Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

 

 

-EDISI KEMASKINI-

Mukaddimah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Bayan Linnas pada kali ini akan membincangkan isu berkaitan dengan kemasyarakatan da kekeluargaan. Beberapa hari yang lalu, riuh di akhbar dan berita berkaitan dengan isu penderaan kanak-kanak yang menyebabkan cedera parah membabitkan ahli keluarga sendiri. Ini perumpamaan ‘harapkan pegar, pegar makan padi’ dan dimana jalan penyelesaiannya.

Pada ruangan kali ini dalam Bayan Linnas, kami sengaja menyatakan tajuk “Anak…..Ihsanilah”. Semoga para ibu bapa dan keluarga serta penjaga lebih prihatin dan cakna serta berihsan kepada anak yang menjadi darah dagingnya untuk meneruskan kehidupan pada masa akan datang.

 

Anak mengikut perspektif al-Quran

Terdapat sekurang-kurangnya empat istilah yang digunakan dalam al-Quran menceritakan tentang kanak-kanak, iaitu ibn, al-walad, sobiyyun dan thiflun.

Perkataan ibn adalah jamak (plural) kepada abna'. Menurut al-Ashfahani, perkataan ibn ditakrifkan sebagai suatu yang dilahirkan. Perkataan ibn disebut sebanyak 35 kali di dalam Al-Quran dalam beberapa surah dengan makna yang berbeza mengikut konteks ayat. Secara umumnya perkataan ibn dalam Al-Qur'an merujuk kepada status anak, sama ada disandarkan kepada nama bapa, nama Allah atau yang lain.

Perkataan al-walad disebut sebanyak 102 kali di dalam al-Quran dengan makna yang berbeza mengikut konteks ayat. Terdapat 4 bentuk makna kanak-kanak yang disebut di dalam al-Quran:

 

  • Pertama: al-walad iaitu kanak-kanak lelaki
  • Kedua: walidan iaitu ketika masih kanak-kanak
  • Ketiga: al-wildan iaitu kanak-kanak atau anak muda
  • Keempat: maulud iaitu yang dilahirkan

 

Perkataan sobiyyun dan thiflun sama ada dalam bentuk jamak atau tunggal, kedua istilah ini lebih cenderung kepada makna kanak-kanak yang masih di usia muda.

 

Anak Sebagai Anugerah

Anak-anak merupakan hibah dan anugerah daripada Allah SWT sebagaimana yang difirmankan-Nya:

يَهَبُ لِمَنْ يَشَاء إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَن يَشَاء الذُّكُورَ

Maksudnya: “Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya.”

(Surah al-Syura: 49)

           

Dalam Tafsir al-Maraghiy ada menyatakan bahawa maksud anak di sini ialah anak kandung sahaja. Seseorang yang mencintai isteri dan anaknya mempunyai sebab yang sama, iaitu meneruskan keturunan dan mengekalkan zuriat manusia. Perasaan cinta seorang ayah terhadap anak lelaki lebih besar daripada anak perempuan, kerana anak lelaki dianggap penyambung zuriat, mampu mengekalkan nama dan dapat membentuk sebuah institusi keluarga yang menjadi kebanggaan masyarakat. Di samping itu, dia menjadi tempat tumpuan harapan seorang ayah dalam menjamain kehidupan mereka. Anak lelaki juga diharapkan dapat menagangkat martabat orang tuanya. Apabila anak perempuan meningkat dewasa, mereka akan berpisah dengan keluarga dan menjadi keluarga lain. Lihat Tafsir al-Maraghiy Jilid 2 (hal. 705-706)

 

Anak Sebagai Ujian

Allah Taala berfirman:

إِنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلادُكُمْ فِتْنَةٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah ujian bagimu”

(Surah at-Taghaabun: 15)

 

Dalam Tafsir al-Maraghiy telah diperincikan bahawa kecintaan kepada harta benda dan anak-anak adalah cubaan dan ujian kerana seringkali perkara itu menjadi penyebab kepada perbuatan dosa dan pelanggaran terhadap apa-apa yang dilarang. Lihat Tafsir al-Maraghiy Jilid 14 (hal. 7053)

 

Anak Sebagai Kecintaan Jiwa Dan Syahwat

Allah Taala berfirman:

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ

Maksudnya: “Dijadikan indah dalam (pandangan) manusia cinta kepada apa-apa yang diinginkan, yaitu: wanita-wanita, anak-anak”

(Surah Ali Imran: 14)

  

            Dalam Tafsir Ibnu Katsir telah dijelaskan bahawa kecintaan kepada anak dimaksudkan untuk kebanggaan dan sebagai perhiasan, dan hal ini termasuk ke dalam kategori (ayat) ini. Tetapi terkadang juga kecintaan pada anak itu dimaksudkan untuk memperbanyak keturunan dan memperbanyak jumlah umat Muhammad yang hanya beribadah kepada Allah; semata, yang tiada sekutu bagi Nya. Hal ini sangat terpuji, sebagaimana tersebut dalam sebuah hadits: “Kawinilah wanita yang dicintai (keibuan) dan yang melahirkan banyak keturunan, karena aku bangga dengan jumlah kalian yang banyak, sebagai umat yang terbanyak pada hari Kiamat kelak.”

