Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

 

 

ih364_15291523.png

 

Soalan: Apakah dibenarkan menisbahkan nama kepada datuk?  

    

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Sebelum kami menjawab persoalan di atas, suka bagi kami untuk menjelaskan berkaitan kaedah menggunakan nisbah ini. Di dalam matan Alfiyah, Imam Malik ade menyebut berkaitan makna nisbah ini iaitu menyandarkan sesuatu kepada sesuatu. Sama ada sandaran itu kepada kabilah, negeri, ilmu, pekerjaan atau seumpama dengannya.

Selain itu juga, terdapat dua kaedah atau cara dalam penisbahan ini iaitu: [Lihat: Syarah Alfiyah, 576]

  • Menukarkan penisbahan tersebut kepada sighah al-Mubalaghah seperti Haddad (حَدَّاد) iaitu tukang besi.
  • Menambahkan huruf Ya’ nisbah di akhir penisbahan tersebut seperti Makki (مَكِّيّ) iaitu dari Makkah atau Qurashiy (قُرَشِيّ) iaitu daripada kabilah Quraish.

 

Berdasarkan kepada soalan di atas, kami cuba untuk menghimpukan beberapa hadith berkaitan menisbahkan nama kepada datuk. Di antara hadith yang menceritakan berkaitan bab ini adalah:

  • Daripada Ibn Abbas R.anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنِ انْتَسَبَ إِلَى غَيْرِ أَبِيهِ أَوْ تَوَلَّى غَيْرَ مَوَالِيهِ، فَعَلَيْهِ لَعْنَةُ اللَّهِ وَالْمَلَائِكَةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menasabkan kepada selain daripada bapanya atau menisbahkan mawla selain daripada mawlanya. Maka ke atasnya laknat Allah, para malaikat dan juga manusia keseluruhannya.” [Riwayat Ibn Majah (2609)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai sahih]

 

  • Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنِ ادَّعَى إِلَى غَيْرِ أَبِيهِ، أَوِ انْتَمَى إِلَى غَيْرِ مَوَالِيهِ، فَعَلَيْهِ لَعْنَةُ اللَّهِ الْمُتَتَابِعَةُ، إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mendakwa kepada selain daripada bapanya atau menyandarkan kepada selain daripada mawlanya. Maka ke atasnya laknat Allah secara berterusan sehingga hari akhirat.” [Riwayat Abu Daud (5115)] [Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini sebagai sahih]

 

Hadith ini jelas menunjukkan kepada pengharaman seseorang itu menasabkan kepada bukan ayahnya (ayah kandung) atau seseorang itu menyandarkan kepada bukan kepada tuannya. Ini kerana, ia seakan-akan mengkufuri nikmat dan menghilangkan hak-hak perwarisan, ketaatan kepada tuan, akal dan sebagainya. Tambahan pula, padanya terdapat memutuskan pertalian silahturrahim dan ia juga salah satu bentuk penderhakaan. [Lihat: Aun Ma’bud, 14/15]

 

  • Daripada Sa’ad bin Abi Bakrah R.anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنِ ادَّعَى إِلَى غَيْرِ أَبِيهِ، وَهُوَ يَعْلَمُ أَنَّهُ غَيْرُ أَبِيهِ فَالْجَنَّةُ عَلَيْهِ حَرَامٌ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mendakwa kepadaa selain daripada bapanya dalam keadaan dia mengetahuinya bahawa itu bukan bapanya. Maka telah haram syurga ke atas dirinya.” [Riwayat Muslim (115)]

 

 

  • Daripada Abi Zar RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَيْسَ مِنْ رَجُلٍ ادَّعَى لِغَيْرِ أَبِيهِ وَهُوَ يَعْلَمُهُ إِلَّا كَفَرَ

Maksudnya: “Bukan daripada kalangan orang lelaki yang mendakwa orang lain adalah bapanya dalam keadaan dia mengetahuinya melainkan dia telah kufur (menjadi kafir).” [Riwayat Muslim (112)]

 

Menurut Imam al-Nawawi, kedua hadith Imam Muslim di atas boleh difahami dengan terdapat padanya dua takwilan bagi perkataan atau makna kufur bagi orang yang melakukan perkara seperti ini: [Lihat: al-Minhaj, 2/52]

  • Orang yang menghalalkan perbuatan ini akan menjadi kafir (terkeluar daripada Islam).
  • Orang yang melakukan perbuatan sama seperti orang yang kufur terhadap nikmat, ihsan, hak Allah dan juga hak ayahnya.

