Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-134: KEISTIMEWAAN LUBAN

 

Soalan: Apakah terdapat amalan salaf berkaitan luban?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berkaitan isu ini, kami memetik perbahasan berkaitannya di dalam kitab Thib al-Nabawi karangan Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah. Luban atau dipanggil dengan al-Kundur di dalam bahasa arab iaitu sejenis getah pokok. Di samping itu, luban ini telah menjadi amalan pemakanan para salaf soleh terdahulu. Ini berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Ali RA secara mawquf iaitu tidak bersambung kepada Nabi SAW:

 

  • Daripada Saidina Ali RA, beliau berkata:

 

يُرْوَى عَنْ علي أَنَّهُ قَالَ لِرَجُلٍ شَكَا إِلَيْهِ النِّسْيَانَ: عَلَيْكَ بِاللُّبَانِ، فَإِنَّهُ يُشَجِّعُ الْقَلْبَ، وَيَذْهَبُ بِالنِّسْيَانِ

Maksudnya: “Diriwayatkan daripada Ali Ra bahawa beliau telah berkata kepada seorang lelaki yang mengadu kepadanya akan sifatnya yang pelupa. Maka Ali RA berkata: Hendaklah kamu mengamalkan luban, kerana ia (luban) menguatkan hati serta menghilangkan penyakit lupa”.

 

  • Daripada Ibn Abbas RA, beliau berkata:

 

وَيُذْكَرُ عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا: أَنَّ شُرْبَهُ مَعَ السُّكَّرِ عَلَى الرِّيقِ جَيِّدٌ لِلْبَوْلِ وَالنِّسْيَانِ

Maksudnya: “Disebutkan daripada Ibn Abbas RA berkata: Sesungguhnya meminumnya (luban) bersama gula ketika perut kosong adalah baik untuk penyakit kencing dan penyakit lupa”.

 

  • Daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata:

 

وَيُذْكَرُ عَنْ أنس رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّهُ شَكَا إِلَيْهِ رَجُلٌ النِّسْيَانَ، فَقَالَ: عَلَيْكَ بِالْكُنْدُرِ وَانْقَعْهُ مِنَ اللَّيْلِ، فَإِذَا أَصْبَحْتَ، فَخُذْ مِنْهُ شَرْبَةً عَلَى الرِّيقِ، فَإِنَّهُ جَيِّدٌ لِلنِّسْيَانِ

Maksudnya: “Disebutkan daripada Anas bin Malik RA berkata: Seorang lelaki telah mengadu kepadanya (Anas bin Malik RA) berkenaan penyakit lupanya. Maka Anas bin Malik RA berkata: Hendaklah kamu mengamalkan al-Kundur (luban) dan kami rendamkan ia semalaman. Apabila kamu bangun pada waktu pagi maka ambillah ia (luban yang direndam itu) pada waktu perut kosong kerana sesungguhnya ia sangat baik untuk penyakit lupa”.

 

Penutup

Kesimpulannya, amalan memakan luban ini telah diamalkan oleh para salaf terdahulu bagi tujuan menguatkan ingatan dan ia juga mempunyai beberapa khasiat yang lain. Selain itu juga, pada irsyad al-Hadith akan datang kami akan cuba membincangkan apakah terdapat hadith yang sahih berkaitan luban ini. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita ingatan yang kuat dan juga memberi kita kesihatan yang baik. Amin.

 

Wallahua’lam