 

Anak Sebagai Permata Hati

Allah Taala berfirman:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ

Maksudnya: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami”

(Surah al-Furqan:74)

            Dalam Tafsir Fi Zilalil Quran telah menafsirkan ayat ini dengan menyatakan bahawa perasaan ingin supaya bilangan orang-orang yang berjalan kepada Allah sentiasa bertambah ramai terutama zuriat dan pasangan-pasangan hidup mereka, kerana golongan ini merupakan golongan di bawah tanggungjawab mereka paling dekat dan merupakan golongan amanah yang akan disoal kemudian hari, juga perasaan ingin agar seseorang Mu’min itu merasa bahawa dia adalah contoh teladan yang baik yang dapat diikuti oleh orang-orang yang cintakan Allah. Ini bukannya sikap mementingkan diri sendiri dan bukan pula berlagak angkuh kerana seluruh angkatan mereka berada di jalan menuju kepada Allah belaka. Lihat Tafsir Fi Zilalil Quran jilid 11 (hal. 572).

 

Tanggungjawab ibu bapa

Antara tanggungjawab ibu bapa bukan skadar memberi makan dan pakai semata-mata tetapi sebagai manusia amat perlu melakukan lebih daripada itu. Antaranya:

  • Mendidik
  • Mengajar
  • Mengasuh
  • Memberi hak kepada mereka
  • Menyuruh solat dan beribadat atau amal makruf
  • Melarang sebarang bentuk kemungkaran atau nahi munkar

 

Mutiara kata berkenaan anak

Kami sengaja nyatakan di sini pendapat tokoh dan cendikiawan berkenaan dengan anak betapa tinggi nilainya di sisi mereka yang memahami duduk perkara sebenar isu ini.

 

            Pertama: Pandangan tokoh Islam

  • Wahai anakku!Seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang kamu lakukan, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam-tanaman.- Lukmanul Hakim
  • Menuntut ilmu ketika usia kanak-kanak seperti seseorang itu mengukir pada batu.- Al-Hasan
  • Jika berjumpa dengan kanak-kanak – bahawa kanak-kanak itu lebih mulia daripada kita, kerana kanak-kanak ini belum banyak melakukan dosa daripada kita.- Al-Ghazali
  • Didiklah anak-anakmu itu berlainan dengan keadaan kamu sekarang kerana mereka telah dijadikan Tuhan untuk zaman yang bukan zaman engkau.- Saidina Umar al-Khatab
  • Anak jika telah mumayyiz, sesungguhnya perkara pertama yang mesti diajar ialah Aqidah, kemudian taharah (bersuci), kemudian ssuatu daripada al-Quran.

 

            Kedua: Pandangan tokoh Barat

  • Anak bukan tamu biasa di rumah kita. Mereka telah dipinjamkan untuk sementara waktu kepada kita dengan tujuan mencintai mereka dan menanamkan nilai-nilai dasar untuk kehidupan masa depan yang akan mereka bangun – Dr. James C Dobson
  • Menjadi apapun anak kita nanti, mereka tetaplah anak kita, dan yang paling penting dari semua hal yang dapat kita berikan kepada mereka adalah cinta tanpa syarat. Bukan cinta yang yang bergantung pada sesuatu. - Rosaleen Dickson
  • Mendidik anak anda dalam hal pengendalian diri, kebiasaan menahan nafsu dan prasangka serta menjauhkan kecenderungan-keenderungan jahat, maka anda telah berbuat banyak untuk menghapuskan pernderitaan kehidupan masa depan mereka dan kejahatan di masyarakat - Daniel Webster 
  • Kematian tidak akan menjadi akhir jika kita dapat hidup pada diri anak-anak kita dan generasi muda. Untuk mereka adalah kita, tubuh kita hanyalah daun yang layu pada pohon kehidupan - Albert Einstein
  • Jika anda ingin anak anda berkembang, biarkan mereka mendengar hal baik yang anda katakan tentang mereka kepada orang lain – Dr Haim Ginott

 

Penderaan di Malaysia

            Kejadian ini bukan baru dalam masyarakat kita. Sudah terlalu bayak kes penderaan terhadap kanak-kanak didedahkan oleh media, sehingga ada yang menyebabkan kematian. Mengambil kira satu kes yang menyayat hati kita tiga dekad lalu, seluruh negara bangun mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan ini. Ia membawa kepada penggubalan undang-undang lebih ketat , bagi mengelakkan isu sama berulang.

            Tetapi ia berulang. Hampir setiap tahun ada kes penderaan kanak-kanak. Dari segi undang-undang, penderaan kanak-kanak bermaksud dera atau satu perbuatan zalim dilakukan ke atas kanak-kanak iaitu mereka yang berusia kurang 18 tahun. Jika dilihat berdasarkan rekod Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, kes-kes penderaan semakin membimbangkan.

            Pada tahun 2013, didapati lebih 3,840 kanak-kanak menjadi mangsa penderaan. Jumlahnya tidak berkurangan pada tahun 2014. Ini bermakna dalam sehari, ada 10 kes yang tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.

