AL-KAFI #1810: HUKUM AURAT IBU BAPA DENGAN ANAK-ANAK

HUKUM AURAT IBU BAPA DENGAN ANAK ANAK

 

SOALAN

Apakah hukum aurat ibu bapa dengan anak-anak? Adakah boleh bertukar baju dihadapan mereka?

 

RINGKASAN JAWAPAN

Aurat antara ibu bapa di hadapan anak-anaknya adalah antara pusat dan lutut. Oleh itu haram bagi kedua-duanya menukar pakaian di hadapan anak-anak mereka jika perbuatan itu boleh mendedahkan aurat yang haram dilihat. Ibu bapa juga wajib menutup bahagian tubuh yang boleh menaikkan syahwat dan fitnah walaupun bukan kategori aurat, meskipun di hadapan mahram sendiri, kecuali di hadapan anak-anak mereka belum mencapai umur mumayyiz.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Definisi aurat menurut syarak ialah batas minima dari bahagian tubuh yang wajib ditutup kerana perintah Allah SWT.

(Lihat Kifayah al-Akhyar, 1/52)

Berkenaan tentang soalan di atas, ulama mazhab Syafi’ie menyatakan bahawa aurat wanita di hadapan mahramnya ialah antara pusat dan lutut sama ada mahramnya yang lelaki atau perempuan dan begitu juga antara wanita dan wanita.

(Lihat Nihayah al-Muhtaj, 6/188-189)

 

Meskipun dinyatakan bahawa aurat wanita di hadapan lelaki mahram antara pusat dan lutut, namun seseorang wanita tidak boleh mendedahkan bahagian tubuhnya yang boleh menaikkan syahwat di hadapan mahramnya. Ini kerana setiap muslim wajib meninggalkan segala perkara yang boleh menimbulkan fitnah. Perkara ini dinyatakan di dalam kitab (al-Fiqh al-Manhaji, 1/125):

وأما عند الرجال المحارم لها: فما بين السرة ‌والركبة، أي فيجوز لها أن تبدي سائر أطراف جسمها أمامهم بشرط أمن الفتنة وإلا فلا يجوز ذلك أيضاً

Maksudnya: “Manakala (aurat wanita) di hadapan lelaki-lelaki mahramnya adalah antara pusat dan lutut, iaitu dia harus mendedahkan seluruh penjuru badannya di hadapan mereka dengan syarat aman daripada fitnah, jika sebaliknya (wujud fitnah) maka itu tidak boleh (haram) juga”.

 

Terdapat pengecualian yang telah ditetapkan oleh para ulama yang seseorang itu boleh mendedahkan auratnya di hadapan kanak-kanak yang belum mumayyiz, sepertimana yang dinyatakan oleh syeikh al-Islam Zakaria al-Ansori:

أَمَّا غَيْرُ الْمُمَيِّزِ فَحُضُورُهُ كَغَيْبَتِهِ وَيَجُوزُ التَّكَشُّفُ لَهُ

Maksudnya: “Adapun bagi kanak-kanak yang belum mumayyiz keberadaan mereka seumpama tiada, maka diharuskan mendedahkan aurat dihadapannya”

(Lihat Asna al-Matalib fi Syarah Raudhu al-Tolib, 3/111)

 

Walau bagaimanapun, Islam menitik beratkan perihal akhlak yang terpuji yang mana ibu bapa seharusnya mendidik anak-anak mereka agar meneladani akhlak yang mulia. Oleh itu tindakan menukar pakaian di hadapan anak-anak kecil terutamanya yang hampir mumayyiz seperti berumur 5 ke 6 tahun adalah tidak wajar dan tidak mencerminkan akhlak dan kesopanan. Ini kerana kanak-kanak seusia begini sudah mula ada rasa malu dan segan, maka seharusnya didikan rasa malu itu perlu diterapkan kerana ia sebahagian daripada lambang keimanan.

 

KESIMPULAN

Kesimpulannya, ibu bapa perlu mengambil berat dalam perkara ini agar sentiasa memastikan tidak mudah mendedahkan aurat sesama mahram apatah lagi kepada bukan mahram yang haram baginya. Justeru, Islam mewajibkan agar menjaga aurat sebagaimana yang ditetapkan oleh syarak.


Cetak   Emel