Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

 

Mukadimah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Peredaran bumi mengelilingi matahari serta bulannya juga yang mengelilingi bumi sehingga satu tahap menghasilkan satu fenomena yang dinamakan sebagai gerhana. Malaysia dijadualkan menerima gerhana matahari ini pada 9 Mac 2016 bersamaan 29 Jamadilawwal 1437H seawal jam 7:30 pagi dan tamat sekitar 10:00 pagi berbeza mengikut lokasi-lokasi di sekitar Malaysia.[1]

Jika kita menelusuri sirah Nabi SAW, peristiwa gerhana telahpun berlaku ketika zaman Nabi SAW dan Baginda ketika berlakunya gerhana, padanya terdapat sunnah-sunnah dan juga petunjuk dari Baginda SAW dalam menghadapi peristiwa ini. InsyaAllah, siri Bayan Linnas pada kali ini akan membincangkan mengenai fenomena gerhana melalui kacamata syara’ sebagai keterangan umum buat masyarakat Islam dalam menghadapi fenomena ini.

 

Fenomena Gerhana Matahari[2]

Pada 9 Mac 2016, Gerhana Matahari Penuh akan berlaku di Sumatera, Borneo, Sulawesi dan Lautan Pasifik.  Lintasan bayang umbra Bulan akan merentasi Indonesia dari Sumatera hingga ke Kepulauan Maluku di timur sebelum ia memasuki kawasan Lautan Pasifik.  Tempoh Gerhana Matahari Penuh pada kali ini ialah 4 minit 9 saat dengan magnitud gerhana 1.045.  Gerhana Matahari Penuh ini berlaku 1.2 hari sebelum Bulan berada pada kedudukan yang paling dekat dengan Bumi atau kedudukan “perigi”. Gerhana Matahari Separa pula akan kelihatan dalam lingkungan bayangan penumbra Bulan yang lebih luas  meliputi Asia Timur, Australia dan Lautan Pasifik termasuklah juga Malaysia yang berpeluang untuk menyaksikan Gerhana Matahari Separa yang hanya setakat 70% - 90% litupan ke atas keseluruhan permukaan Matahari. 

Di Malaysia, kita dapat melihat Matahari terlindung oleh Bulan sehingga mencapai litupan maksimum kira-kira 87% di Sarawak dan juga di bahagian selatan Semenanjung Malaysia pada waktu pagi semasa Matahari sedang terbit.  Peratus Matahari dilindungi oleh Bulan semakin mengurang apabila kita semakin ke bahagian Utara Semenanjung Malaysia dan Sabah. Kita akan berpeluang untuk menyaksikan Gerhana Matahari Separa dari jam 7:30 a.m. hingga 9:30 a.m.

Secara amnya, Gerhana Matahari berlaku ketika fasa bulan baru dan pada masa yang sama Bulan melintas di antara Matahari dan Bumi menyebabkan Matahari tertutup sebahagian atau keseluruhannya.

 

Gerhana Di Zaman Rasulullah SAW

Sirah tidak terlepas dari merekodkan peristiwa ini yang mana kisah mengenainya terdapat di dalam kitab-kitab hadith dan hadith-hadith yang membincangkannya bertaraf sahih. Al-Imam Muslim Rahimahullah merekodkan peristiwa ini di dalam kitab Sahihnya, sebuah hadith dari Abu Musa RA yang mana beliau berkata:

خَسَفَتِ الشَّمْسُ فِي زَمَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَامَ فَزِعًا يَخْشَى أَنْ تَكُونَ السَّاعَةُ حَتَّى أَتَى الْمَسْجِدَ فَقَامَ يُصَلِّي بِأَطْوَلِ قِيَامٍ وَرُكُوعٍ وَسُجُودٍ مَا رَأَيْتُهُ يَفْعَلُهُ فِي صَلاَةٍ قَطُّ ثُمَّ قَالَ ‏"‏ إِنَّ هَذِهِ الآيَاتِ الَّتِي يُرْسِلُ اللَّهُ لاَ تَكُونُ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ وَلَكِنَّ اللَّهَ يُرْسِلُهَا يُخَوِّفُ بِهَا عِبَادَهُ فَإِذَا رَأَيْتُمْ مِنْهَا شَيْئًا فَافْزَعُوا إِلَى ذِكْرِهِ وَدُعَائِهِ وَاسْتِغْفَارِهِ ‏"‏ ‏.‏

