IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-531 : MIKAIL TIDAK PERNAH TERSENYUM SEMENJAK NERAKA DICIPTA?

ih 531

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Saya mahu bertanya lagi tentang satu hadis ini. Maaf menganggu masa ustaz. Saya pernah mendengar hadis tentang Mikail tidak pernah tersenyum sejak neraka dicipta oleh Allah. Adakah ada hadis ini? Mohon pencerahan ustaz.

Ringkasan jawapan :

Sanad hadis ini adalah sanad yang lemah (dha’if). Ia diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam al-Musnad, Ibn Abi al-Dunya dalam Sifat al-Nar, al-Aajuriy dalam al-Syari’ah dalam Abu Syeikh al-Asbahani dalam al-‘Azmah. Sanad hadis ini adalah lemah disebabkan dua sebab:

  • Ismail bin ‘Ayyash meriwayatkan daripada perawi Madinah, iaitu ‘Umarah Bin Ghaziyah al-Ansari. Kaedah menyebut : Apabila Ismail bin ‘Ayyash al-Himsi Abu ‘Utbah meriwayatkan daripada selain ulama Syam, riwayat beliau adalah riwayat yang bercelaru dan ada banyak kesalahan’. Oleh itu, periwayatan beliau dalam hadis ini dipertikaikan disebabkan perkara ini.
  • Humaid bin Ubaid Mawla Abi al-Mu’alla adalah seorang yang tidak dikenali statusnya kredibilitinya dalam periwayatan.

Namun begitu, ada sebahagian ulama seperti al-Hafiz al-‘Iraqi dan al-Suyuti menilai sanad ini sebagai hasan. Semoga Allah memberikan kefahaman kepada kita semua.

Huraian jawapan :

Asal matan (teks) hadis tersebut adalah seperti berikut. Anas RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bertanya kepada Jibril :

مَا لِي لَمْ أَرَ مِيكَائِيلَ ضَاحِكًا قَطُّ؟ قَالَ ‌مَا ‌ضَحِكَ ‌مِيكَائِيلُ ‌مُنْذُ ‌خُلِقَتِ ‌النَّارُ

Maksudnya : “Mengapa saya melihat Mikail tidak pernah ketawa? Jibril menjawab : Mikail tidak pernah ketawa semenjak neraka dicipta.”

Hadis ini diriwayatkan dalam beberapa kitab hadis. Antaranya Imam Ahmad dalam al-Musnad[1] dan kitab al-Zuhd[2]. Beliau menukilkan sanad seperti berikut :

حَدَّثَنَا أَبُو الْيَمَانِ حَدَّثَنَا ابْنُ عَيَّاشٍ عَنْ عُمَارَةَ بْنِ غَزِيَّةَ الْأَنْصَارِيِّ أَنَّهُ سَمِعَ حُمَيْدَ بْنَ عُبَيْدٍ مَوْلَى بَنِي الْمُعَلَّى يَقُولُ: سَمِعْتُ ثَابِتًا الْبُنَانِيَّ يُحَدِّثُ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ عَنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ لِجِبْرِيلَ

“Abu al-Yaman (al-Hakam bin Nafi’ al-Bahrani) telah menceritakan kepada kami bahawa beliau berkata : Ibn ‘Ayyash telah menceritakan kepada kami bahawa beliau meriwayatkan daripada ‘Umarah Bin Ghaziyyah al-Ansariy bahawa beliau mendengar Humaid bin ‘Ubaid Mawla Bani al-Mu’alla berkata : Saya mendengar Thabit al-Bunnani menceritakan daripada Anas bin Malik daripada Rasulullah SAW bahawa Baginda SAW bertanya kepada Jibril…”

Hadis ini juga diriwayatkan oleh Ibn Abi al-Dunya dalam Sifat al-Nar[3]. Beliau menukilkan sanad dan matan seperti berikut :

حَدَّثَنِي مُحَمَّدُ بْنُ إِدْرِيسَ، قَالَ: حَدَّثَنَا أَبُو عُتْبَةَ عَلِيُّ بْنُ الْحَسَنِ بْنِ مُسْلِمٍ السَّكُونِيُّ قَالَ: حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ بْنُ عَيَّاشٍ عَنْ عُمَارَةَ بْنِ غَزِيَّةَ الْأَنْصَارِيِّ أَنَّهُ سَمِعَ حُمَيْدَ بْنَ عُبَيْدٍ مَوْلَى بَنِي الْمُعَلَّى يَقُولُ: سَمِعْتُ ثَابِتًا الْبُنَانِيَّ يُحَدِّثُ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ لِجِبْرِيلَ: مَا لِي لَا أَرَى ‌مِيكَائِيلَ ‌ضَاحِكًا؟ فَقَالَ جِبْرِيلُ: مَا ضَحِكَ مُنْذُ خَلَقَ اللَّهُ النَّارَ

“Muhammad bin Idris telah menceritakan kepada saya bahawa beliau berkata : Abu ‘Utbah Ali bin al-Hasan bin Muslim al-Sakuni telah menceritakan kepada kami bahawa beliau berkata : Ismail bin ‘Ayyash telah menceritakan kepada kami bahawa beliau meriwayatkan daripada ‘Umarah bin Ghaziyyah al-Ansariy. Beliau mendengar Humaid bin ‘Ubaid Mawla Bani al-Mu’alla berkata : Saya mendengar Thabit al-Bunani menceritakan daripada Anas Bin Malik daripada Rasulullah SAW bahawa Baginda SAW bertanya kepada Jibril : Mengapa saya melihat Mikail tidak pernah ketawa? Jibril menjawab : Mikail tidak pernah ketawa semenjak neraka dicipta.”

