Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-54: AYAT AL-QURAN HILANG DARI MUSHAF?

Mukadimah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Al-Quran merupakan panduan bagi umat Islam dan ianya juga adalah sumber utama dalam pensyariatan Islam. Di dalam sebuah hadith menyebutkan Al-Quran dan juga Al-Sunnah merupakan dua khazanah yang mana jika dijaga dan diamalkan maka seseorang itu tidak akan sesat selama-lamanya. Sabda Nabi SAW:

تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Maksudnya: Aku telah tinggalkan buat kalian dua perkara yang kalian tidak akan sesat selama-lamanya selagi mana kalian berpegang pada keduanya iaitu kitab Allah dan sunnah nabi-Nya.

Riwayat Al-Imam Malik di lam al-Muwatto’ (3)

 

Demikianlah juga kehidupan seharian kita yang sewajibnya berpandukan kepada Al-Quran  dan sunnah Nabi SAW. Menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup bermakna memberikan hak yang selayaknya buat Al-Quran itu sendiri. Antara hak-hak Al-Quran yang perlu kita berikan adalah dengan membaca serta mentadabbur segala isi yang terkandung di dalam Al-Quran.

Baru-baru ini, telah berlaku satu perkara yang boleh kita katakan sebagai perkara yang pelik di mana seorang lelaki di utara tanah air, ketika beliau ingin membaca Al-Quran, lantas terkejut melihat beberapa helaian mashaf yang dipegangnya itu, ayat Al-Quran-nya hilang dan ghaib. Tidak habis di situ, semalam dilaporkan  sekali lagi bahawa ayat Al-Quran yang hilang bertambah lagi enam muka surat.

 

Peristiwa ini jelas membingungkan segelintir masyarakat Islam dan atas dasar itu, siri Bayan Linnas pada kali ini tampil untuk memberikan kenyataan umum, penjelasan mengenai peristiwa tersebut.

 

Makna Al-Quran

Al-Quran pada bahasa mempunyai beberapa makna iaitu mengumpulkan dan menghimpun, dan qiraah bererti menghimpun huruf-huruf dan kata-kata satu dengan yang lain dalam satu ucapan yang tersusun rapi. Quran pada mulanya seperti qiraah, iaitu masdar (infiniti) dari kata qara’a, qiraatan, quranan. Allah SWT berfirman:

إِنَّ عَلَيۡنَا جَمۡعَهُۥ وَقُرۡءَانَهُۥ ١٧ فَإِذَا قَرَأۡنَٰهُ فَٱتَّبِعۡ قُرۡءَانَهُۥ ١٨

Maksudnya: Sesunggguhnya atas tanggungan Kamilah mengumpulkannya (di dadamu) dan (membuatmu pandai) membacanya. Apabila Kami telah selesai membacakannya, maka itulah bacaannya itu.

(Surah al-Qiyamah: 17-18)

 

Kata Quran ah (bacaannya) pada ayat di atas bererti qiraatuhu (bacaannya atau cara membacanya). Jadi, kata itu adalah masdar menurut wazan (konjunsi) fu’lan dengan vokal u seperti ghufran dan syukran. Kita dapat mengatakan qara’tuhu, quran, qiraatan wa quranan, ertinya sama saja. Di sini maqru’ (apa yang dibaca) diberi nama quran (bacaan), yakni penamaan maf’ul dengan masdar.

Sedangkan ada istilahnya pula ialah kitab yang diturunkan Allah secara mutawatir kepada Nabi SAW yang bersifat mukjizat di mana mendapat pahala jika dibacanya yang terangkum dari awal surah al-Fatihah hingga akhir surah al-Nas.

 

Selain disebut sebagai Al-Quran, mushaf juga antara perkataan yang dirujuk sebagai Al-Quran. Diriwayatkan oleh al-Imam al-Zarkasyi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Burhan fi Ulum al-Quran (1/377) bahawa setelah siap Abu Bakar al-Siddiq RA mengumpulkan al-Quran pada zamannya, maka Abu Bakar RA memohon pendapat para sahabat yang lain untuk menamakan lembaran-lembaran Al-Quran yang telah dikumpulkan itu. Ada yang mencadangkan Injil dan al-Sifr namun ditolak oleh Abu Bakar RA kerana menyerupai nama kitab Nasrani dan Yahudi. Lalu Ibn Mas’ud RA mencadangkan agar dinamakan sebagai al-Mushaf. Kata Ibn Mas’ud RA:

رأيتُ للحَبَشَةِ كِتَاباً يدعونهُ المُصْحَفَ، فسمُّوهُ بهِ

Maksudnya:Aku telah melihat di Habsyah sebuah kitab yang dipanggil al-Mushaf. Maka dinamakan ia dengannya (iaitu al-Mushaf).”