Maksudnya: Telah berlaku gerhana matahari pada zaman Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam. Lalu baginda bangun dalam keadaan takut akan berlakunya hari Kiamat sehingga baginda tiba di masjid. Lalu baginda mendirikan solat yang paling panjang berdirinya, ruku'nya dan sujudnya yang pernah aku lihat Baginda lakukan di dalam solat. Kemudian Baginda berkata: Sesungguhnya ini adalah tanda-tanda yang Allah hantar. Ia tidaklah berlaku kerana kematian atau kehidupan seseorang. Akan tetapi Allah menghantarnya untuk menimbulkan rasa takut pada hambaNya. Apabila kalian lihat ia berlaku, segeralah mencari perlindungan dengan mengingati Allah, berdoa kepadaNya dan memohon keampunanNya.

Riwayat Muslim (912)

 

Al-Imam al-Nawawi Raahimahullah ketika mensyarahkan hadith di atas mengatakan bahawa gerhana berlaku bukanlah sebagai tanda hari akan kiamat, kerana tanda-tanda kiamat yang lain telah diketahui melalui hadith-hadith lain yang sahih seperti terbitnya matahari dari sebelah barat, keluarnya al-Daabbah dan juga dajjal. Namun, bangunnya Rasulullah SAW dalam keadaan takut dan mengerjakan solat yang panjang bacaan dan ruku’nya itu kerana takut ianya dari jenis hukuman yang Allah SWT turunkan sepertimana yang berlaku ketika mana bertiupnya angin dan jelas nampak di wajah Rasulullah SAW yang Baginda tidak menyukainya.

(Lihat Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 6/215-216)

 

Solat Sunat Gerhana Matahari

Di dalam Bahasa Arab, gerhana matahari disebut sebagai al-Kusuuf manakala gerhana bulan pula disebut sebagai al-Khusuuf. Dinamakan al-Kusuuf kerana tertutupnya cahaya matahari secara sebahagian atau sepenuhnya. (Lihat al-Mu’jam al-Wasit, hlm. 234)

Solat sunat gerhana adalah sunat sunat yang dilakukan kerana bersebab, iaitu berlakunya fenomena gerhana. Maka umat Islam keluar untuk menunaikan solat dan berdoa untuk menolak bala secara umumnya dan solatnya juga berlainan sedikit daripada solat-solat yang lain.

Pensyariatan solat sunat gerhana berlaku pada tahun kedua selepas hijrah yang mana bertepatan ketika meninggalnya Ibrahim, putera Rasulullah SAW. Ketika zaman jahiliyyah, gerhana matahari ataupun bulan dikaitkan dengan kepercayaan khurafat di mana kematian seseorang ada kaitannya dengan gerhana. Inilah yang dipercayai oleh golongan jahiliyyah di mana matinya putera Rasulullah SAW, Ibrahim adalah disebabkan oleh gerhana.

Asal pensyariatannya berdasarkan firman Allah SWT:

وَمِنۡ ءَايَٰتِهِ ٱلَّيۡلُ وَٱلنَّهَارُ وَٱلشَّمۡسُ وَٱلۡقَمَرُۚ لَا تَسۡجُدُواْ لِلشَّمۡسِ وَلَا لِلۡقَمَرِ وَٱسۡجُدُواْۤ لِلَّهِۤ ٱلَّذِي خَلَقَهُنَّ إِن كُنتُمۡ إِيَّاهُ تَعۡبُدُونَ ٣٧

Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, kalau betulah kamu hanya beribadat kepada Allah. 

            (Fussilat: 37)

 

Larangan sujud kepada matahari dan bulan terdapat di dalam ayat di atas manakala suruhan untuk sujud kepada Allah sebagai penciptanya dijelaskan melalui hadith yang menceritakan tentang fenomena gerhana yang disebutkan sebelum ini.

