Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

 

ih449_15291523.png

 

Soalan: Apakah status dan maksud hadith ini?

 

  • Daripada Abdullah bin ‘Amr RA, bahawa Nabi SAW telah bersabda:

 

وَوَقْتُ صَلَاةِ الْعِشَاءِ إِلَى نِصْفِ اللَّيْلِ

Maksudnya: “Waktu solat Isyak adalah sehingga pertengahan malam.” [Riwayat Muslim (612)]

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berdasarkan soalan di atas, para ulama berselisih pendapat dalam menentukan waktu terakhir untuk ditunaikan solat Isyak. Hal ini kerana wujudnya dalil-dalil yang berbeza dalam membahaskan berkaitan perkara ini. Berbalik kepada hadith di atas, hadith di atas adalah hadith yang sahih sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya apabila Nabi SAW ditanya berkaitan waktu-waktu solat. Di sana juga terdapat hadith lain yang menyatakan berkaitan perbuatan Nabi SAW melewatkan solat Isyak sehingga ke pertengahan malam iaitu:

  • Daripada Anas bin Malik RA berkata:

 

أَخَّرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلاَةَ العِشَاءِ إِلَى نِصْفِ اللَّيْلِ، ثُمَّ صَلَّى، ثُمَّ قَالَ: قَدْ صَلَّى النَّاسُ وَنَامُوا، أَمَا إِنَّكُمْ فِي صَلاَةٍ مَا انْتَظَرْتُمُوهَا

Maksudnya: “Nabi SAW pernah melewatkan solat Isyak ke pertengahan malam, kemudian Baginda SAW solat. Kemudian Baginda bersabda setelah selesai menunaikan solat: Manusia semuanya telah selesai menunaikan solat lalu mereka tidur, adapun kamu akan terus berada di dalam solat walaupun dalam tempoh menunggumu untuk menunaikan solat .” [Riwayat al-Bukhari (572)]

 

Imam al-Nawawi berkata ketika mensyarahkan hadith ini, maksud waktu solat Isyak sehingga pertengahan malam adalah dengan mengatakan waktu tersebut adalah waktu ikhtiyar (terpilih). Adapun waktu yang jawaz (dibenarkan untuk solat) berlangsung sehingga sebelum terbitnya fajar (fajar sodiq). [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 5/111]

Waktu ikhtiyar bermaksud Allah telah memilih waktu tersebut untuk ditunaikan solat sekiranya dia tidak melakukannya pada waktu yang afdhal. [Lihat: al-Taqrirat al-Sadidah, 181] Untuk itu, waktu ikhtiyar bagi solat Isyak bermula selepas berakhirnya waktu afdhal sehingga satu pertiga awal malam. Pandangan Imam al-Nawawi ini disokong dengan hadith yang umum bahawa waktu sesuatu solat itu berakhir dengan datangnya atau masuknya waktu solat yang seterusnya sebagaimana yang dijelaskan di dalam hadith:

  • Daripada Abi Qatadah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

أَمَا إِنَّهُ لَيْسَ فِيَّ النَّوْمِ تَفْرِيطٌ، إِنَّمَا التَّفْرِيطُ عَلَى مَنْ لَمْ يُصَلِّ الصَّلَاةَ حَتَّى يَجِيءَ وَقْتُ الصَّلَاةَ الْأُخْرَى

Maksudnya: “Tidaklah dianggap meremehkan solatnya bagi seseorang yang tidur itu, adapun orang yang meremehkan solat itu adalah orang yang tidak solat dengan satu solat sehingga datangnya waktu solat yang seterusnya.” [Riwayat Muslim (681)]

 

Di samping itu juga, Imam Zakaria al-Ansari menyatakan hadith ini secara zahirnya menunjukkan berterusan setiap waktu solat itu sehingga masuknya waktu solat yang seterusnya daripada solat lima waktu melainkan solat Subuh kerana apabila tiba waktunya akan keluarnya fajar sadiq. [Lihat: Fath al-Wahab, 1/36]

Tambahan pula, bilakah berakhirnya waktu solat Isyak ini menjadi perselisihan dalam kalangan para ulama sepertimana yang telah kami sebutkan di awal artikel ini. Justeru, berkaitan waktu sebenar berakhirnya waktu Isyak telah kami jawab secara ringkas di dalam artikel al-Kafi Li al-Fatawi siri ke-266 yang bertajuk waktu tamat solat Isyak. Di sana kami ada menukilkan beberapa pandangn berkaitan waktu berakhirnya solat Isyak.

 

Penutup

Kesimpulannya, hadith yang menyatakan berkaitan waktu solat Isyak sehingga pertengahan malam adalah hadith yang sahih riwayat Imam Muslim. Akan tetapi, para ulama berbeza pandangan dalam memahami maksud hadith tersebut. Walaubagaimanapun, di sisi mazhab Imam al-Syafie waktu solat Isyak berakhir apabila keluarnya fajar sodiq atau ketika masuknya waktu solat Subuh. Di samping itu juga, waktu yang terbaik untuk ditunaikan solatlah di awal waktu kerana di sana banyak hadith-hadith yang menceritakan kelebihan bagi seseorang yang solat di awal waktu. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama ini agar kita digolongkan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang mendapat kebaikan. Amin.

 

Wallahua’lam