IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 530: STATUS HADIS MEREKA YANG MEMBACA SEPULUH AYAT PERTAMA DARIPADA SURAH AL-MUKMINUN AKAN MASUK KE DALAM SYURGA

STATUS_HADIS_MEREKA_YANG_MEMBACA_SEPULUH_AYAT_PERTAMA.png

Soalan

Assalamualaikum. Boleh terangkan status hadis ni.

Rasulullah bersabda, "Telah diturunkan kepadaku sepuluh ayat. Barang siapa yang mengamalkannnya nescaya dia akan masuk syurga." Kemudian beliau menyebutkan surah Al Mukminun ayat 1-10. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Hadis ini sanadnya lemah sekiranya dalam sanad tersebut disebutkan Yunus bin Sulaim mengambil hadis ini secara langsung daripada al-Zuhri. Manakala sanad yang lebih kuat dan sahih adalah hadis ini diriwayatkan daripada Yunus bin Sulaim daripada Yunus bin Yazid, daripada al-Zuhri. Meskipun begitu, hadis ini boleh diamalkan kerana ia melibatkan hadis-hadis yang berbentuk galakan beramal.

Huraian Jawapan

Umar bin al-Khattab meriwayatkan bahawa:

كَانَ إِذَا نَزَلَ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْوَحْيُ يُسْمَعُ عِنْدَ وَجْهِهِ كَدَوِيِّ النَّحْلِ فَمَكَثْنَا سَاعَةً فَاسْتَقْبَلَ القِبْلَةَ وَرَفَعَ يَدَيْهِ فقَالَ: «اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا»، ثُمَّ قَالَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أُنْزِلَ عَلَيَّ عَشْرُ آيَاتٍ، مَنْ أَقَامَهُنَّ دَخَلَ الجَنَّةَ»، ثُمَّ قَرَأَ: {قَدْ أَفْلَحَ المُؤْمِنُونَ} حَتَّى خَتَمَ عَشْرَ آيَاتٍ

Maksudnya: Apabila diturunkan wahyu ke atas Rasulullah SAW akan diperdengarkan kepadanya seperti bunyi desingan lebah. (Suatu hari diturunkan wahyu kepada Baginda) lalu kami diam sejenak, kemudian Baginda berpaling menghadap ke arah kiblat lantas menadah tangan untuk berdoa dan Baginda membaca: “Ya Allah, tambahkanlah (kebaikan) buat kami jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, janganlah hina kami. Kurniakanlah kami (nikmat), janganlah tahan (nikmat itu) daripada kami, dan pilihlah kami (dengan rahmat-Mu) jangan Engkau biarkan, dan redailah kami dan redailah pula usaha kami”. Kemudian Baginda SAW bersabda: Sepuluh ayat telah diturunkan ke atas aku, sesiapa yang mengamalkannya akan masuk ke dalam syurga. Baginda membaca: Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, sehingga selesai sepuluh ayat.

Riwayat Ahmad (223)

Hadis ini turut diriwayatkan oleh al-Nasa’i dalam Sunan al-Kubra, al-Bazzar dalam musnadnya, al-Tahawi dalam Syarh Musykil al-Athar, al-ʻUqayli dalam al-Duʻafa’ al-Kabir dan al-Hakim dalam al-Mustadrak. Kesemua mereka menyebutkan di dalam sanadnya Yunus bin Yazid.

Dalam hal ini, al-Tirmizi memberikan sedikit komentar seperti di bawah:

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ أَبَانَ قَالَ: حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ، عَنْ يُونُسَ بْنِ سُلَيْمٍ، عَنْ يُونُسَ بْنِ يَزِيدَ، عَنِ الزُّهْرِيِّ، بِهَذَا الإِسْنَادِ نَحْوَهُ بِمَعْنَاهُ.: «وَهَذَا أَصَحُّ مِنَ الحَدِيثِ الأَوَّلِ» سَمِعْت إِسْحَاقَ بْنَ مَنْصُورٍ، يَقُولُ: رَوَى أَحْمَدُ بْنُ حَنْبَلٍ، وَعَلِيُّ بْنُ المَدِينِيِّ، وَإِسْحَاقُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ، عَنْ عَبْدِ الرَّزَّاقِ، عَنْ يُونُسَ بْنِ سُلَيْمٍ، عَنْ يُونُسَ بْنِ يَزِيدَ، عَنِ الزُّهْرِيِّ، هَذَا الحَدِيثَ،: «وَمَنْ سَمِعَ مِنْ عَبْدِ الرَّزَّاقِ قَدِيمًا فَإِنَّهُمْ إِنَّمَا يَذْكُرُونَ فِيهِ عَنْ يُونُسَ بْنِ يَزِيدَ، وَبَعْضُهُمْ لَا يَذْكُرُ فِيهِ عَنْ يُونُسَ بْنِ يَزِيدَ، وَمَنْ ذَكَرَ فِيهِ يُونُسَ بْنَ يَزِيدَ فَهُوَ أَصَحُّ، وَكَانَ عَبْدُ الرَّزَّاقِ رُبَّمَا ذَكَرَ فِي هَذَا الحَدِيثِ يُونُسَ بْنَ يَزِيدَ وَرُبَّمَا لَمْ يَذْكُرْهُ، وَإِذَا لَمْ يَذْكُرْ فِيهِ يُونُسَ، فَهُوَ مُرْسَلٌ»