 

Hukum Menisbahkan Nama Kepada Datuk

Di sini kami nukilkan pandangan daripada Syeikh al-Sarakhsi, beliau berkata:

 

لِأَنَّ النَّسَبَ إلَى الْجَدِّ بِمَنْزِلَةِ النَّسَبِ إلَى الْأَبِ فِي الْحَقِيقَةِ؛ لِأَنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ يُنْسَبُ إلَى الْجَدِّ لِيُعْرَفَ دُونَ الْأَبِ

(أَلَا تَرَى) أَنَّ ابْنَ أَبِي لَيْلَى يُنْسَبُ إلَى جَدِّهِ، وَكَذَلِكَ أَبُو نَصْرِ بْنُ سَلَامَةَ يُنْسَبُ إلَى جَدِّهِ؛ لِأَنَّ سَلَامَةَ جَدُّهُ لَا أَبُوهُ، وَإِذَا كَانَ يُنْسَبُ إلَى الْجَدِّ صَارَ الْحُكْمُ أَنَّ الصُّلْبَ وَالْجَدَّ سَوَاءٌ

Maksudnya: “Nasab kepada datuk sama kedudukannya dengan nasab kepada bapa secara hakikatnya. Ini kerana, kebanyakan manusia menasabkan kepada datuknya dengan tujuan untuk dikenali tanpa menyatakan nama ayah. Tidak kamu melihat bahawa Ibn Abi Laila menasabkan namanya kepada datuknya. Begitu juga, Abu Nasr bin Salamah menasabkan kepada datuknya kerana Salamah adalah datuknya dan bukan bapanya. Sekiranya dinasabkan kepada datuknya maka hukum ayah dan datuk adalah sama.” [Lihat: al-Mabsuth, 158/27]

 

Tambahan pula, di sana terdapat ulama yang menisbahkan diri mereka kepada datuknya dan bukan ayahnya. Antaranya ialah:

  • Ahmad bin Muhammad bin Musa tetapi masyhur dengan Ahmad bin Musa.
  • Ishaq bin Ibrahim bin Suwaid tetapi masyhur dengan Ishaq bin Suwaid.
  • Said bin Kathir bin ‘Ufair tetapi masyhur dengan Said bin ‘Ufair.
  • Uthman bin Abdullah bin Mawhib tetapi masyhur dengan Uthman bin Mawhib.
  • ‘Amr bin Muaz bin Sa’ad bin Mu’az tetapi masyhur dengan ‘Amr bin Sa’ad bin Muaz.

 

Selain itu juga, sekiranya dilihat daripada nasab Imam al-Syafie, kita akan mendapati bahawa al-Syafie itu adalah datuknya. Nama sebenar Imam al-Syafie ialah:

Muhammad bin Idris bin al-Abbas bin Uthman bin Syafi’ bin al-Sa’ib bin Ubaid bin Abd Yazid bin Hasyim bin Abd al-Muthalib bin Abd Manaf.

 

Begitu juga seorang sahabat yang masyhur iaitu Abu Ubaidah al-Jarrah juga tidak terkecuali menisbahkan namanya kepada datuknya dan bukan ayahnya. Nama sebenar Abu Ubaidah ialah:

Abu Ubaidah Amir bin Abdullah bin al-Jarrah

 

Penutup

Kesimpulannya, jelas menunjukkan kepada kita tentang pengharaman penisbahan kepada sesuatu yang bukan haknya sama ada nisbah kepada bukan ayah atau nisbah kepada bukan tuannya. Walaupun begitu, terdapat sebahagian ulama yang membenarkan tetapi dengan syarat-syarat atau dhawabit yang tertentu seperti kami telah nyatakan di atas. Justeru itu, terdapat ramai ulama yang menisbahkan nama mereka kepada datuknya termasuklah Imam al-Syafie. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita semua kefahaman di dalam agama ini. Amin.

Wallhua’lam