Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-145: HADITH TENTANG TULANG SULBI

 

Soalan: Apakah sahih hadith berkaitan kesemua badan anak Adam akan dimakan tanah kecuali tulang sulbi?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan soalan di atas, sudi bagi kami untuk memetik beberapa ayat al-Qur’an berkaitan penciptaan manusia. Antaranya:

 

  • Firman Allah SWT:

 

لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam sebaik-baik ciptaan (rupa)”. [al-Tin:4]

 

Melihat pada ayat ini, kita ketahui bahawa Allah SWT telah mencipta manusia dengan sebaik-baik ciptaan serta Allah SWT menjadikan manusia ini sebagai salah satu tanda-Nya yang agung. Selain itu juga, ia juga menunjukkan akan kekuasaan dan kehebatan Allah SWT dalam mencipta sesuatu yang Dia kehendaki. Di dalam ayat yang lain:

 

  • Firman Allah SWT:

 

فَلْيَنظُرِ الْإِنسَانُ مِمَّ خُلِقَ

Maksudnya: “(Setelah mengetahui yang demikian), maka hendaklah manusia memikirkan: dari apa ia diciptakan”. [al-Thoriq:5]

 

Ayat ini menunjukkan bahawa Allah SWT memerintahkan kita agar sentiasa berfikir dan melihat ciptaan-ciptaan-Nya dan ini adalah yang difahami oleh para mufassir.

 

Hadith-Hadith Berkaitan Tulang Sulbi

Di sini kami datangkan beberapa buah hadith sahih berkaitan persoalan di atas:

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

لَيْسَ مِنَ الإِنْسَانِ شَيْءٌ إِلَّا يَبْلَى، إِلَّا عَظْمًا وَاحِدًا وَهُوَ عَجْبُ الذَّنَبِ، وَمِنْهُ يُرَكَّبُ الخَلْقُ يَوْمَ القِيَامَةِ

Maksudnya: “Tidak ada pada manusia itu melainkan kesemuanya akan hancur melainkan satu tulang yang dinamakan ‘Ajb al-Zanab dan daripadanya itu akan dibangkitkan manusia pada hari Kiamat”. [Riwayat al-Bukhari (4935)]

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

كُلُّ ابْنِ آدَمَ يَأْكُلُهُ التُّرَابُ، إِلَّا عَجْبَ الذَّنَبِ مِنْهُ، خُلِقَ وَفِيهِ يُرَكَّبُ

Maksudnya: “Setiap anak Adam akan dimakan oleh tanah kecuali ‘Ajb al-Zanab daripadanya diciptakan serta padanya juga akan dibangkitkan”. [Riwayat Muslim (2955)]

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

إِنَّ فِي الْإِنْسَانِ عَظْمًا لَا تَأْكُلُهُ الْأَرْضُ أَبَدًا، فِيهِ يُرَكَّبُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ قَالُوا أَيُّ عَظْمٍ هُوَ يَا رَسُولَ اللهِ ؟ قَالَ: عَجْبُ الذَّنَبِ

Maksudnya: “Sesungguhnya pada manusia itu terdapat satu tulang yang tidak akan dimakan oleh bumi selama-lamanya. Dengannya akan dibangkitkan manusia pada hari Kiamat. Mereka bertanya: Tulang apakah itu wahai Rasulullah SAW? Nabi SAW bersabda: ‘Ajb al-Zanab”. [Riwayat Muslim (2955)]

 

Definisi ‘Ajb al-Zanab (عَجْبُ الذَّنَبِ)

Menurut lisan al-Arab, ‘Ajb al-Zanab bermaksud:

 

الْعَظْمِ الَّذِي فِي أَسفل الصُّلْب عِنْدَ العَجُز

Maksudnya: “Tulang yang berada di hujung sulbi pada tulang tongkeng ”.  [Lihat: Lisan al-Arab, 582/1]

 

Imam al-Nawawi mengatakan ‘Ajb al-Zanab adalah tulang yang halus terletak di hujung sulbi serta ia juga merupakan hujung tongkeng dan dikatakan juga bahawa ia adalah tulang ekor. Tulang ini merupakan ciptaan Allah SWT yang pertama bagi manusia dan ia akan kekal sehingga dikembalikan ciptaan manusia (pada hari Akhirat).  [Lihat: al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 92/18]

 

Fiqh al-Hadith

Daripada hadith ini, kita dapat merumuskan beberapa perkara:

 

  • Pertama: Proses ciptaan manusia bermula daripada ‘Ajb al-Zanab.
  • Kedua: ‘Ajb al-Zanab tidak akan musnah dan tidak akan di makan oleh bumi.
  • Ketiga: Daripada ‘Ajb al-Zanab akan dibangkitkan manusia pada hari Akhirat kelak.

 

Penutup

Kesimpulannya, hadith berkaitan sejenis tulang yang tidak akan hancur adalah sahih kerana ketiga riwayat tersebut datang dari dua buah kitab yang menjadi ijma’ umat Islam akan kesahihannya dan kita wajib beriman dengan perkara tersebut. Akhirnya, semoga Allah SWT membangkitkan kita di hari Akhirat kelak dalam kalangan orang yang soleh dan beriman. Amin.

 

Wallahua’lam