Jika benar riwayat ini, maka boleh kita katakan bahawa Ibn Mas’ud RA adalah orang pertama yang menamakan al-Mushaf buat al-Quran dan kini ianya telahpun masyhur penggunaannya dan umat Islam kini memahami bahawa jika dikatan al-Mushaf maka ianya juga bermaksud al-Quran. Begitu juga pada zaman Uthman bin ‘Affan RA yang mana sebuah mushaf yang dikenali dengan Mushaf Uthmani telah dihasilkan dan ianya telah disebarkan ke seluruh jajahan Islam pada ketika itu. Dapat difahami di sini bahawa mushaf itu adalah lembaran-lembaran yang tertulis padanya pada setiap bahagian kemudian dikumpulkan menjadi satu.

 

Matlamat al-Quran

Secara umumnya al-Quran menyeru kepada banyak prinsip dan maqasid yang sesuai bagi sifat kemanusiaan. Antaranya:

  • Mentashihkan akidah, sudut pemikiran berkaitan ketuhanan, kerasulan dan pembalasan.
  • Mentaqrirkan kemuliaan insan, hak-haknya terutama di kalangan yang daif dan tertindas.
  • Menyeru kepada pembersihan jiwa manusia.
  • Membentuk keluarga solehah dan pemberian hak wanita.
  • Membina ummah yang menjadi saksi kepada kemanusiaan.
  • Dakwah dan menyeru kepada alam insani yang bersifat tolong menolong dan bekerjasama.

 

 

Pendapat Tokoh berkenaan Quran

Dinyatakan di sini beberapa kenyataan ulama dan tokoh berkaitan Quran.

  • Imam Syafie berkata: “Setiap yang bercakap berdasarkan Kitab dan Sunnah, maka itulah yang sebenarnya. Adapun selain keduanya, dilihat sia-sia.”

 

  • Al-Harith al-Muhasibi berkata: “Saudara-saudaraku apabila orang membaca al-Quran untuk mendapat pahalanya, maka ketahuilah tunjukkan kehendak dengan bacaan kamu untuk tadabbur dan iktibar darinya.”

 

  • Fudhail bin Iyadh berkata: “Penjaga al-Quran sentiasa mengelak dari menderhakai Tuhannya. Bagaimana mungkin mereka melakukan maksiat sedangkan setiap huruf dari al-Quran menyerunya “Demi Allah, jangan engkau ingkari perkara yang engkau bawa dariku.”

 

  • Abdul Qadir al-Jilani berkata: “Wahai kaumku, berlaku baiklah kepada al-Quran dengan beramal dengannya bukan dengan berdebat.”

 

  • Imam Ibn Taimiyyah berkata: “Al-Quran mampu menghilangkan segala penyakit yang menyebabkan keinginan-keinginan jahat, sehingga sihatlah jiwa dan bersihlah keinginannya dan kembalilah seseorang itu kepada fitrah yang telah ditanam oleh Allah SWT sepertimana badan kembali sihat.”

 

  • Ibn Qayyim berkata: “Al-Quran adalah kalam Allah yang Allah tajalli tajalli  kepadanya untuk hamba-hambanya dengan sifat-sifat-Nya.”

 

  • Imam Muslim berkata: “Al-Quran adalah ubat segala penyakit kecuali maut. Semoga hendaknya Allah mematikan kita di dalam iman dan menghembuskan nafas terakhir dengan bibir yang masih basah berkumat-kamit melafazkan ayat-ayat suci al-Quran.”

 

  • Dr. Mustafa al-Sibaei menyebut beberapa ungkapan antaranya:

 

  • Kesan al-Quran pada jiwa orang yang beriman pada maknanya dan bukan pada lagunya. Bukan yang membaca dengan beramal dan bukan yang mengelokkan bacaan tetapi tidak beramal.

 

  • Bacaan al-Quran dalam radio dengan hati yang khusyuk yang dapat didengar oleh orang Islam sehingga dibuka hati dan akal mereka satu ketika jauh lebih baik dari seribu rancangan yang lain.

 

  • Orang zaman dahulu belajar al-Quran untuk beramal. Kemudian jadilah mereka belajar beramal dengannya. Justeru, bagaimana tiada perbezaan antara generasi kita dan generasi mereka yang agung.
  • Al-Quran ditangan-tangan orang Islam ibarat senjata ditangan orang-orang jahil.