Ia juga turut diriwayatkan oleh al-Aajuriy dalam kitab al-Syari’ah[4]. Beliau meriwayatkan hadis tersebut melalui jalan periwayatan Abu al-Yaman al-Hakam Bin Nafi’ daripada Ismail Bin ‘Ayyash. Abu al-Syaikh al-Asbahani turut menukilkan hadis ini dalam kitab al-‘Azamah[5] melalui jalan periwayatan Abdul Wahhab Bin al-Dahhak daripada Ismail Bin ‘Ayyash.

Ringkasnya, tumpuan sanad (madar) hadis ini adalah pada Ismail Bin ‘Ayyash. Lakaran rajah sanad dilakukan bagi menjelaskan perkara ini.

syajarah sanad

Ismail bin ‘Ayyash (w.181 H) adalah seorang perawi yang dinilai sebagai perawi saduq (benar)[6]. Imam al-Nasaie mengkritik beliau dengan menilai beliau sebagai seorang perawi yang lemah[7]. Namun begitu, periwayatan beliau hanya diterima jika beliau meriwayatkan hadis daripada ulama yang di negerinya iaitu Syam. Perkara ini dijelaskan oleh Imam al-Bukhari. Beliau menyatakan:

ما رَوَى عنِ الشّامِيينَ فهوَ أَصحُّ

“Apa yang beliau riwayatkan daripada para ulama Syam, ia adalah riwayat yang sahih.”[8]

Bahkan apabila Imam al-Tirmizi bertanya kepada beliau tentang riwayat Ismail Bin ‘Ayyash, beliau menjelaskan :

وَإِسْمَاعِيلُ بْنُ عَيَّاشٍ مُنْكَرُ الْحَدِيثِ عَنْ أَهْلِ الْحِجَازِ وَأَهْلِ الْعِرَاقِ

“Ismail bin ‘Ayyash melakukan banyak kesilapan dalam periwayatan hadis apabila beliau meriwayatkan daripada ulama Hijaz dan Iraq.”[9]

Perkara ini juga ditegaskan oleh Imam Ahmad. Ibn Abi Hatim pernah bertanya kepada ayah beliau, Abu Hatim tentang Ismail bin ‘Ayyash. Beliau pernah bertanya tentang Ismail Bin ‘Ayyash kepada Imam Ahmad. Beliau berkata :

في روايته عن أهل العراق وأهل الحجاز بعض الشئ وروايته عن أهل الشام كأنه أثبت وأصح

“Riwayat beliau daripada ulama Iraq dan Hijaz ada sebahagian kesalahan yang beliau lakukan. Namun, riwayat beliau daripada ulama Syam adalah lebih sahih dan sabit.”[10]

Berdasarkan penjelasan para ulama berkenaan Ismail bin ‘Ayyash, al-Uqaili merangka satu kaedah : ‘Apabila Ismail bin ‘Ayyash al-Himsi Abu ‘Utbah meriwayatkan daripada selain ulama Syam, riwayat beliau adalah riwayat yang bercelaru dan ada banyak kesalahan’[11]. Beliau dianggap orang yang lebih pakar dalam riwayat hadis ulama Syam berbanding negeri lain.

Kaedah ini sangat penting apabila berinteraksi dengan hadis yang diriwayatkan oleh Ismail Bin ‘Ayyash. Justeru, guru-guru yang beliau riwayatkan perlu diteliti. Dalam hadis ini, beliau meriwayatkan daripada ‘Umarah bin Ghaziyyah al-Ansari (w.140 H). Beliau ada seorang perawi thiqah (dipercayai kredibiliti dalam periwayatan) yang berasal daripada Madinah. Abu Zur’ah pernah ditanya tentang ‘Umarah beliau menyebut bahawa ‘Umarah adalah seorang yang thiqah berasal dari Madinah[12]. Beliau juga banyak meriwayatkan hadis seperti yang disebutkan oleh Ibn Sa’ad[13].

Oleh itu, berdasarkan kaedah yang telah ditetapkan, apabila Ismail bin ‘Ayyash meriwayatkan daripada Ulama Madinah, maka riwayatnya adalah riwayat yang dipertikaikan kerana mengandungi kesalahan dan kekeliruan kerana beliau lebih konsisten dan teliti dalam periwayatan daripada ulama Syam berbanding ulama negeri lain. Tambahan lagi, guru beliau dalam hadis ini, ‘Umarah bin Ghaziyah al-Ansari adalah merupakan salah seorang ulama Madinah. Al-Haithami turut menyimpulkan perkara yang sama[14].

