Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

HUKUM JUAL BULUH PERINDU

 

Soalan:

Assalamualaikum. Saya nak tanya apakah hukum jual buluh perindu di Facebook?

 

Jawapan Ringkas:

Haram menjual buluh perindu secara atas talian atau tradisional sekiranya buluh perindu itu tujuannya adalah untuk perkara yang berunsur syirik seperti sebagai pelaris. Namun begitu, sekiranya buluh perindu tersebut dijual kerana tujuan-tujuan lain seperti seruling ataupun perhiasan maka ianya harus.

 

Huraian Jawapan:

Buluh perindu atau nama saintifiknya Bambusa magica merupakan sejenis pokok buluh kecil yang akan mengeluarkan bunyi merdu apabila ditiup angin. Oleh kerana itu, buluh perindu sering digunakan sebagai seruling. Selain itu, terdapat juga peribahasa Melayu yang berbunyi “Seperti bangsi buluh perindu” yang membawa maksud suara yang lemah lembut dan merdu.

Namun begitu, dalam konteks masyarakat Melayu, buluh perindu ini cukup sinonim dengan minyak buluh perindu. Laporan akhbar Berita Harian September 13, 2015 menyatakan bahawa minyak buluh perindu dan beberapa jenis yang lain amat sinonim dengan masyarakat melayu yang digunakan sebagai pelaris perniagaan. Ini kerana wujudnya kepercayaan bahawa semangat yang terkandung dalam objek-objek tersebut seperti minyak buluh perindu akan membantu dalam melariskan jualan mereka.

Asas kepercayaan bahawa sesuatu barang boleh membawa tuah dan melariskan perniagaan adalah suatu perkara yang berunsur syirik kerana mempercayai kekuasaan lain selain kekuasaan Allah. Oleh kerana itu, mensyirikkan Allah dianggap sebagai satu dosa besar.

Rasulullah SAW bersabda,

أَكْبَرُ الْكَبَائِرِ الإِشْرَاكُ بِاللَّهِ

Maksud: Dosa yang paling besar dari dosa-dosa besar adalah menyekutukan Allah (dengan sesuatu).

(Sahih Bukhari No.6919)

Asal hukum kepada sesuatu jual beli adalah harus selagimana tiada perkara yang menjadikannya haram atau melanggar syarat dan rukun jual beli. Terdapat kaedah fiqh yang berbunyi:

الأصل في المعاملات الإباحة

Maksud: Hukum asal dalam muamalat adalah harus. (Rujuk Yasalunaka ’An al-Muamalat al-Maliyah al-Mu’asarah h.85)

 

Bagi memastikan sesuatu jual beli itu sah, maka jual beli tersebut mestilah mematuhi syarat dan rujuk jual beli seperti pembeli, penjual, ijab dan qabul serta barang yang diniagakan. Bagi rukun barangan yang dijual beli, Imam Nawawi dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab menyatakan bahawa sesuatu barang yang dijual itu mestilah suci, boleh dimanfaatkan, diketahui, boleh diterima dan dimiliki oleh pembeli.

وَشُرُوطُ الْمَبِيعِ خَمْسَةٌ أَنْ يَكُونَ طَاهِرًا مُنْتَفَعًا بِهِ مَعْلُومًا ومقدورا عَلَى تَسْلِيمِهِ مَمْلُوكًا لِمَنْ يَقَعُ الْعَقْدُ لَهُ

Maksud: Syarat-syarat barang yang dijual ada 5 iaitu suci, boleh dimanfaatkan dengannya, diketahui, boleh diterima dan dimiliki pembeli yang berakad (dengan penjual). (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 149/9)

 

Selain itu terdapat juga fuqaha’ yang berkata bahawa syarat barang yang dijual beli tersebut mestilah barangan yang tidak dilarang oleh syarak yang membawa maksud sama dengan apa yang dinyatakan Imam Nawawi berkenaan barangan tersebut mestilah suci dan boleh dimanfaatkan. Perkara yang dilarang tersebut adalah barangan yang dianggap najis seperti arak, bangkai, khinzir dan barangan yang membawa kepada kesyirikan.

مِنْ شُرُوطِ الْبَيْعِ، كَمَا يَقُول الْفُقَهَاءُ: أَنْ يَكُونَ الْمَبِيعُ غَيْرَ مَنْهِيٍّ عَنْهُ

Maksud: Antara syarat jual beli, sebagaimana dinyatakan fuqaha’: Barangan yang dijual beli mestilah bukan barangan yang dilarang oleh syarak. (Rujuk Mawsu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah 140/3)

 

Jual beli barangan yang tidak suci, najis dan barangan-barangan yang dilarang oleh syarak adalah haram dalam Islam. Rasulullah s.a.w bersabda ketika hari Pembukaan Kota Mekah:

إِنَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ حَرَّمَ بَيْعَ الْخَمْرِ وَالْمَيْتَةِ وَالْخِنْزِيرِ وَالأَصْنَامِ

Maksud: Sesungguhnya Allah s.w.t dan RasulNya mengharamkan jual beli arak dan bangkai dan khinzir dan patung berhala.

