AL-KAFI #1811: NISAB ZAKAT EMAS: PUSAT ZAKAT ATAU NILAI SEMASA?

hehe 4

 

Soalan

Assalamualaikum, nisab zakat yang ditetapkan PPZ tahun ini RM15K. Namun, harga emas semasa sudah mencecah RM310. Jadi, kita kena ikut yang mana satu seeloknya untuk zakat harta seperti wang simpanan dan pendapatan. Bagaimanakah sebenarnya pihak pusat zakat menetapkan nisab zakat? Terima kasih tuan mufti.

 

Jawapan Ringkas

Pertamanya, pusat zakat menetapkan nisab zakat dengan mengambil kira nilai purata bagi harga emas berdasarkan tahun sebelumnya lalu dijadikan standard nilai nisab bagi tahun berikutnya. Setelah nilai purata diperoleh, nilai tersebut akan digunakan sehinggalah hujung tahun berikutnya sebelum dinilai semula berdasarkan harga emas semasa. Sebarang turun naik harga emas yang berlaku pada tahun semasa tidak diambil kira bagi tujuan keseragaman.

Keduanya, berkait persoalan yang mana lebih baik untuk diikuti sama ada mengikut nilai emas semasa atau nilai standard yang ditetapkan pusat zakat, kami berpandangan bahawa sebaiknya dipilih mana-mana nilai yang lebih rendah antara kedua-duanya. Perkara ini bertujuan untuk meramaikan lagi golongan yang layak untuk membayar zakat lantas dana zakat yang terkumpul dapat digunakan bagi menjaga kemaslahatan para asnaf.

 

Huraian Jawapan

Pembayaran zakat merupakan sebahagian daripada rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh setiap individu Muslim yang telah mencukupi rukun dan syarat wajib. Antara syarat utama seseorang diwajibkan membayar zakat adalah cukup nisab iaitu sejumlah harta yang telah mencapai nilai minima yang mewajibkan pembayaran zakat.

Khusus berkenaan nisab zakat harta seperti zakat wang simpanan dan zakat pendapatan, kedua-dua kategori zakat tersebut secara asalnya mengikut nisab zakat emas atau perak. Penetapan nisab berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali Bin Abi Talib RA bahawa Rasulullah SAW bersabda,

إذا كانت لَك مائتا دِرهمٍ، وحالَ عليها الحولُ، ففيها خمسَةُ دراهمَ، وليسَ عليك شيءٌ، حتّى يَكونَ لَك عشرونَ دينارًا، وحالَ عليها الحولُ: ففيها نصفُ دينارٍ، فما زادَ فبِحسابِ ذلِك

Maksudnya: Apabila kamu memiliki 200 dirham (perak) dan berlalu haulnya (cukup setahun), maka bagi kamu zakat sebanyak 5 dirham. (Manakala emas) Kamu tidak wajib berzakat emas sehinggalah kamu memiliki 20 dinar. Maka, apabila kamu memiliki 20 dinar dan telah cukup haulnya, bagi kamu zakatnya sebanyak setengah dinar. Jika kamu memilikinya lebih daripada itu, maka cara pengiraanya adalah serupa.

Riwayat Abu Daud (1573)

Berdasarkan hadis di atas, nisab zakat yang berunsurkan duit dan harta lain yang sejenis dengannya bersifat tetap iaitu 20 mithqal emas (85 gram) atau 200 dirham perak (595 gram). Namun begitu, perbezaan akan berlaku apabila nilai bagi segram emas atau perak dibandingkan dengan nilai semasa bagi Ringgit Malaysia (RM) atau matawang-matawang lain yang bersifat volatile (turun naik). Ini jelas dapat dibuktikan apabila nisab emas pada tahun 2020 bagi kawasan Wilayah Persekutuan ditetapkan sebanyak RM15,762 (RM185.44/gram) sedangkan tahun 2021 nisab bertambah sebanyak RM20,299 (RM238.81/gram).

Tidak dapat dinafikan bahawa harga bagi segram emas berkemungkinan akan berlaku pengurangan ataupun kenaikan sepanjang tahun 2021. Walaupun begitu, Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan mengambil pendekatan dengan mengambil kira nilai purata berdasarkan tahun sebelumnya untuk dijadikan standard nilai nisab bagi tahun berikutnya. Setelah nilai purata diperoleh, nilai tersebut akan digunakan sehinggalah hujung tahun berikutnya sebelum dinilai semula berdasarkan harga emas semasa. Sebarang turun naik harga bagi segram emas yang berlaku sepanjang tahun semasa tersebut tidak diambil kira bertujuan menyeragamkan proses pembayaran zakat.

Walau bagaimanapun, berkait persoalan yang mana lebih baik untuk diikuti sama ada mengikut nilai emas semasa atau nilai standard yang ditetapkan pusat zakat, kami berpandangan bahawa sebaiknya dipilih mana-mana nilai yang lebih rendah antara kedua-duanya. Perkara ini bertujuan bagi meramaikan lagi golongan yang layak untuk membayar zakat lantas dana zakat yang terkumpul dapat disalurkan kepada para asnaf zakat yang memerlukan.

Pendekatan sebegini juga digunakan para ulama ketika memilih tafsiran paling wajar bagi seunit (mithqal) emas berdasarkan kiraan moden. Pada akhir perbahasan mereka menyebut,

والاحتياط في الأمر أن نعتمد الأقل، وهو المقدار الأول، حرصاً على مصلحة الفقير

Maksudnya: Langkah yang lebih selamat dan berhati-hati dalam isu ini adalah kita berpegang dengan nilai yang lebih rendah iaitu nilai yang pertama (antara 95 gram atau 100 gram). Hal ini dilihat lebih menjaga kemaslahatan golongan fakir.

(Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji, 2/30)

Akhir kata, semoga huraian di atas dapat memberi pencerahan berkenaan soal nilai standarad yang dipilih oleh Pusat Zakat di samping dapat memahami bahawa sebaik-baik nisab yang wajar dipilih adalah mana-mana nilai yang lebih rendah bertujuan melayakkan lebih ramai lagi umat Islam untuk mengeluarkan zakat lantas mampu membantu mengurankan beban asnaf.

Wallahu a’lam.

 


Cetak   Emel