Selain daripada itu, Humaid bin Ubaid Mawla Abi al-Mu’alla adalah perawi yang tidak dikenali. Perkara ini dijelaskan oleh Ibn Hajar al-Asqalani. Beliau menyatakan bahawa Humaid Bin Ubaid yang meriwayatkan daripada Thabit al-Bunani adalah perawi yang tidak dikenali. Beliau menambah lagi bahawa Humaid adalah seorang yang berasal dari Madinah[15].

Justeru, berdasarkan penerangan di atas, sanad hadis ini adalah lemah disebabkan dua sebab:

  • Ismail bin ‘Ayyash meriwayatkan daripada perawi Madinah, iaitu ‘Umarah bin Ghaziyah al-Ansari. Kaedah menyebut : Apabila Ismail bin ‘Ayyash al-Himsi Abu ‘Utbah meriwayatkan daripada selain ulama Syam, riwayat beliau adalah riwayat yang bercelaru dan ada banyak kesalahan’. Oleh itu, periwayatan beliau dalam hadis ini dipertikaikan disebabkan perkara ini.
  • Humaid bin Ubaid Mawla Abi al-Mu’alla adalah seorang yang tidak dikenali statusnya kredibiliti beliau dalam periwayatan.

Namun begitu, ada sebahagian ulama seperti al-Hafiz al-‘Iraqi dan al-Suyuti menilai sanad ini sebagai hasan[16].

Nota Hujung :

[1] Al-Syaibani, Ahmad Bin Hanbal, al-Musnad (2001), Muassasah al-Risalah, Beirut, j.21 h.55 no 13343.

[2] Al-Syaibani, Ahmad Bin Hanbal, al-Zuhd (1999), Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah, Beirut, h.59 no 359.

[3] Ibn Abi al-Dunya, Abu Bakar Abdullah Bin Muhammad, Sifat al-Nar (1997), Dar Ibn Hazm, Beirut, h.136 no 219.

[4] Al-Aajuriy, Abu Bakar Muhammad Bin Husain, al-Syari’ah (1999), Dar al-Watan, Riyadh, j.3 h.1361 no 932.

[5] Abu al-Syaikh al-Asbahani, Abdullah Bin Muhammad, al-‘Azamah (1408 H), Dar al-‘Asimah, Riyadh, j.3 h.814 no 384.

[6] Ibn Hajar al-Asqalani, Ahmad Bin Ali, Taqrib al-Tahzib (1986), Dar al-Rasyid, Syria, h.109 no 473. Ibn Hajar berkata : ‌إسماعيل ‌ابن ‌عياش ابن سليم العنسي بالنون أبو عتبة الحمصي صدوق في روايته عن أهل بلده

[7] Al-Nasaie, Ahmad Bin Syu’aib, al-Dhu’afa wa al-Matrukin (1976), Dar al-Wa’i, Aleppo, h.16.

[8] Abu Abdullah al-Bukhari, Muhammad Bin Ismail, al-Tarikh al-Kabir (2019), al-Nasyir al-Mutamayyiz, Riyadh, j.2 h.80 no 1164.

[9] Al-Tirmizi, Muhammad Bin Isa, al-‘Ilal al-Kabir (1988), ‘Alam al-Kutub, Maktabah al-Nahdah al-‘Arabiyah, Beirut, h.58.

[10] Ibn Abi Hatim, Abdurrahman Bin Muhammad, al-Jarh wa al-Ta’dil (1952), Dairah al-Ma’arif al-Uthmaniyah, India, j.2 h.192.

[11] Abu Jaafar al-‘Uqaili, Muhammad Bin ‘Amru, al-Dhu’afa al-Kabir (1984), Dar al-Maktabah al-‘ilmiyah, Beirut, j.1 h.88. Beliau menyebut : ‌إِسْمَاعِيلُ ‌بْنُ ‌عَيَّاشٍ الْحِمْصِيُّ أَبُو عُتْبَةَ إِذَا حَدَّثَ عَنْ غَيْرِ أَهْلِ الشَّامِ اضْطَرَبَ وَأَخْطَأَ

[12] Ibid. j.6 h.368. Beliau berkata : مديني ثقة

[13] Ibn Sa’ad al-Zuhri, Muhammad Bin Sa’ad, al-Tabaqat Al-Kubra (2001), Maktabah al-Khaniji, Kaherah, j.7 h.498 no 2009.

[14] Al-Haithami,Nuruddin Ali Bin Abu Bakar, Majma’ al-Zawaid wa Manba’ al-Fawaid (1994), Maktabah al-Qudsi, Kaherah, j.10 h.385.

[15] Ibn Hajar al-Asqalani, Ahmad Bin Ali, Ta’jil al-Manfa’ah Bi Zawaid al-Aimmah al-Arba’ah (1996), Dar al-Basyair al-Islamiyah, Beirut, j.1 h.473.

[16] Abu al-Fadhl Al-‘Iraqi, Abdurrahim Bin al-Husain, al-Mughni ‘an Haml al-Asfar fi al-Asfar Fi Takhrij ma fi al-Ihya’ min al-Akhbar (2005), Dar Ibn Hazm, Beirut, h.1531


Cetak   Emel