Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-156: ADAB MEMBERI SALAM

 

Soalan: Apakah terdapat hadith berkaitan adab memberi salam?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan soalan di atas, terdapat sebuah hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim di dalam kitab Sahih mereka:

 

  • Daripada Abi Hurairah RA, beliau berkata:

 

يُسَلِّمُ الرَّاكِبُ عَلَى المَاشِي، وَالمَاشِي عَلَى القَاعِدِ، وَالقَلِيلُ عَلَى الكَثِيرِ

Maksudnya: “Diucapkan salam daripada orang yang menunggang ke atas orang yang berjalan, orang yang berjalan ke atas orang yang duduk dan orang yang sedikit ke atas orang yang ramai”. [Riwayat al-Bukhari (6232)(6233) Dan Riwayat Muslim (2160)]

 

Hadith ini menunjukkan akan hikmah kepada siapa yang perlu untuk memulakan salam. Ini kerana, memberi salam merupakan satu tuntutan di dalam agama kerana ia akan mengeratkan lagi pertalian kasih dan sayang sesama Islam.

 

Perintah Menyebarkan Salam

Antara hadith Nabi SAW yang menceritakan akan kelebihan “Salam” serta perintah menyebarkannya:

 

  • Daripada Abdullah bin Amr bin al-Ash RA berkata:

 

أنَّ رجلًا سأَل النبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم : أيُّ الإسلامِ خيرٌ ؟ قال : تُطعِمُ الطعامَ، وتَقرَأُ السلامَ، على مَن عرَفتَ، وعلى مَن لم تَعرِفْ

Maksudnya: “Seorang lelaki telah bertanya Rasulullah SAW: Islam manakah yang paling baik? Nabi SAW bersabda: “Kamu memberi makan, mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal”. [Riwayat al-Bukhari (11), (27), (5767) Dan Riwayat Muslim (56)]

 

Fiqh Menjawab Salam

Ini adalah adab daripada adab-adab ketika memberi salam. Ketahuilah bahawa memulakan salam adalah sunnah dan menjawabnya adalah wajib. Jika seorang muslim itu berada di dalam kumpulan maka menjadi sunnah kifayah pada hak mereka apabila sebahagian daripada mereka sahaja yang mengucapkan salam dan mereka memperoleh sunnah salam itu bagi kesemua mereka. Apabila seorang muslim itu bersendiri maka menjadi fardhu ain ke atasnya untuk menjawab. Jika mereka di dalam Jemaah maka menjawab salam itu menjadi fardhu kifayah pada hak mereka kerana jika seorang daripada mereka menjawab maka gugurlah dosa terhadapa yang lain. Akan tetapi, yang afdhal adalah kesemuanya memberi salam dan kesemuanya menjawabnya. [Lihat: al-Minhaj, 140/14]

 

Penutup

Kesimpulannya, kita sebagai umat Islam perlulah menjaga sunnah ini kerana ia amat dituntut di dalam agama ini. Semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam mengamalkan sunnah Nabi SAW serta memelihara kita daripada sifat-sifat yang dikeji oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Amin.

 

Wallahua’lam