Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-148 : MATI MUNAFIK KERANA TIDAK MENGINGINKAN JIHAD

SOALAN:

Assalamulaikum wbt,

Benarkah kenyataan di bawah:

“Barangsiapa yang mati sedang ia tidak berjihad dan tidak terdetik di dalam hatinya untuk berjihad, ia mati di atas cabang kemunafikan (HR Muslim). Kefahaman: Dakwah adalah berjihad, maka barangsiapa yang mati sedangkan dia tak pernah berdakwah, dan tiada niat untuk berdakwah maka matinya salah satu cabang daripada kemunafikan.”

 

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Hadis yang disebutkan di atas itu adalah hadis yang sahih dan memiliki makna yang juga sahih. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ مَاتَ وَلَمْ يَغْزُ، وَلَمْ يُحَدِّثْ بِهِ نَفْسَهُ، مَاتَ عَلَى شُعْبَةٍ مِنْ نِفَاقٍ

Maksudnya: Barangsiapa yang mati sedangkan dia tidak pernah berperang, dan tidak pernah berniat dalam hatinya untuk berperang, maka dia mati dalam satu cabang daripada kemunafikan.

Hadis riwayat Imam Muslim (no. 158)

Imam Ibnu Mubarak berkata: “Kami mengira bahawa hal demikian berlaku untuk zaman Rasulullah SAW.” Imam Nawawi berkata bahawa Ibn Mubarak mengambilkira kemungkinan maksud am yang merujuk kepada semua zaman dan juga maksud khas yang merujuk kepada orang munafik dalam zaman Nabi yang berpaling daripada seruan jihad kerana meninggalkan seruan jihad ada salah satu daripada cabang-cabang nifaq. Rujuk Syarh Sahih Muslim (13/56)

Berkata Qadhi Iyyadh: “Hadis ini menerangkan bahawa apabila seseorang dihalang oleh suatu penghalang daripada melaksanakan suatu kefarduan dalam agama atau dihalang daripada bersegera melaksanakan satu rukun daripada rukun-rukun Syarak atau perkara sunah yang masyhur, bahawa dia akan diberi ganjaran berdasarkan niatnya selama mana dia dapat melaksanaka perkara tersebut. Adapun keazaman untuk melakukan sesuatu ialah pengganti bagi perlakuan tersebut sekiranya tidak dapat ditentukan waktu perlaksanaannya.”  Rujuk Ikmal al-Mu`lim (6/170).

Dalam erti kata lain, hadis ini menceritakan perbezaan antara niat dan azam. Niat itu perlulah disertai dengan perbuatan manakala azam tidak. Sekalipun begitu, azam untuk melakukan perbuatan yang baik itu juga diberi pahala.

Jihad mengikut sudut bahasa berasal daripada perkataan (الجَهْدُ), membawa maksud kesusahan. Ia juga adalah asal perkataan (جَاهَدَ) yang membawa maksud: “Menggunakan usaha yang bersungguh-sungguh pada jalan untuk mencapai kepada suatu matlamat.”

Manakala jihad daripada sudut istilah Syarak bererti: “Menggunakan usaha yang bersungguh-sungguh untuk menyampaikan dakwah dan penyebaran Islam, mendirikan masyarakat Islam, dan menjadikan Syariat Allah menguasai dunia keseluruhannya.”

Jihad secara umum boleh difahami dengan tiga maksud:

  • Jihad dengan ilmu dan lisan, seperti mengajar masyarakat, menyebarkan keselamatan berada di dalam Islam, menerangkan hakikat agama, syariat dan iman, dan melawan syubhat pemikiran.
  • Jihad dengan harta, seperti membelanjakan harta untuk jalan Allah, dan kerana itu ia termasuk dalam asnaf zakat.
  • Jihad dengan pertempuran dan peperangan demi mempertahankan serangan musuh-musuh Allah yang menyerang kaum Muslimin, bumi dan kampong mereka, ataupun demi menyebarkan dakwah Islam dan melawan para pemerintah kafir yang zalim dan melampaui batas yang menekan rakyatnya dan menghalang Islam.

Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (5/13)

Kesimpulannya, hadis sahih ini menyatakan kewajipan bagi setiap orang Islam untuk berazam bagi melaksanakan jihad mengikut kemampuannya. Jihad pada asalnya adalah fardu kifayah dan apabila seseorang itu dipertanggungjawabkan oleh pemerintah untuk berjihad maka hendaklah dia melaksanakan fungsinya dengan bersungguh dan amanah. Hendaklah kefahaman jihad itu juga berdasarkan kefahaman yang sebenar berdasarkan fiqh jihad dan bukan yang menyeleweng sehingga mengorbankan nyawa umat Islam dan manusia yang tidak bersalah.

Justeru, bagi mereka yang lari daripada kewajipan jihad atau membencinya, atau tidak terdetik langsung dalam hatinya untuk berjuang menegakkan Islam, maka dia terjebak dengan kemunafikan seperti mana yang dilakukan oleh orang-orang munafik pada zaman Nabi SAW.

Semoga Allah menjadikan kita daripada kalangan orang yang ikhlas berjuang di atas jalan Allah dan menjauhkan kita daripada kemunafikan kerana meninggalkan kewajipan jihad.

Wallahua’lam.