di atas, boleh difahami bahawa sekiranya niat puasa nazarnya diikat dengan perkara-perkara tertentu, maka wajib mengikut apa yang diniatkan. Jika diniatkan secara mutlak, maka dia bebas beramal dengan keumuman ibadah tersebut selagimana objektif nazar tersebut tercapai.

Wallahu a’lam.