AL-KAFI #1815: HUKUM DARAH NIFAS YANG KELUAR MELEBIHI TEMPOH 60 HARI

Capture1815

Soalan:

Assalamualaikum WBT. Sekiranya darah nifas keluar daripada seseorang wanita melebihi tempoh 60 hari, adakah ia dianggap sebagai istihadah?

Ringkasan Jawapan:

  • Sekiranya darah tersebut bersambung dan tidak berhenti walaupun sedetik, maka ia dihukumkan sebagai darah isitihadah iaitu hendaklah melihat kepada salah satu ciri-ciri istihadah.
  • Sekiranya darah tersebut berhenti sekalipun sedetik maka darah selepasnya dihukumkan sebagai darah haid.

Huraian Jawapan:

Wa’alaikumussalam WBT. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

MAKSUD NIFAS

Nifas ialah darah yang keluar setelah kosong kesemua rahim daripada kandungan sekalipun yang keluar itu dalam bentuk alaqah (segumpal darah) atau mudghah (segumpal daging), dan sebelum berlalu sekurang-sekurang suci (selepas kelahiran) iaitu selama 15 hari. Sekiranya seseorang melihat darah setelah kelahiran selepas selang masa 15 hari dan ke atas, maka hal yang demikian tidak dianggap sebagai nifas. (Rujuk: Hasyiyah Qalyubi, 1/112).

Hal ini sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Hajar al-Haitami:

Nifas ialah darah yang keluar setelah kosong rahim daripada kandungan walaupun dalam bentuk mudghah (segumpal daging) atau alaqah (segumpal darah)dan ianya berlaku sebelum berlalu tempoh 15 hari (daripada kelahiran). (Rujuk: Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfah al-Muhtaj, 1/383).

 

TEMPOH NIFAS

Ibn Hajar al-Haitami menyebut berkenaan tempoh nifas:

Tidak ada had bagi tempoh minimum bagi nifas, iaitu tidak dapat diukur, ia dilihat sekadar apa yang telah didapati, sekalipun nifas itu sangat sedikit, tetapi kadar yang lebih sesuai bagi tempoh minimum ialah sedetik. Dan sebanyak-banyak nifas ialah 60 hari, dan kebiasaan tempoh nifas ialah 40 hari, iaitu ianya didapati melalui istiqra’ (kajian) sebagaimana yang telah disebutkan. (Rujuk: Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfah al-Muhtaj, 1/413).

Justeru, dapat kami ringkaskan tempoh nifas adalah seperti berikut:

  • Tempoh Minimum: Sedetik
  • Tempoh Maksimum: 60 hari
  • Tempoh Kebiasaan: 40 hari

Oleh yang demikian, jelas bahawa tempoh maksimum bagi seseorang wanita keluar darah nifas ialah sebanyak 60 hari. Sekiranya darah tersebut keluar melebihi tempoh 60 hari, maka hukumnya adalah seperti berikut:

  • Sekiranya darah tersebut bersambung dan tidak berhenti walaupun sedetik, maka ia dihukumkan sebagai darah isitihadah iaitu hendaklah melihat kepada salah satu ciri-ciri istihadah.
  • Sekiranya darah tersebut berhenti sekalipun sedetik maka darah selepasnya dihukumkan sebagai darah haid. (Rujuk: al-Ibanah wa al-Ifadhah, 36).

Wallahu a’lam.


Cetak   Emel