Maksudnya: Muhammad bin Aban menceritakan kepada kami, beliau berkata: Abd al-Razzaq menceritakan kepada kami, daripada Yunus bin Sulaim, daripada Yunus bin Yazid, daripada al-Zuhri, daripada sanad yang sama seperti hadis di atas. Jalur periwayatan ini lebih tepat berbanding jalur periwayatan hadis di atas. Aku -iaitu al-Tirmidhi- telah mendengar daripada Ishaq bin Mansur bahawa beliau berkata: Ahmad bin Hanbal, Ali bin al-Madini dan Ishaq bin Ibrahim meriwayatkan hadis ini daripada Abd al-Razzaq, daripada Yunus bin Sulaim, daripada Yunus bin Yazid. Namun sebahagian mereka tidak menyebutkan dalam sanadnya Yunus bin Yazid. Sesiapa yang menyebutkan pada sanadnya Yunus bin Yazid adalah betul. Kerana Abd al-Razzaq mungkin terkadang meriwayatkan hadis ini dengan menyebutkan Yunus bin Yazid dan terkadang beliau tidak menyebutkannya. Jika beliau tidak menyebutkan dalam sanadnya Yunus maka sanad tersebut adalah mursal (terputus).

(Rujuk Sunan al-Tirmizi, 5/326)

Berdasarkan kepada komentar al-Tirmizi di atas, jelas menunjukkan bahawa hadis ini jika diriwayatkan dengan sanad yang tidak menyebutkan perawi Yunus bin Yazid maka sanadnya adalah mursal (terputus).

Selain itu, Syeikh Muhammad Abd al-Rahman al-Mubarakfuri mensyarahkan hadis ini dengan menyebutkan bahawa hadis Umar bin al-Khattab ini juga diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Nasa’i dan pada sanad mereka terdapat perawi Yunus bin Sulaim al-San’ani. Dalam al-Mizan menyebutkan pada biografi Yunus bin Sulaim bahawa Abd al-Razzaq meriwayatkan hadis daripadanya dan periwayatan itu dikritik. (Rujuk Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jamiʻ al-Tirmizi, 9/14)

Ibn Abu Hatim al-Razi menyebutkan bahawa  aku tidak mengenali Yunus bin Sulaim dan tidak diketahui bahawa hadis ini beliau riwayatkan daripada al-Zuhri. (Rujuk ‘Ilal al-Hadith  li Ibn Abi Hatim, 4/688)

Al-Tahawi dalam Syarh Musykil al-Athar mengatakan bahawa beliau adalah daripada Sanʻa’ dan kami tidak mengetahui sesiapa pun yang meriwayatkan hadis daripadanya melainkan Abd al-Razzaq. Kami juga tidak mengetahui hadis yang beliau riwayatkan daripadanya (Abd al-Razzaq) melainkan hadis ini. (Rujuk Syarh Musykil al-Athar, 10/294)

Al-ʻUqaili mengatakan bahawa hadis ini tidak mempunyai sokongan (mutaba’at) dan tidak diketahui hadis ini melainkan dengan jalur ini. (Rujuk al-Duʻafa’ al-Kabir, 4/460)

Al-Nasa’i memberikan komentar terhadap hadis ini dengan berkata bahawa hadis ini adalah munkar dan tidak diketahui seorang pun yang meriwayatkannya melainkan Yunus bin Sulaim dan beliau tidak dikenali. (Rujuk al-Sunan al-Kubra li al-Nasa’i, 2/170)

Al-Bukhari juga menyebutkan bahawa Yunus bin Sulaim seorang perawi lemah namun beliau lebih baik berbanding ʻAmru bin Barq. (Rujuk al-Tarikh al-Awsat, 2/258)

Al-Zahabi menyebutkan bahawa Abd al-Razzaq meriwayatkan hadis daripada Yunus bin Sulaim secara imlak (guru akan membacakan hadis-hadis kepada murid-murid manakala murid-murid akan menyalin dan menulisnya) dan Yunus menyebutkan bahawa hadis itu beliau ambil daripada al-Zuhri. (Rujuk Mizan al-Iʻtidal, 4/481)

Kesimpulannya, berdasarkan pandangan-pandangan para pakar hadis jelas bahawa sanad yang terdapat Yunus bin Yazid adalah lebih tepat berbanding sanad yang tidak disebutkan perawi Yunus bin Yazid kerana sanad selainnya adalah terputus. Kemudian, faktor sanad ini lemah juga adalah kerana Yunus bin Sulaim merupakan seorang perawi lemah dan telah dipastikan bahawa beliau tidak mengambil hadis tersebut daripada al-Zuhri secara langsung tetapi melalui perantaraan Yunus bin Yazid. Walaupun begitu, hadis ini boleh diamalkan kerana termasuk dalam hal-hal galakan beramal. Wallahua’lam.


Cetak   Emel