Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1872: BAYAR FIDYAH UNTUK PEMBINAAN MASJID

KAFI 1872

 

Soalan

Saya ada 20 hari puasa yang ditinggalkan tahun lepas dan tidak sempat saya gantikan sebelum Ramadan baru-baru ini. Sefaham saya, kalau tak sempat ganti kena bayar fidyah kan? Boleh tak saya bayar fidyah kepada satu organisasi yang ada buat projek pembinaan masjid? Mohon pencerahan.

 

Ringkasan Jawapan

Duit fidyah hendaklah diberikan dan dibelanjakan kepada golongan yang disebutkan dalam nas sahaja iaitu terhad kepada golongan fakir dan miskin. Pemberian bagi tujuan pembinaan masjid adalah tidak sah dan dianggap sedekah secara umum sahaja.

 

Huraian Jawapan

Seseorang yang tidak sempat menggantikan puasa yang ditinggalkan pada bulan Ramadan sebelumnya sehinggalah tiba bulan Ramadan seterusnya tanpa sebarang keuzuran, maka dia wajib menggantikan puasa tersebut berserta membayar fidyah untuk setiap satu hari puasa yang ditinggalkan.

(Rujuk: al-Mu’tamad Fi al-Fiqh al-Syafie, 2/200)

Penetapan ini berdasarkan satu riwayat daripada Abu Hurairah RA berkenaan satu soalan yang diajukan kepada beliau:

فِي رَجُلٍ مَرِضَ فِي رَمَضَانَ ثُمَّ صَحَّ وَلَمْ يَصُمْ حَتَّى ‌أَدْرَكَهُ ‌رَمَضَانُ ‌آخَرُ ، ‌قَالَ: «‌يَصُومُ ‌الَّذِي ‌أَدْرَكَهُ وَيُطْعِمُ عَنِ الْأَوَّلِ لِكُلِّ يَوْمٍ مَدًّا مِنْ حِنْطَةٍ لِكُلِّ مِسْكِينٍ، فَإِذَا فَرَغَ فِي هَذَا صَامَ الَّذِي فَرَّطَ فِيهِ»

Maksudnya: “(Beliau ditanya) Berkenaan seorang lelaki yang sakit ketika Ramadan (sehingga menyebabkan dia tidak berpuasa) kemudian sihat (selepas bulan Ramadan). Namun dia tidak menggantikan puasanya sehinggalah tiba Ramadan tahun seterusnya. Abu Hurairah menjawab: Dia perlu lakukan puasa wajib Bulan Ramadan tahun semasa terlebih dahuludalam masa yang sama memberi makan satu cupak gandum kepada orang miskin setiap satu hari puasa yang yang tertinggal. Selepas selesai puasa Ramadan tahun semasa, barulah dia menggantikan semula puasa yang ditinggalkan dahulu”.

Riwayat al-Daraqutni (2343)

Dalam laman sesawang Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) ada dinyatakan kadar bayaran fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan ialah satu cupak beras yang boleh dibuat zakat fitrah (1/4 gantang Baghdad). Dalam bentuk nilaian matawang adalah berdasarkan kepada kadar yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sehingga tahun 2019, secupak beras bersamaan dengan 600 gram dinilai dengan kadar RM 4.00.[1]

Imam al-Nawawi menyatakan fidyah hanya diberikan kepada golongan yang berhak menerimanya sahaja iaitu kalangan fakir dan miskin sahaja. Justeru, dapat difahami di sini fidyah tidak boleh diberikan kepada golongan yang tidak berhak termasuklah organisasi tertentu walaupun bertujuan untuk membina masjid sama seperti isu pengagihan harta zakat yang hanya terhad kepada lapan asnaf yang disebutkan dalam al-Quran.[2]

(Rujuk: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/372)

Tambahan pula, isu fidyah sangat mirip dengan isu kafarah. Imam Malik ketika ditanya berkenaan pandangan beliau dalam isu pembayaran kafarah bagi tujuan pembelian kain kapan untuk mayat serta pembinaan masjid menjawab seperti berikut:

‌أَرَأَيْتَ ‌إنْ ‌أَعْطَى ‌مِنْ ‌كَفَّارَةِ يَمِينِهِ فِي ثِيَابِ أَكْفَانِ الْمَوْتَى أَوْ فِي بِنَاءِ الْمَسَاجِدِ أَوْ فِي قَضَاءِ دَيْنٍ أَوْ فِي عِتْقِ رَقَبَةٍ أَيُجْزِئُهُ فِي قَوْلِ مَالِكٍ؟ قَالَ: لَا يُجْزِئُهُ عِنْدَ مَالِكٍ وَلَا يُجْزِئُهُ إلَّا مَا قَالَ اللَّهُ: {فَكَفَّارَتُهُ إطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ} [المائدة: 89].

Maksudnya: “Apakah pandangan Imam Malik sekiranya seseorang membayar denda kafarah akibat melanggar sumpah dengan cara membelanjakannya untuk membeli kain kapan, membina masjid, melangsaikan hutang atau membebaskan hamba? Dia berkata: Perbuatan tersebut tidak sah melainkan apa yang disebutkan oleh Allah sahaja, [Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba]”.

(Rujuk: al-Mudawwanah, 1/599)

Berdasarkan petikan daripada kitab-kitab mazhab Syafie dan qiyas terhadap pernyataan Imam Malik dalam isu perbelanjaan denda kafarah dapat disimpulkan bahawa duit fidyah hendaklah diberikan dan dibelanjakan kepada golongan yang disebutkan dalam nas iaitu golongan fakir dan miskin sahaja. Pemberian bagi tujuan pembinaan masjid adalah tidak sah dan dianggap sedekah secara umum sahaja. Wallahu a’lam.

 

[1] Rujuk laman web: https://www.maiwp.gov.my/i/index.php/en/kira-fidyah.

[2] وَمَصْرِفُهَا الْفُقَرَاءُ أَوْ الْمَسَاكِينُ