Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad al-Hadith Siri ke-43 : Hadith Muttasil (المتصل)

 

 

Soalan :

Apakah yang dimaksudkan dengan Hadith Muttasil?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan pertanyaan di atas, pertanyaan tersebut melibatkan ilmu mustholah hadith atau dinamakan sebagai ulum al-Hadith. Hadith Muttasil adalah salah satu daripada jenis atau bahagian hadith yang melibatkan sanad sesebuah hadith samada ia bersambung ataupun tidak. Dengan cara ini, para ulama’ akan mengeluarkan hukum samada hadith itu boleh diterima atau ditolak.

 

Definisi hadith Muttasil

Imam al-Baiquniy di dalam manzhumahnya telah memberi definisi hadith Muttasil seperti berikut:

 

وَمَا بِسَمْعِ كُلِّ رَاوٍ يَتَّصِلْ * إِسْنَادُهُ لِلْمُصْطَفَى فَالْمُتَّصِلْ

Maksudnya: “Dan apa yang didengar oleh setiap perawi yang bersambung, Sanadnya kepada al-Mustafa (Nabi SAW) dinamakan al-Muttasil”.

 

Berdasarkan definisi ini, hadith Muttasil ialah apabila berlaku pendengaran antara setiap perawi itu dengan gurunya dan sanadnya itu sampai kepada Rasulullah SAW tanpa terputus. Antara makna lain, apa yang bersambung sanadnya kepada Rasulullah SAW dinamakan hadith Muttasil.

 

Imam Ibn Solah telah memberi definisi yang sedikit berbeza iaitu dengan mengatakan bahawa hadith boleh dikatakan Muttasil apabila ia berlaku pada hadith yang Marfu’ (sanadnya sampai kepada Rasulullah SAW) dan juga hadith yang Mawquf (Sanadnya hanya sampai pada sahabat RA) berbanding Imam al-Baiquniy mengatakan bahawa hadith Muttasil hanya berlaku pada yang Marfu’ sahaja.

 

Syarat-syarat hadith Muttasil

Hadith Muttasil mempunyai dua syarat:

  • Sanadnya perlu bersambung kepada Nabi SAW
  • Berlaku pendengaran antara perawi dan gurunya

 

Pembahagian hadith Muttasil dan hukumnya

Para ulama’ telah membahaagikan hadith Muttasil kepada dua bahagian jika menurut definisi yang diberikan oleh Ibn Solah:

 

  • Pertama: Hadith Muttasil Marfu’

Hadith Muttasil Marfu’ ialah hadith yang sanadnya sampai kepada Nabi SAW. Contoh: Malik daripada Ibn Syihab daripada Salim daripada Abdillah (Ibn Umar) daripada Umar daripada Nabi SAW.

 

Hukumnya: Hukum hadith Muttasil Marfu’ adalah diterima jika tiada kecacatan pada setiap perawi di dalam sanad.

 

  • Kedua: Hadith Muttasil Mawquf

Hadith Muttasil Mawquf ialah hadith yang sanadnya hanya sampai pada sahabat RA. Contoh: Malik daripada Nafi’ daripada Ibn Umar daripada Umar.

 

Hukumnya: Hukum hadith Muttasil Mawquf terbahagi kepada dua:

 

  • Pertama: Jika apa yang diriwayatkan oleh sahabat tersebut merupakan ijtihad daripadanya atau perkara tersebut masih boleh dilihat semula dan dibahaskan maka ia tidak menjadi hujjah melainkan jika perkara tersebut disepakati oleh sahabat yang lain maka pada ketika itu hukumnya seperti ijma’.

 

 

  • Kedua: Jika perkara yang diriwayatkan oleh sahabat tersebut melibatkan perkara yang tidak boleh difikir atau diijtihad seperti perkara-perkara ghaib maka hukumnya adalah marfu’ kepada Nabi SAW melainkan jika diketahui bahawa perkara tersebut diambil daripada ahli kitab maka ia perlu dilihat terlebih dahulu.

 

Persoalan

Apakah perbezaan antara Muttasil dan Musnad?

 

Musnad boleh juga dinisbahkan kepada Munqathi’ selagimana ia diriwayatkan dengan sanad. Adapun Muttasil, ia tidak boleh dinisbahkan kepada Munqathi’ sama sekali. Ini kerana, syarat Muttasil ialah sanadnya mestilah bersambung kepada Nabi SAW dan Munqathi’ keadaan sanadnya terputus.

 

Penutup

Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi sedikit manfaat dan kefahaman kita dalam ilmu Hadith. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman dalam agama seterusnya dapat kita beramal dengannya.