Hukum menunaikan solat sunat gerhana ini adalah sunat mu’akkad (sunat yang sangat dituntut) dan ianya disunatkan ke atas lelaki, wanita dan orang yang sedang bermusafir. Disunatkan juga untuk dilakukan bersendirian dan berjemaah sepertimana sabit di dalam sunnah Nabi SAW. (Lihat Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 1/568)

Tidak disunatkan untuk azan bagi memanggil orang ramai untuk menunaikan solat sunat gerhana. Cukup hanya dengan melaungkan: الصَّلَاةُ الجَامِعَةُ  (al-Solah al-Jami’ah). Ini sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dari Abdullah bin ‘Amru R.Anhuma:

لَمَّا كَسَفَتِ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نُودِيَ إِنَّ الصَّلاَةَ جَامِعَةٌ

Maksudnya: Ketika berlakunya gerhana matahari pada zaman Rasulullah SAW pengumuman telah dibuat untuk menunaikan solat jama’ah.

Riwayat Al-Bukhari (1045)

 

 

Tatacara Solat Sunat Gerhana

Solat sunat gerhana itu dua rakaat. Dimulakan dengan niat, kemudian bertakbiratul ihram, kemudian membaca doa al-Istiftah dan kemudian berta’awwuz. Setiap rakaat mempunyai dua kali qiyam, dua kali bacaan, dua kali ruku’ dan dua kali sujud.

  • Disebutkan di sini bagaimana caranya Rasulullah SAW melakukan solat sunat gerhana matahari[3]:
  1. Niat
  2. Bertakbiratul Ihram
  3. Berta’awwuz
  4. Membaca Surah Al-Fatihah
  5. Membaca surah yang panjang seperti Surah Al-Baqarah. Jika tidak, bacalah surah yang paling panjang dihafal.
  6. Melakukan ruku’ yang panjang.
  7. Setelah bangun dari ruku’ baca Al-Fatihah dan kemudian surah yang lebih pendek dari surah yang sebelumnya.
  8. Ruku’ buat kali kedua dan ruku’ ini juga panjang namun pendek sedikit dari ruku’ yang sebelumnya.
  9. Melakukan sujud yang panjang.
  10. Duduk antara dua sujud.
  11. Sujud dengan sujud yang panjang.
  12. Melakukan rakaat kedua seperti mana rakaat pertama dan diakhiri dengan salam.

 

  • Waktu solat sunat gerhana bermula ketika mana bermulanya gerhana itu sendiri dan berterusan sehingga matahari memancar penuh (tanpa dilindungi oleh bulan). Jika matahari telah nampak secara keseluruhannya, maka telah tamat waktu untuk melakukan solat sunat gerhana dan tidak perlu untuk solat dan tidak juga perlu diqada’kan. Ini diriwayatkan di dalam Sahih Muslim daripada Jabir bin Abdullah RA:

فَإِذَا رَأَيْتُمْ شَيْئًا مِنْ ذَلِكَ فَصَلُّوا حَتَّى تَنْجَلِيَ

Maksudnya: Jika kalian melihat sesuatu dari itu (gerhana) maka solatlah sehingga bercahaya kembali.

Riwayat Muslim (904)

 

  • Disunatkan imam untuk memperlahankan bacaan ketika solat sunat gerhana matahari berdasarkan hadith Ibn ‘Abbas R.Anhuma:

فَقَامَ قِيَامًا طَوِيلاً نَحْوًا مِنْ قِرَاءَةِ سُورَةِ الْبَقَرَةِ

Maksudnya: “Maka berdirinya (Baginda) dengan qiyam yang panjang, panjangnya seperti seakan membaca Surah al-Baqarah…”

Riwayat al-Bukhari (1052)

Hadith di atas menunjukkan kepada kita bahawa Ibn ‘Abbas R.Anhuma tidak mendengar apa yang dibacakan oleh Baginda SAW dan membuat anggapan bahawa panjangnya seumpama membaca Surah al-Baqarah. Jika Ibn ‘Abbas R.Anhuma mendengarnya, pasti beliau akan menyebutnya. Hadith lain daripada Sumrah bin Jundub RA menyebutkan:

صَلَّى بِنَا النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم فِي كُسُوفٍ لاَ نَسْمَعُ لَهُ صَوْتًا

Maksudnya: Telah solat bersama kami Nabi SAW ketika solat gerhana. Kami tidak mendengar suara Baginda.

