Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1903: MAKSUD KALIMAH QURU' DI DALAM AL-QURAN

AL KAFI 1903

 

Soalan:

Assalamualaikum Datuk, saya ingin bertanya berkenaan satu kalimah dalam al-Quran iaitu kalimah (قروء) yang membawa maksud suci. Jadi adakah terdapat makna yang lain selain dari makna berkenaan?

 

Ringkasan Jawapan:

Mengikut tafsiran daripada ulama tafsir mahupun ulama fiqh, kalimah quru’ terkandung dua makna di dalamnya iaitu ada yang membawa maksud haid dan ada yang membawa maksud suci. Selain itu, wujud juga perbezaan antara fuqaha dalam mengguna pakai maksud ini dalam menentukan hukum dan tempoh idah berdasarkan ayat berkenaan. Namun di dalam mazhab Syafi’I makna suci diguna pakai dalam menentukan hukum dan tempoh iddah bagi seorang wanita yang diceraikan oleh suaminya.

 

Huraian Jawapan:

Di dalam al-Quran terdapat beberapa lafaz yang dikategorikan sebagai lafaz musytarak (مشترك) iaitu suatu lafaz atau perkataan yang mempunyai dua makna atau lebih pada makna tersebut.[1]  Oleh yang demikian, kalimah quru’ di dalam al-Quran juga tergolong di dalam kategori lafaz yang mempunyai lebih dari satu makna seperti mana yang terdapat di dalam firman Allah SWT:

وَالْمُطَلَّقٰتُ يَتَرَبَّصْنَ بِاَنْفُسِهِنَّ ثَلٰثَةَ قُرُوْۤءٍۗ وَلَا يَحِلُّ لَهُنَّ اَنْ يَّكْتُمْنَ مَا خَلَقَ اللّٰهُ فِيْٓ اَرْحَامِهِنَّ اِنْ كُنَّ يُؤْمِنَّ بِاللّٰهِ وَالْيَوْمِ الْاٰخِرِۗ 

Maksudnya: “Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid). Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat.”

(Surah al-Baqarah: 228)

Secara umumnya, ayat di atas menjelaskan tentang tempoh idah bagi wanita yang dicerai hidup selama tiga kali quru’. Justeru, terdapat khilaf dalam kalangan ulama baik dalam kalangan ulama tafsir mahupun ulama fiqh bagi kalimah berkenaan. Antranya Imam al-Tabari mentafsirkan kalimah tersebut dengan makna haid yang mana beliau meletakkan pandangan al-Rabi’ di dalam tafsirnya:

(ثلاثة قروء) أي ثلاث حيض.

Maksudnya: “(Tiga quru’) ialah tiga kali haid.”

(Rujuk Tafsir al-Tabri: 4/87)

Manakala al-Qurtubi pula mentafsirkan kalimah tiga kali suci itu kepada tiga kali kitaran atau tiga kali perubahan. Hal ini kerana wanita yang diceraikan itu hanya tertakluk kepada dua keadaan iaitu peralihan daripada keadaan suci kepada haid dan perubahan daripada keadaan haid kepada keadaan yang suci.[2]

Oleh yang demikian, berlakunya khilaf dalam ulama fiqh dalam mengeluarkan hukum berkaitan idah wanita yang dicerai suami ketika hidup kerana wujudnya maksud yang berbeza-beza pada kalimah quru’. Namun begitu, di dalam mazhab Syafi’i lebih cenderung kepada maksud quru’ itu dengan makna suci berdasarkan kenyataan Imam al-Syafi’i yang dinukilkan oleh al-Mawardi di dalam karyanya:

وَالْأَقْرَاءُ عِنْدَهُ الْأَطْهَارُ وَاللَّهُ أَعْلَمُ

Maksudnya: “Kalimah al-Aqra’ di sisi al-Syafie ialah suci sesungguhnya Allah yang lebih mengetahui”.[3]

(Rujuk al-Hawi al-Kabir: 11/163)

Oleh itu, mengikut pandangan di dalam mazhab al-Syafi’I wajib bagi wanita yang merdeka serta telah bersama suami itu menahan dirinya selama tiga kali suci setelah dicerai oleh suaminya.[4]

 

Kesimpulan:

Dari penjelasan berkenaan maka dapat disimpulkan bahawa tafsiran ulama tafsir mahupun ulama fiqh, kalimah quru’ tekandung dua makna di dalamnya iaitu ada yang membawa maksud haid ada yang membawa maksud suci. Selain itu, wujud juga perbezaan antara fuqaha dalam mengguna pakai maksud ini dalam menentukan hukum dan tempoh idah berdasarkan berkenaan. Namun di dalam mazhab Syafi’I makna suci diguna pakai dalam menentukan hokum dan tempoh idah bagi seorang wanita yang diceraikan oleh suaminya.

Wallhu A’lam.

 

Rujukan:  

[1] Al-Zuhaily, Wahbah. 2013. Usul al-Fiqh al-Islami. Damsyik: Dar al-Fikr . J1 hlm275. Teks Asal:

المشترك: هو اللفظ الموضوع للدلالة على معنيين فأكثر.

[2] Al-Qurtubi, Muhammad bin Ahmad al-Ansar. 1964. Al-Jami’ Li-Ahkam al-Quran. Tahkik: Ahmad al-Barduni & Ibrahim Atfisy. Cetakan 2, Kaherah: Dar al-Kutub al-Misriyyah. Jilid 3 hlm 114.

ثَلَاثَةَ أَدْوَارٍ أَوْ ثَلَاثَةَ انْتِقَالَاتٍ، وَالْمُطَلَّقَةُ مُتَّصِفَةٌ بِحَالَتَيْنِ فَقَطْ، فَتَارَةً تَنْتَقِلُ مِنْ طُهْرٍ إِلَى حَيْضٍ، وَتَارَةً مِنْ حَيْضٍ إِلَى طُهْرٍ

[3] Al-Mawardi, Abu al-Hassan ‘Ali bin Muhammad. (1999). Al-Hawi al-Kabir fi Fiqh ‘Ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i. Tahkik: ‘Ali bin Ma’wadh & ‘Adil Ahmad bin ‘Abdul Maujud. Cetakan 1, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.

[4] Al-Sabuni, Muhammad Ali. (T.T). Sofwat al-Tafasir. Cetakan 10, Kaherah: Dar al-Sabuni. Jilid 1 hlm 141. Teks asal:

{والمطلقات يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ ثَلاَثَةَ قرواء} أي الواجب على المطلقات المدخول بهن أن ينتظرن مدة ثلاثة أطهار - على قول الشافعي ومالك