 

  • Dr. Yusuf Al-Qaradhawi mengungkapkan banyak kata-kata antaranya:

- Al-Quran merupakan minhaj atau jalan serta cara bagi kehidupan manusia.

- Al-Quran sebagai dustur kepada sebarang hukum.

- Al-Quran sebagai dustur kepada dakwah.

 

Janji Allah Terhadap Al-Quran

Allah SWT telah menurunkan Al-Quran kepada nabi-Nya Muhammad SAW dan bersama penurunan itu, Allah SWT telah berjanji bahawa Dia yang akan menjaganya. Firman Allah SWT:

إِنَّا نَحۡنُ نَزَّلۡنَا ٱلذِّكۡرَ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَٰفِظُونَ ٩

Maksudnya: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya. 

                                    (Al-Hijr: 9)

 

Kata al-Imam al-Thabari rahimahullah ketika menafsirkan ayat ini: Al-Zikr adalah al-Quran. Kata beliau lagi: Dan Kami (Allah) sangat memeliharanya daripada sebarang tokok tambah sebarang kebatilan yang bukan daripadanya. Ataupun dari sebarang kekurangan daripadanya dari sudut hukum-hakam, hudud, serta kefardhuan-kefardhuannya. Lihat Tafsir al-Thabari (17/68).

 

Kata al-Hafiz Ibn Kathir rahimahullah pula: Allah menegaskan bahawa Dialah yang menurunkan al-Zikr iaitu al-Quran dan Dialah yang memeliharanya dari sebarang pengubahan dan penyelewengan. Lihat Tafsir al-Quran al-Azhim.

 

Manakala di dalam surah yang lain pula, Allah S.W.T berfirman:

وَلَئِن شِئۡنَا لَنَذۡهَبَنَّ بِٱلَّذِيٓ أَوۡحَيۡنَآ إِلَيۡكَ ثُمَّ لَا تَجِدُ لَكَ بِهِۦ عَلَيۡنَا وَكِيلًا

Maksudnya: Dan sekiranya Kami kehendaki nescaya Kami akan hilangkan apa-apa yang telah Kami wahyukan kepada kamu kemudian kamu tidak akan beroleh sebarang pembela terhadap Kami untuk mengembalikannya. 

(Surah Al-Isra’: 86)

 

Mengulas ayat ini, al-Imam al-Thabari menukilkan kata-kata daripada Abdullah Ibn Mas’ud R.A bahawa beliau mentakwilkan ayat ini dengan katanya: Allah menghilangkan apa-apa yang diwahyukan kepadanya itu adalah dengan cara mengangkatnya dari dada-dada para qurra’. Lihat Tafsir al-Thabari (hlm. 290).

Manakala al-Imam al-Qurthubi ketika menafsirkan ayat ini beliau berkata: Sebagaimana Kami mampu untuk menurunkan al-Quran ini begitu juga Kami mampu untuk menghilangkannya iaitu ia dilupakan di sisi manusia.

 

Nas Hadis

Terdapat banyak nas hadis yang menunjukkan pemeliharaan al-Quran dan akhirnya diangkat sehingga tiada sebarang ayatpun yang tinggal, antaranya:

 

Pertama: Daripada Abdullah bin Mas’ud RA:

لَيُسْرَيَنَّ عَلَى الْقُرْآنِ ذَاتَ لَيْلَةٍ فَلا يُتْرَكُ آيَةٌ فِي مُصْحَفٍ وَلا فِي قَلْبِ أَحَدٍ إِلا رُفِعَتْ

Maksudnya: “Akan ditinggalkan al-Quran  pada malam tersebut dan tidak akan keka satu ayat di dalam mushaf (al-Quran ) dan uga di dalam hati seseorang melainkan ia(al-Quran ) telah diangkat.”

Riwayat al-Darimi (3209) dengan sanad yang sahih

 

Berdasarkan apa yang diriwayatkan berkaitan bab ini apa yang disebut oleh Muhammad bin Nasr pada bangun di waktu malam, daripada hadis Abdullah bin Amr, beliau berkata: “Tidak akan berlaku kiamat sehingga al-Quran itu kembali sebagaimana ia diturunkan. Padanya bunyi di sekitar arash seperti bunyi lebah.” Lalu berkata: “Kamu baca tetapi tidak beramal denganku”. Daripada Hassan: Allah SWT tidak mengutus seorang rasul melainkan diturunkan bersamanya kitab, samada ia diterima oleh kaumnya atau Kami angkatnya kembali, berdasarkan firman Allah SWT:

أَفَنَضۡرِبُ عَنكُمُ ٱلذِّكۡرَ صَفۡحًا أَن كُنتُمۡ قَوۡمٗا مُّسۡرِفِينَ ٥

Maksudnya: Patutkah Kami membiarkan kamu dengan mengenepikan dan menjauhkan peringatan Al-Quran daripada kamu, kerana kamu telah menjadi kaum yang melampau buruk keadaannya? (Tidak! Kami tidak akan biarkan, bahkan Kami tetap mengingatkan kamu, sama ada kamu mahu menerimanya atau sebaliknya).

