Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1767: HUKUM BERSALAMAN DENGAN BEKAS ISTERI BAPA

 ALKAFI 1767

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Seorang suami berkahwin baru selepas bercerai dan dikurniakan sepasang anak lelaki dan perempuan.  Soalan saya adakah boleh anak lelaki ini (bila akil baligh) bersalam dengan bekas isteri suami bila berjumpa kerana masih menjaga hubungan silaturrahim? Suami juga mempunyai sepasang anak lelaki dan juga perempuan dengan bekas isteri.

Ringkasan Jawapan

Seorang anak lelaki dibolehkan untuk bersalaman dengan bekas isteri bapanya samada disebabkan penceraian atau kematian bapa kerana mereka merupakan mahram antara satu sama lain.

Seterusnya, anak-anak yang lahir daripada perkahwinan pertama akan menjadi adik-beradik sebapa dengan anak-anak yang lahir daripada perkahwinan yang kedua. Mereka semua adalah mahram antara satu sama lain.

 

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Anak tiri lelaki ialah mahram muabbad (selama-lamanya) dengan ibu tiri walaupun selepas berlaku penceraian antara bapa kandung dengan ibu tiri tersebut. Hal ini demikian berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا تَنكِحُوا مَا نَكَحَ آبَاؤُكُم مِّنَ النِّسَاءِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۚ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَمَقْتًا وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: Dan janganlah kamu berkahwin (dengan perempuan-perempuan) yang telah diperisterikan oleh bapa kamu kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya perbuatan itu adalah satu perkara yang keji, dan dibenci (oleh Allah), serta menjadi seburuk-buruk jalan (yang dilalui dalam perkahwinan).

Surah al-Nisaa’ (22)

Imam al-Nawawi berkata dalam kitab al-Majmu':

أما حليلة الاب فإن الرجل إذا تزوج إمرأة حرمت على ابن الزوج سواء دخل بها أو لم يدخل بها

Maksudnya: (Yang dimaksudkan dengan) Isteri bapa ialah seorang perempuan yang dikahwini oleh seorang lelaki maka, dia (perempuan tersebut) merupakan mahram kepada anak lelaki suami. Hal ini tetap berlaku demikian sama ada suami telah bersetubuh dengan isteri ataupun belum.

(Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, al-Nawawi, 16/218)

Oleh yang demikian, walaupun kelahiran anak tiri berlaku selepas penceraian, hubungan mahram antara anak lelaki dan bekas ibu tiri tetap ada. Justeru, tidak menjadi satu kesalahan sekiranya mereka bersalaman.

Seterusnya, anak-anak yang lahir daripada perkahwinan pertama akan menjadi adik-beradik sebapa dengan anak-anak yang lahir daripada perkahwinan yang kedua. Mereka semua adalah mahram antara satu sama lain. Perkara ini disebutkan dalam firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ

Maksudnya: Diharamkan ke atas kamu ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, saudara-saudara perempuan kamu, ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah bapa), ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah ibu).

Surah al-Nisaa’ (23)

Imam al-Ramli menyatakan dalam kitabnya bahawa:

(وَالْأَخَوَاتُ) مِنْ جِهَةِ أَبَوَيْك أَوْ أَحَدُهُمَا

Maksudnya: (Haram berkahwin dengan saudara-saudara perempuan) iaitu saudara perempuan daripada kedua ibu bapamu atau daripada salah seorang daripadanya (seibu atau sebapa).

(Rujuk Nihayah al-Muhtaj, Imam al-Ramli, 6/272)

Berdasarkan kenyataan tersebut, saudara perempuan ialah mana-mana perempuan yang lahir sama ada seibu dan sebapa (أخت شقيقة) atau sebapa (أخت لأب) atau seibu (أخت لأم). Oleh itu, hubungan anak-anak bekas isteri pertama dan anak-anak isteri kedua ialah adik-beradik sebapa.

Tuntasnya, sebagai umat Islam, kita perlu menjaga hubungan baik dalam ahli keluarga sendiri dan mengekalkan keharmonian keluarga walaupun setelah berlaku penceraian. Hubungan silaturrahim antara keluarga perlu dieratkan di samping menjaga batas-batas pergaulan yang dibenarkan oleh syarak. Wallahu a’lam.