(Sahih Bukhari No.2236, Muslim No.1581)

 

Ibn Batthal, Imam Nawawi dan juga fuqaha’ kontemporari ketika menerangkan hadis ini menyatakan bahawa para ulama’ telah sepakat akan pengharaman jual beli barangan seperti patung berhala kerana ianya dianggap tidak mempunyai manfaat dalam Islam mempunyai unsur syirik dan perkara ini dianggap sebagai najis seperti bangkai dan arak.

أجمعت الأمة على أنه لا يجوز بيع الميتة والأصنام، لأنه لا يحل الانتفاع بهما

Maksud: Telah sepakat para ulama’ bahawa adalah haram jual beli bangkai dan patung berhala, kerana ianya tidak dihalalkan untuk mengambil manfaat dengannya. (Rujuk Syarh Sahih Bukhari Ibn Batthal 360/6)

 

قَالَ الْقَاضِي تَضَمَّنَ هَذَا الْحَدِيثُ أن مالا يَحِلُّ أَكْلُهُ وَالِانْتِفَاعُ بِهِ لَا يَجُوزُ بَيْعُهُ وَلَا يَحِلُّ أَكْلُ ثَمَنِهِ

Maksud: Telah berkata al-Qadhi kandungan hadis ini adalah apa yang tidak dihalalkan untuk dimakan dan diambil manfaatnya dengannya adalah boleh melakukan jual beli barangan tersebut dan tidak halal memakan harganya. (Rujuk al-Minhaj Syarh Sahih Muslim 8/11)

 

يُسْتَفَادُ مِنْ هَذَا الْحَدِيثِ تَحْرِيمُ بَيْعِ كُل آلَةٍ مُتَّخَذَةٍ لِلشِّرْكِ، عَلَى أَيِّ وَجْهٍ كَانَتْ، وَمِنْ أَيِّ نَوْعٍ كَانَتْ، صَنَمًا أَوْ وَثَنًا أَوْ صَلِيبًا، فَهَذِهِ كُلُّهَا يَجِبُ إِزَالَتُهَا وَإِعْدَامُهَا

Maksud: Maksud daripada hadis ini adalah pengharaman jual beli segala barangan yang digunakan untuk tujuan syirik, apa tujuan sekali pun dan atas apa sahaja jenisnya, patung atau berhala atau salib, maka perkara ini semuanya wajib dibuang dan dihapuskan. (Rujuk Mawsu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah 139/3)

 

Alasan pengharaman jual beli barangan yang berunsurkan syirik tersebut adalah kerana syarak menganggapnya tidak mempunyai manfaat serta ianya adalah jalan kesyirikan.

والعلة في تحريم بيع الأصنام كونها ليس فيها منفعة مباحة وأنها وسيلة من وسائل الشرك فيحرم بيعها

Maksud: Dan alasan pada pengharaman jual beli patung berhala kerana ianya tidak mempunyai manfaat yang diharuskan dan ianya adalah jalan kesyirikan, maka diharamkan jual belinya. (Rujuk Fiqh Tajir Muslim h.199)

 

Penutup

Kami berpendapat bahawa hukumnya adalah haram jual beli tersebut sekiranya buluh perindu itu digunakan untuk tujuan mensyirikkan Allah seperti untuk membawa tuah dan pelaris baik secara atas talian atau cara jual beli biasa. Ini kerana jual beli barangan yang mempunyai unsur syirik sedemikian adalah diharamkan. Manakala sekiranya buluh perindu tersebut dijual beli atas dasar tujuannya bukan untuk syirik seperti dijadikan seruling ataupun hiasan maka hukumnya adalah harus.

Kami juga ingin menggesa umat Islam untuk menjauhi perkara-perkara yang boleh menjebak diri ke dalam perkara syirik sama ada menjual mahupun membeli kerana syirik merupakan dosa besar yang dimurkai Allah s.w.t. Kami juga ingin menasihatkan supaya umat Islam sentiasa memastikan pendapatan yang dicari adalah halal dan bebas dari unsur-unsur haram sedemikian.

Wallahualam.

 

Bibiliografi

Ibn Batthal. 2003. Syarh Sahih Bukhari Ibn Batthal. Terbitan Maktabah al-Rusyd:Arab Saudi

Imam Nawawi. T.t. Al-Majmu’ Syar hal-Muhazzab. Terbitan Darul Fikir

Imam Nawawi. 1392h. al-Minhaj Syarh Sahih Muslim. Terbitan Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabiyy:Beirut

Mawsu’ah Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah

Hisamuddin Bin Musa. 2009. Yasalunaka ‘An al-Muamalat al-Maliyyah al-Mu’asarah. Terbitan al-Maktabah al-‘Ilmiyyah wa Dar al-Thoyyib lil Thaba’ah wa an-Nasyr: Baitul Maqdis

Hisamuddin Bin Musa. 2005. Fiqh Tajir Muslim. Terbitan al-Maktabah al-‘Ilmiyyah wa Dar al-Thoyyib lil Thaba’ah wa an-Nasyr: Baitul Maqdis

https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=buluh+perindu.&d=287324

https://www.bharian.com.my/taxonomy/term/61/2015/09/81476/konsep-perniagaan-islam-utamakan-keberkatan

 

[1]https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=buluh+perindu.&d=287324