Irsyad al-Hadith Siri ke-22 : Biografi Imam al-Hakim serta pengenalan ringkas tentang karya Mustadrak-nya

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Apabila kita membaca buku-buku berkaitan hadis, kadang-kadang kita akan terjumpa riwayat daripada al-Hakim di dalam mustadraknya. Justeru itu, mari kita mengenali tokoh ini dan metodologi berkaitan karya beliau secara ringkas:

Nama beliau ialah al-Hafiz al-Kabir Abu Abdullah Muhammad bin Abdillah bin Muhammad bin Hamdawaih al-Dhibbi al-Naisaburiy di Iran, beliau dikenal sebagai al-Hakim dan juga Ibn al-Bayyi’. Beliau dilahirkan pada tahun 321 hijrah dan tinggal dalam keluarga yang suasananya adalah ilmu dan kemuliaan dan beliau wafat pada tahun 405 hijrah.

Tambahan pula, ayahnya sentiasa membawanya bersama untuk mendengar hadis-hadis daripada guru-guru di kawasannya. Apabila Imam al-Hakim berusia 9 tahun, beliau mula mengembara untuk mencari ilmu dan telah bertemu dengan lebih 2000 orang guru di merata tempat. Antaranya ialah di Khurasan, al-Iraq, al-Syam, al-Hijaz dan lain-lain tempat lagi.

Antara guru-guru beliau ialah :

  • al-Hafiz Daraqutni
  • al-Muhaddith Muhammad bin Ya’kub
  • al-Hafiz Muhammad bin Ya’kub Ibn al-Akhram
  • Imam al-Hafiz Abu Ahmad Muhammad bin Ahmad al-Hakim

Disebabkan Imam al-Hakim merupakan seorang yang mempunyai kedudukan yang tinggi dari sudut keilmuan pada waktu itu, maka lahirlah daripada didikan al-Hakim imam-imam yang besar antaranya ialah :

  • al-Hafiz al-Mutqin Abu Ya’la al-Khalil bin Abdillah al-Khalili al-Qazwini
  • al-Imam al-Hafiz Abu Zar al-Harawi
  • al-Hafiz al-Allamah Syeikh Khurasan Ahmad bin al-Husain

Antara karya Imam al-Hakim adalah :

  • Al-Mustadrak
  • Tarikh Naisabur, al-iklil
  • Al-Madkhal ila al-Sahih

 

Pujian Ulama’ terhadap Imam al-Hakim

Imam al-Hakim merupakan salah seorang ulama’ hadis yang sangat terkenal di zamannya, maka terdapat banyak pujian daripada ulama’-ulama’ yang datang selepas daripadanya atau yang sezaman dengannya. Antaranya adalah:

  • Imam Abdul Ghafir bin Ismail berkata : “Dia adalah Imam kepada ahli hadis di zamannya, di samping karya-karyanya juga terkenal. Selain itu, beliau telah membaca dan mendengar hadis-hadis Nabi SAW daripada tokoh-tokoh di zamannya dan barangsiapa mengamati tulisannya akan dapat merasakan kelainan yang dibawa oleh beliau berbanding generasi sebelum daripadanya”.
  • Imam al-Zahabi telah berkata : “al-Imam, al-Hafiz, Al-Naqid (pengkritik), al-Allamah Syeikh kepada sekalian muhaddith dan beliau merupakan seorang yang thiqah hujjah”.
  • Imam Ibn Kathir juga berkata : “Dia merupakan salah seorang daripada orang yang kuat agamanya, amanah, sentiasa menjaga (agama ini daripada penyelewengan), kuat hafalannya dan wara’”.

 

Maksud dan syarat al-Hakim di dalam mustadraknya

Al-Mustadrak berasal daripada perkataan bahasa Arab yang membawa maksud bertemu atau sampai kepada sesuatu. Al-Mustadrak  ala Sahihain oleh Imam al-Hakim bermaksud mengumpulkan hadis-hadis yang bertepatan dengan syarat-syarat penerimaan hadis yang dipraktikkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim yang tidak dimuatkan di dalam al-Sahihain. Perkataan al-Mustadrak ini sangat masyhur dengan imam al-Hakim sehinggakan apabila orang menyebut al-Mustadrak, orang tidak akan terbayang di fikiran mereka melainkan Mustadrak ala Sahihain oleh Imam al-Hakim.

 

Metodologi Mustadrak ala Sahihain oleh al-Hakim

Secara amnya metodologi penulisan al hakim, sama sahaja dengan metodologi yang digunakan oleh Imam al-Bukhari dan juga Muslim. Selain itu, Imam al-Hakim menyusun Mustadraknya mengikut bab-bab Feqah dan beliau menyebut sebanyak 37 kitab dan setiap kitab mempunyai berpuluh-puluh bab yang menceritakan akan isi kandungan hadis tersebut, dimulakan dengan Kitab al-Iman sehingga yang terakhir iaitu kitab al-Ahwal (الأهوال) yang bermaksud ketakutan dan keperitan.

 

Kritikan dan pujian terhadap al-Mustadrak :

Setiap karya yang dihasilkan pasti tidak terlepas daripada kritikan melainkan al-Qur’an al-Karim. Begitu juga dengan karya al-Hakim ini, antara kritikan tersebut ialah :

Kritikan daripada Abu Sa’id  Al-Malini :

“Aku telah membaca buku al-Mustadrak yang di karang oleh al-Hakim daripada awal sampai ke akhirnya dan aku tidak menjumpai walaupun sebuah hadis yang menepati syarat kedua-dua mereka ( al-Bukhari dan Muslim)”.

Kritikkan daripada al-Zahabi  :

“Beliau (al-Hakim) ialah seorang ulama yang boleh dipercayai. Namun, beliau telah menghukum banyak hadis-hadis yang lemah sebagai sahih di dalam al-Mustadrak. Justeru, itu, aku tidak mengetahui mengapakah perkara ini boleh berlaku? Mungkin juga beliau tidak menyedari perkara ini atau tidak tahu mengenainya. Namun, jika beliau melakukannya secara sengaja maka ini merupakan satu pengkhianatan dan kesalahan yang besar”.

Pembelaan terhadap al-Mustadrak :

Al-Hafiz Ibn Hajar :

“Kelonggaran yang dilakukan oleh al-Hakim berlaku kerana al-Mustadrak  yang dikarang  hanyalah merupakan satu draf awal daripada karya tersebut, kemudian beliau telah meninggal dunia sebelum sempat menyemaknya semula”.

 

Penutup

Kesimpulannya,  Imam al-Hakim  merupakan salah seorang tokoh hadis yang telah banyak menyumbang dan sumbangannya begitu besar di dalam ilmu hadis. Kita tidak boleh menafikan sumbangan beliau ini kepada umat Islam dan sehingga kini karya-karyanya juga masih menjadi rujukan oleh para ulama’ dan orang awam. Semoga Allah SWT merahmatinya. Amin.

 


Cetak   Emel