Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-149: BERAMAL DENGAN HADIS ELAK MUSIBAH OLEH UMMU SALAMAH

Soalan: Mohon kongsikan doa Ummi Salamah yang dibaca ketika ditimpa musibah dan bolehkah beramal dengannya?

Jawapan

Apabila kita ditimpa musibah maka digalakkan kita membaca doa dibawah ini :

 إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُون َ، اللَّهُمَّ عِنْدَكَ أَحْتَسِبُ مُصِيبَتِي ، فَأْجُرْنِي فِيهَا، وَأَبْدِلْ لِي بِهَا خَيْرًا مِنْهَا

Hal ini berdasarkan kepada hadith :

Daripada Ummi Salamah katanya, Rasulullah SAW bersabda:  “Jika ada diantara kalian tertimpa musibah, hendaklah dia berkata :

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ، اللَّهُمَّ عِنْدَكَ أَحْتَسِبُ مُصِيبَتِي، فَآجِرْنِي فِيهَا، وَأَبْدِلْ لِي بِهَا خَيْرًا مِنْهَا
Maksudnya: “Sesunggunya kami milik Allah dan sesunguhnya kami akan kembali pada-Nya. Ya Allah aku hanya menghitung pahala musibah ini di sisi-Mu, maka berikanlah kepadaku pahala itu, dan gantikanlah aku dengan sesuatu yang lebih baik dari musibah ini.”
(Riwayat Abu Daud, no. 3119)

Hadith ini didiamkan oleh Imam Abu Daud. Setiap hadith yang didiamkan beliau adalah ‘soleh’ sebagaimana katanya,

مَا لم أذكر فِيهِ شَيْئا فَهُوَ صَالح
Maksudnya: “Apa yang aku diamkan di dalamnya (kitab Sunan) maka ia adalah soleh. (Rujuk Risalah Abi Daud ila Ahl Makkah, hlm. 27)

Terdapat beberapa pandangan ulama’ berkenaan apa yang dimaksudkan dengan “Apa yang didiamkan tentangnya”:

  1. Menurut Ibn Kathir, “Apa yang didiamkan Abu Daud maka ianya adalah (hadith) Hasan” (Rujuk al-Ba’ith al-Hathith ila Ikhtisar Ulum al-Hadith, hlm. 47)
  2. Menurut al-‘Ala’ie, “Apa yang didiamkan tentangnya (Abu Daud), maka ia adalah soleh li al-ihtijaj.” (al-Naqd al-Sahih, hlm. 23)
  3. Bagi Ibn Hajar al-‘Asqalani, hadith tersebut boleh jadi terdapat dalam Sahih Bukhari dan Muslim atau mencapai syarat sahih, hasan lizatih, hasan jika terdapat percanggahan, dhaif tetapi kedhaifannya adalah pada riwayat yang tidak disepakati akan penolakannya pada kebiasaannya. Kesemua pembahagian ini pada beliau (Imam Abu Daud) adalah soleh untuk dibuat hujah (dalam fiqh). (Rujuk al-Nukat ‘ala Kitab Ibn Solah, 1/435)

Kesimpulannya, kami cenderung untuk menyatakan bahawa hadith doa di atas adalah boleh dijadikan hujah dan beramal dengannya sebagaimana kaedah yang dibawa oleh al-‘Ala’ie dan Ibn Hajar al-‘Asqalani. Wallahua’lam.