 

Siapa Yang Melakukan Penderaan

            Rekod menunjukkan penderaan dilakukan dan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja: ibu bapa kandung atau tiri, pengasuh,saudara mara dan juga jiran tetangga.

 

Bentuk dan Jenis Penderaan

            Penderaan kanak-kanak boleh dibagikan kepada beberapa jenis. Antaranya, penderaan fizikal, penderaan emosi (mental) dan penderaan seksual.

            Penderaan kanak-kanak secara fizikal adalah satu perbuatan zalim secara fizikal yang dilakukan oleh seseorang dengan tujuan menyakiti mangsa. Ia dilakukan ibu bapa, penjaga atau sesiapa sahaja yang bertanggungjawab melindungi kanak-kanak berkenaan. Perbuatan mendera boleh menyebabkan kecederaan atau kematian.

            Ia dilakukan menggunakan cara atau alat tertentu untuk mencederakan kanak-kanak terbabit. Di antara cara dan alat digunakan untuk mendera, selain memukul menggunakan tangan ialah dicucuh puntung rokok atau dengan benda panas, disepak, ditumbuk, dicubit, disimpah air panas, dirantai atau direndam ke dalam air.

            Dalam pada itu, penderaan emosi adalah satu kaedah penyeksaan terhadap kanak-kanak sehingga menyebabkan gangguan psikologi dari segi mental dan emosi. Penderaan ini meliputi tidak memberi kasih sayang yang secukupnya kepada kanak-kanak. Mereka ini dimarahi, diejek, ditengking dan pergaulan selalunya disekat menyebabkan kanak-kanak ini sedih, marah dan murung. Kanak-kanak sebegini dilabel sebagai seorang yang bodoh, tidak boleh harap dan menyusahkan keluarga.

            Penderaan seksual berlaku apabila kanak-kanak dieksploitasikan untuk kepuasan seks oleh orang dewasa. Penderaan seksual membabitkan kanak-kanak adalah dengan cara mencabul kehormatannya, dirogol dan yang berumur sikit, dipaksa melacur. Penderaan seksual yang membabitkan kanak-kanak perempuan semakin membimbangkan manakala bilangan kanak-kanak lelaki yang didera secara seksual juga tidak kurang seriusnya.

 

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

 

            Dengan kurnia anak sebagai anugerah Tuhan, amat wajar kita rahmati dan sayang serta kasih. Nasihat Baginda SAW:

مَن لَا يَرْحَمْ لَا يُرْحَمْ

Maksudnya: “Siapa yang tidak merahmati nescaya tidak dirahmati.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

            Mendera dan mencederakan anak bukanlah satu sifat yang baik. Bahkan iaamat dikutuk dan begitu hina. Lihatlah sejarah salafus soleh. Mereka mendidik sekalipun mereka merotan dengan penuh tadbir serta kasih sayang tanpa mencederakannya. Mereka banyak menyantuni dan menegur daripada menggunakan kekerasan dan kekasaran. Anak yang dizalimi dengan ganas akan melahirkan sifat dendam kesumat, stress dan tekanan yang melampau sehingga membawa kepada kerosakan anak itu sendiri.

            Saya mengambil kesempatan ini untuk mencadangkan supaya:

  • Kerjasama masyarakat setempat, orang ramai dan kaum keluarga mesti dipereratkan terutama prihatin terhadap isu kanak-kanak.
  • Laporkan terus kepada pihak berkuasa tanpa bertangguh agar pembelaan terhadap kanak-kanak yang menderita dapat dilaksanakan secepat mungkin.
  • Pendakwa dan hukum maksimum perlu dikemukakan kepada pesalah yang sengaja melakukan perbuatan terkutuk itu supaya menjadi pengajaran yang berguna kepada masyarakat yang lain.
  • Pusat jsgssn kanak-kanak amat perlu diperbanyakkan.

            Ketahuilah anak adalah amanah Allah yang wajib kita sayang sedangkan binatang juga mengasihi anak-anaknya dengan rahmat yang Allah campakkan pada diri mereka, inikan manusia yang sepatutnya mempunyai sifat insaniatul insan, kemanusiaan yang sudah hampir malap dalam kehidupan.

            Justeru, pupuklah peri kemanusiaan bahkan sifat keihsanan bukan mengikut nafsu serakah dan sifat ammarah yang merugikan diri sendiri.

 

Penutup

            Saya berdoa kepada Allah semoga episode penderaan kepada anak-anak dan kanak-kanak tidak lagi berlaku di negara kita yang tercinta lebih-lebih lagi pada saat peradaban dan ilmu diperolehi dengan muda dan tinggi sedangkan dengan stress dan tekanan, tindakan yang tidak benar begitu merajai dalam jiwa mereka. Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah agar peristiwa hitam yang berlaku ini adalah yang terakhir dalam kamus kehidupan umat Islam di Malaysia.

            Sekian, selamat berbuka puasa dan bertarawikh.

 

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

16 Ramadan 1436H bersamaan 03 Julai 2015