Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1897: BENARKAH SELAWAT KE ATAS RASULULLAH SAW SATU-SATUNYA AMALAN YANG TIDAK AKAN DITOLAK?

Screenshot 2022 11 04 at 11.26.44 AM min

 

Soalan:

Saya pernah mendengar ada ustaz menyebut bahawa selawat kepada Rasulullah SAW merupakan satu-satunya amalan yang tidak akan ditolak. Adakah perkara ini benar?

Ringkasan Jawapan

Tiada hadis sahih yang menyebut bahawa selawat kepada Rasulullah SAW merupakan satu-satunya amalan yang akan diterima secara mutlak, namun terdapat banyak nukilan daripada para sahabat dan salafussoleh yang menyatakan yang demikian. 

Namun, ia tidak bermaksud seseorang yang berselawat itu akan diberi pahala dalam semua keadaan, meskipun dia berselawat dalam keadaan riyak, tetapi maksudnya ialah selawatnya kepada Baginda yang merupakan satu doa agar Allah SWT mengurniakan rahmat kepada Baginda akan dikabulkan oleh Allah, meskipun orang yang berselawat itu sendiri tidak diberi pahala.

Huraian Jawapan

Terdapat beberapa hadis yang disandarkan kepada Rasulullah SAW yang menyebut bahawa selawat kepada Baginda merupakan satu-satunya amalan yang akan diterima Allah SWT, antaranya ialah:

كُلُّ الْأَعْمَالِ فِيهَا الْمَقْبُولُ وَالْمَرْدُودُ إِلَّا الصَّلَاةَ عَلَيَّ فَإِنَّهَا مَقْبُولَةٌ غَيْرَ مَرْدُودَةٍ.

Maksudnya: Setiap amalan itu ada yang diterima dan ada yang ditolak, kecuali selawat ke atasku. Sesungguhnya ia diterima tanpa ditolak.”

Al-Hafiz Al-Sakhawi menukilkan daripada guru beliau, al-Hafiz Ibn Hajar yang menilainya sebagai sangat daif (ضعيف جدا).[1]

Diriwayatkan juga daripada Baginda SAW:

عُرِضَتْ عَلَيَّ أَعْمَالُ أُمَّتي فَوَجَدْتُ مِنْهَا المَقْبُولَ وَالمَرْدُودَ إِلاَّ الصَّلاَةَ عَلَيَّ

Maksudnya: Dibentangkan kepadaku amalan umatku, dan aku mendapati ada antaranya yang diterima dan ditolak, melainkan selawat kepadaku.

Kata al-Hafiz al-Suyuti: Aku tidak menjumpai sanad baginya (لم أقف له على سند).[2]

Jelas bahawa hadis-hadis ini dan seumpamanya bermasalah dari sudut sanad. Namun terdapat kata-kata yang dinukilkan daripada para sahabat dan ulama, antaranya daripada Abu al-Darda’ R.A, katanya:

إِذا سَألتُمُ اللَّهَ حَاجةً فابدوؤا بالصلاةِ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِنَّ اللَّهَ أَكْرَمُ مِنْ أَنْ يُسْأَلَ حَاجَتَيْنِ فَيَقْضِيَ إِحْدَاهُمَا وَيَرُدَّ الْأُخْرَى

Maksudnya: Apabila kamu semua ingin meminta kepada Allah sesuatu hajat maka mulakanlah dengan berselawat ke atas Nabi sallahu ‘alaihi wasallam kerana sesungguhnya Allah itu lebih Maha Pemurah daripada hanya mengurniakan salah satu hajat sahaja dan menolak yang lain apabila diminta dua hajat (daripada-Nya).

Begitu juga dengan kata-kata Abu Sulaiman al-Darani:

الصَّلاةُ على النَّبِيِّ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّم مقبولَةٌ

Maksudnya: Selawat ke atas Nabi SAW itu diterima.

Menurut al-Hafiz al-Sakhawi, Imam al-Ghazali menyandarkan kata-kata ini kepada Rasulullah SAW (marfu’), namun al-Sakhawi tidak mendapati sanad baginya, dan beliau menjelaskan bahawa kata-kata al-Darani ini sebenarnya bersumberkan Riwayat Abu al-Darda’ di atas.[3]

Imam Ibn ‘Abidin al-Hanafi ketika menghuraikan riwayat-riwayat ini menjelaskan bahawa maksud dan konteks sebenar riwayat tersebut ialah selawat sebagai satu bentuk doa agar Allah mengurniakan rahmat dan kemuliaan kepada Rasulullah SAW akan diterima secara mutlak dan tidak akan ditolak. Hal ini demikian kerana sememangnya Allah SWT sentiasa berselawat kepada Baginda, melalui firman-Nya:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW);

Surah al-Ahzab (56)

Penggunaan lafaz fi’il mudari’ (kata kerja kini/present tense) dalam ayat tersebut memberi maksud bahawa Allah SWT berselawat secara terus-menerus kepada Baginda, lalu Allah SWT memerintahkan kita untuk turut berselawat kepada Baginda, meskipun selawat daripada Allah telah mencukupi. 