            Riwayat Al-Tirmizi (562)

 

Ini kerana solat gerhana matahari dilakukan ketika siang dan tidak dikuatkan bacaan ketika melakukan solat di waktu siang. Telah berkata al-Imam al-Nawawi Rahimahullah: “Dan kedua-dua hadith yang sahih ini dikumpulkan di antara keduanya dan dengannya diperlahankan (sirr) bacaan ketika solat sunat gerhana matahari dan dikuatkan (jahr) bacaan bagi solat sunat gerhana bulan dan inilah mazhab kami.” (Lihat Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/52-53)

 

  • Disunatkan juga untuk khatib membcakan khutbah setelah tamat solat dengan memberikan kata nasihat, amaran dan ancaman terhadap azab Allah SWT serta menyeru dan mengajak makmum untuk memperbanyakkan amal soleh, berdoa dan beristighfar.[4]

 

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Alhamdulillah, pada esok hari seperti kenyataan yang telah dikeluarkan oleh ahli falak dan ahli astronomi, gerhana matahari akan berlaku. Justeru, marilah sama-sama kita memperingati diri kita dengan melakukan solat sunat gerhana matahari dan suka juga untuk kami nyatakan bahawa arahan Nabi SAW apabila melihat gerhana maka disunatkan untuk melakukan beberapa perkara. Antaranya:

  • Menunaikan solat sunat gerhana
  • Zikrullah
  • Berdoa
  • Beristighfar

 

Hal ini menandakan apabila berlakunya ayat kekuasaan Allah, hendaklah kita menghubungkan diri kita kepada Allah SWT dengan bermunajat, beristighfar, berdoa, bertaubat, berzikir dan melakukan amal soleh dalam menzahirkan diri kita untuk kembali kepada fitrah asal manusiawi dalam mentahqiqkan ubudiah kepada Allah SWT.

Diingatkan juga pada masa yang sama, hendaklah kita membuang segala tahyul mahyul, khurafat dan sangkaan yang gerhana itu berlaku disebabkan oleh kehebatan seseorang sama ada hidup atau matinya manusia tersebut. Sebaliknya, semua itu berlaku di atas kehendak dan iradah Allah SWT.

Justeru, wajib kita beriman dengan segala ketentuan, qada’ dan qadar yang telah ditetapkan oleh-Nya. Kita juga wajib menzahirkan rasa syukur kita terhadap segala nikmat yang telah Allah SWT kurniakan dan jauhilah sikiap kufur yang mana akan lebih memburukkan lagi kehidupan kita.

Seterusnya, hendaklah kita sabar di atas segala musibah serta redha dengan segala apa yang telah Allah SWT tetapkan . Semoga Allah kurniakan kepada kita taufik hidayah serta inayah-Nya agar dapat kita melayari bahtera kehidupan dengan aman dan sejahtera.

Akhir kalam, ambillah kesempatan yang ada untuk menunaikan solat sunat gerhana matahari pada esok hari dan InsyaAllah semoga Allah SWT memberkati dan merahmati kita semua. Ameen.

 

Akhukum fillah,

 S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

 

8 Mac 2016 bersamaan 28 Jamadilawwal 1437H

 

[1] Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengnai gerhana matahari, sila rujuk laman web rasmi Planetarium Negara. Pautan rasmi: http://planetarium.angkasa.gov.my/?q=article/gerhana-matahari-separa-di-malaysia-9-mac-2016

[2] Penerangan mengenainya di ambil dari laman web rasmi Planetarium Negara.

[3] Hadith asal mengenainya bolehlah dirujuk pada Sahih al-Bukhari, Kitab al-Kusuf, Bab al-Sadaqah fi al-Kusuf. No. Hadith: 1044.

[4] Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya, Kitab al-Kusuf, Bab Khutbah al-Imam fi al-Kusuf. No. Hadith: 1046.