(Surah al-Zukhruf: 5)

 

Jika mereka tidak mahu menerimanya maka Kami akan meletakkannya ke dalam hati-hati orang lain. Tetapi mereka menjawab: “Kami terimanya wahai Tuhan kami, jika kamu tidak mahu beramal dengannya akan kami angkat dan tidak akan turun daripadanya lagi di atas muka bumi ini.” Telah berkata al-Laith bin Sa’ad: “Dikatakan al-Quran itu terangkat apabila manusia mula meninggalkan al-Quran.” (Fath al-Mannan, 10/488)

 

Kedua: Daripada Huzaifah bin al-Yaman RA:

يدرُسُ الإسلامُ كما يدرُسُ وَشيُ الثَّوبِ حتَّى لا يُدرَى ما صيامٌ، ولا صلاةٌ، ولا نسُكٌ، ولا صدَقةٌ، ولَيُسرى على كتابِ اللَّهِ عزَّ وجلَّ في ليلَةٍ، فلا يبقى في الأرضِ منهُ آيةٌ، وتبقَى طوائفُ منَ النَّاسِ الشَّيخُ الكبيرُ والعجوزُ، يقولونَ: أدرَكْنا آباءَنا على هذِهِ الكلمةِ، لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ، فنحنُ نقولُها فقالَ لَهُ صِلةُ: ما تُغني عنهم: لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ، وَهُم لا يَدرونَ ما صلاةٌ، ولا صيامٌ، ولا نسُكٌ، ولا صدقةٌ؟ فأعرضَ عنهُ حُذَيْفةُ، ثمَّ ردَّها علَيهِ ثلاثًا، كلَّ ذلِكَ يعرضُ عنهُ حُذَيْفةُ، ثمَّ أقبلَ علَيهِ في الثَّالثةِ، فقالَ: يا صِلةُ، تُنجيهِم منَ النَّار ثلاثًا.

Maksudnya: “Ajaran Islam akan terhakis sebagaimana terhakisnya baju sehingga tidak dketahui apa itu puasa, apa itu solat, apa itu ibadat, apa itu sedeqah dan akan ditinggalkan kitab Allah di malam hari sehingga tidak tersisa di muka bumi ini satu ayat pun. Golongan yang tersisa itu ialah kelompok manusia yang lanjut usia dan lemah, lalu mereka berkata: Kami menemui bapa-bapa kami di atas kalimat “Tiada Tuhan yang berhak di sembah melainkan Allah”, maka kami pun mengucapkannya. Shilah berkata kepadanya: kalimat “Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah” tidak cukup mereka. Ini kerana, mereka tidak tahu apa itu solat, apa itu puasa, apa itu ibadah dan apa itu sedekah. Maka Huzaifah berpaling daripadanya, namun dia menolaknya dan hal itu dilakukan sebanyak tiga kali dan pada kali ketiga, Huzaifah berkata: “Wahai Shilah, kamu telah menyelamatkan mereka dari neraka”. Huzaifah mengucapkannya sebanyak tiga kali.”

Riwayat Ibn Majah, Kitab Fitnah, Bab hilangnya al-quran dan ilmu, (4039] [al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan sanad bagi hadis ini kuat]

 

Hadis ini menunjukkan akan keadaan umat Islam di akhir zaman disebabkan kejahilan tetapi dalam masa yang sama masih berpegang dengan kalimah tauhid. Manakala makna matan ini ialah “akan ditinggalkan kitab Allah di malam hari sehingga tidak tersisa di muka bumi ini satu ayat pun” akan datang satu hari di mana kitab Allah akan dipadamkan dan dihilangkan daripada dada-dada manusia dan juga kertas sehingga tidak tinggal satu ayat pun, bahkan ia diangkat ke langit. Kesimpulannya al-Quran ini akan diangkat kembali kepada-Nya. (Lum’ah al-I’tikad, 7/9)

 

Pendapat Ulama

Kami kemukakan di sini beberapa pandangan ulama, antaranya:

 

Pertama: Amru Bin Dinar berkata: “Aku mendapati ramai guru-guru kami sejak 70 tahun berkata: “Al-Quran adalah Qalam Allah datang daripada-Nya dan kepada-Nya akan kembali.”