Maka difahami bahawa ini tidak sama riwayat tersebut tidak menyebut berkenaan sama ada seseorang yang berselawat itu diberi pahala atau tidak, kerana sesuatu amalan itu perlu menepati syarat untuk diterima dan tidak mengandungi perkara yang menghalang pahala seperti riyak dan seumpamanya.[4]

Al-Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki pula menukilkan daripada al-Imam Ahmad al-Faruqi al-Sirhindi bahawa beliau berkata: Para ulama menyebut bahawa selawat kepada Nabi SAW akan diterima, meskipun ia diucapkan dengan riyak dan sum’ah, dan selawat tersebut akan sampai kepada Baginda SAW, sekalipun orang yang berselawat itu tidak memperoleh sebarang pahala daripadanya. Hal ini kerana pemerolehan pahala melalui amalan bergantung kepada niat yang ikhlas.[5]

Kesimpulan

Kesimpulannya, tiada hadis sahih yang menyebut bahawa selawat kepada Rasulullah SAW merupakan satu-satunya amalan yang akan diterima secara mutlak, namun terdapat banyak nukilan daripada para sahabat dan salafussoleh yang menyatakan yang demikian. Walaupun begitu, ia bukanlah bermaksud seseorang yang berselawat itu akan diberi pahala dalam semua keadaan, meskipun dia berselawat dalam keadaan riyak, tetapi maksudnya ialah selawatnya kepada Baginda yang merupakan satu doa agar Allah SWT mengurniakan rahmat kepada Baginda akan dikabulkan oleh Allah.

[1] Rujuk al-Maqasid al-Hasanah fi Bayan Kathir min al-Ahadith al-Musytahirah ‘ala al-Alsinah oleh Syamsuddin al-Sakhawi (1985) BeirutL Dar al-Kitab al-‘Arabi, Cetakan Pertama, tahqiq: Muhammad ‘Uthman al-Khasyt, hlm. 513

حَدِيث: كُلُّ الأَعْمَالِ فِيهَا الْمَقْبُولُ وَالْمَرْدُودُ إِلا الصَّلاةَ عليَّ، فَإِنَّهَا مَقْبُولَةٌ غَيْرُ مَرْدُودَةٍ، قال شيخنا: إنه ضعيف جدا

[2] Rujuk al-Durar al-Muntathirah fi al-Ahadith al-Musytahirah oleh ‘Abd al-Rahman Jalaluddin al-Suyuti (t.t) al-Riyadh: ‘Imadah Syu’un al-Maktabat, tahqiq: Muhammad bin Lutfi al-Sabbagh, hlm. 149

[3] Rujuk al-Maqasid al-Hasanah, hlm. 427

حديث: الصلاة على النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لا ترد، هو من كلام أبي سليمان الداراني، ولفظه: الصلاة على النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مقبولة، وفي لفظ: إن اللَّه يقبل الصلاة على النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أخرجه باللفظ ابن النميري، كما بينته في القول البديع، بل في الإحياء مرفوعا، مما لم أقف عليه، وإنما هو عن أبي الدرداء من قوله: إذا سألتم اللَّه حاجة فابدوؤا بالصلاة على النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فإن اللَّه أكرم من أن يسأل حاجتين، فيقضي أحدهما ويرد الأخرى

[4] Rujuk Radd al-Muhtar ‘ala al-Durr al-Mukhtar oleh Muhammad Amin Ibn ‘Abidin (1992) Beirut: Dar al-Fikr, Cetakan Kedua, 1/520-521

قَالَ {إِنَّ اللَّهَ وَمَلائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ} [الأحزاب: 56] بِلَفْظِ الْمُضَارِعِ الْمُفِيدِ لِلِاسْتِمْرَارِ التَّجَدُّدِيِّ مَعَ الِافْتِتَاحِ بِالْجُمْلَةِ الِاسْمِيَّةِ الْمُفِيدَةِ لِلتَّوْكِيدِ وَابْتِدَائِهَا بِإِنَّ لِزِيَادَةِ التَّوْكِيدِ، وَهَذَا دَلِيلٌ عَلَى أَنَّهُ سُبْحَانَهُ لَا يَزَالُ مُصَلِّيًا عَلَى رَسُولِهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - ثُمَّ امْتَنَّ سُبْحَانَهُ عَلَى عِبَادِهِ الْمُؤْمِنِينَ حَيْثُ أَمَرَهُمْ بِالصَّلَاةِ أَيْضًا لِيَحْصُلَ لَهُمْ بِذَلِكَ زِيَادَةُ فَضْلٍ وَشَرَفٍ وَإِلَّا فَالنَّبِيُّ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - مُسْتَغْنٍ بِصَلَاةِ رَبِّهِ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى عَلَيْهِ، فَيَكُونُ دُعَاءُ الْمُؤْمِنِ بِطَلَبِ الصَّلَاةِ مِنْ رَبِّهِ تَعَالَى مَقْبُولًا قَطْعًا أَيْ مَجَّانًا لِإِخْبَارِهِ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى بِأَنَّهُ يُصَلِّي عَلَيْهِ، بِخِلَافِ سَائِرِ أَنْوَاعِ الدُّعَاءِ وَغَيْرِهِ مِنْ الْعِبَادَاتِ، وَلَيْسَ فِي هَذَا مَا يَقْتَضِي أَنَّ الْمُؤْمِنَ يُثَابُ عَلَيْهَا أَوْ لَا يُثَابُ، بَلْ مَعْنَاهُ وَأَنَّ الطَّلَبَ وَالدُّعَاءَ مَقْبُولٌ غَيْرُ مَرْدُودٍ.

وَأَمَّا الثَّوَابُ فَهُوَ مَشْرُوطٌ بِعَدَمِ الْعَوَارِضِ

[5] Rujuk al-Zakha’ir wa al-Syama’il fi Fadha’il wa Syama’il al-Mustafa oleh al-Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki (t.t) Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, hlm. 209

قال الإمام الرباني مجدد الألف الثاني أحمد الفاروقي السرهندي في مكتوباته: قال العلماء إن الصلاة على النبي ص مقبولة ولو صدرت عن رياء وسمعة، وهي واصلة للنبي ص، وإن لم يحصل منها ثواب إلى المصلي، فإن حصول الثواب من الإعمال مربوط بنصحيح النية


Cetak   Emel
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+