Kedua: Ibn Rajab berkata: “Perkara pertama yang diangkat daripada ilmu adalah ilmu bermanfaat…..sehingga tiada kekal kecuali al-Quran dalam mushaf, dan kemudian diangkatnya pada akhir zaman.”

Ketiga: Syeikh al-Islam berkata: “Al-Quran akan diangkat pada akhir zaman daripada mushaf dan dada sehingga tiada kekal pada dada manusia walau satu kalimah dan pada mushaf walau satu huruf.” Lihat Majmu’ al-Fatawa (3/198)

 

 

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Setelah meneliti nas-nas Al-Quran dan juga hadith-hadith yang berkaitan, jelas di sini menunjukkan bahawa Al-Quran tetap terpelihara sehingga hari kiamat dan sehingga apa yang telah ditentukan oleh Allah SWT.

Justeru, apa yang berlaku di utara tanah air dan juga di tempat-tempat yang lain sebelum ini bukanlah bermaksud Al-Quran itu diangkat ke langit, kerana maksud yang sebenarnya ialah diangkat semua iaitu hilang huruf dan ayat dari mushaf begitu jua dengan ketiadaan huffaz.

Kami berpendapat kejadian yang berlaku adalah disebabkan beberapa perkara yang perlu diambil kira. Antaranya:

  • Berlakunya salah cetak terhadap mushaf itu.
  • Mutu kualiti kertas yang digunakan adalah dari jenis yang rendah.
  • Semakan yang tidak rapi terhadap mushaf tersebut.
  • Terlangkah atau terlangkau ayat ketika proses percetakan berlaku.
  • Mutu dakwat yang digunakan kurang berkualiti yang mana boleh membawa kepada hakisan.

 

Kami berpendapat sedemikian kerana, terdapat banyak lagi syarikat percetakan yang berwibawa seperti Majma’ Malik al-Fahd yang terletak di Madinah, Arab Saudi tidak berlaku masalah seperti ini.

Justeru kami menasihati orang ramai jika terdapatnya ayat-ayat yang terhapus dari mushaf maka hendaklah dibawakan kepada badan agama yang berautoriti untuk diajukan aduan dan semakan.

Seterusnya, kita boleh mengambil manfaat dari apa yang berlaku untuk kita memupuk rasa kasih, cinta dan menjunjung Al-Quran seterusnya belajar, membaca serta mentadabbur maknanya dan dijadikan pedoman.

 

Penutup

Sengaja penulis menukilkan pendapat tokoh ulama seperti Dr Yusuf al-Qaradhawi berkenaan dengan keistimewaan al-Quran berbanding dengan kitab-kitab yang lain.

Dr. Yusuf Al-Qaradhawi berkata: “Ayat al-Quran dihafaz oleh ribuan sama ada lelaki, perempuan atau kanak-kanak. Inilah istimewanya yang tiada pada mana-mana kitab atau buku yang lain.”

  • Al-Quran kitab zaman semuanya. Ia bermaksud kitab yang kekal yang bukan hanya sesuai pada suatu masa sahaja dan bukan untuk satu generasi. Tetapi ia sesuai sepanjang zaman dan semua tempat. Justeru tidak pelik sehingga sekarang al-Quran tetap menjadi panduan dan pedoman dalam menempuh kehidupan.
  • Al-Quran kitab agama keseluruhannya. Maksudnya ialah ia menjadi asas kepada agama dan roh Islamnya dan daripadanya diambil roh akidah, ibadat, akhlak dan juga usul tasyriq dan hukum hakam.
  • Al-Quran merupakan kitab kemanusiaan sejagat. Hal ini dapat difahami berdasarkan kepada sifat al-Quran itu sendiri yang banyak menekankan kehidupan manusia dengan kalimahnya dan untuk alam sejagat. Benarlah firman Allah SWT:

إِنۡ هُوَ إِلَّا ذِكۡرٞ لِّلۡعَٰلَمِينَ ٢٧

Maksudnya: Al-Quran itu tidak lain hanya peringatan bagi seluruh penduduk alam.

(Surah al-Takwir : 27)

 

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa agar kita semua diberikan kefahaman untuk memahami al-Quran, seterusnya mengamalikannya di dalam kehidupan seharian. Amin.

 

 

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

9 Mac 2016 bersamaan 29 Jamadilawwal 1437H