IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-538: SESIAPA YANG MELANTIK SEORANG LELAKI SEDANGKAN ADA ORANG YANG LEBIH DIREDHAI ALLAH, MAKA DIA ADALAH PENGKHIANAT

ih538

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Saya ingin bertanya. Apakah status hadis “sesiapa yang melantik seseorang sedangkan ada orang yang lebih Allah redha daripada orang  yang dia lantik, maka dia telah melakukan pengkhianatan kepada Allah, Rasul dan orang yang beriman”. Mohon pencerahan ustaz.

Ringkasan jawapan :

Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn ‘Adiy di dalam al-Kamil fi Dhu’afa al-Rijal, al-Uqaili  di dalam al-Dhu’afa al-Kabir, Ibn Abi ‘Asim di dalam al-Sunnah dan al-Hakim al-Nisaburi di dalam al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain dengan makna yang hampir sama. Sanad hadis ini lemah kerana perawi yang bernama Husain bin Qays. Beliau adalah seorang perawi yang lemah dan ditinggalkan periwayatannya. Sanad hadis ini disokong oleh riwayat yang lain iaitu riwayat Yazid bin Abi Habib daripada Ikrimah. Riwayat sokongan (mutaba’at) ini dinukilkan oleh Imam al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kabir .

Namun begitu, riwayat sokongan ini juga adalah lemah kerana perawi yang bernama Ibn Lahi’ah. Beliau adalah seorang perawi yang terlalu lemah hafalannya terutama selepas lembaran dan kitab beliau terbakar. Riwayat beliau hanya diterima jika diriwayatkan daripada Abdullah bin al-Mubarak, Abdullah bin Wahb dan Abdullah Bin Yazid al-Muqri. Ini kerana mereka meriwayatkan hadis daripada Ibn Lahi’ah ketika mana buku dan lembaran kepunyaan beliau masih ada.

Yang meriwayatkan hadis ini daripada beliau ialah Uthman Bin Soleh. Beliau meriwayatkan hadis daripada Ibn Lahi’ah selepas peristiwa buku dan lembaran hadis beliau terbakar. Bahkan Ibn Lahi’ah turut dikritik oleh tokoh besar ilmu hadis seperti Imam Ahmad, Yahya bin Ma’in, Abdurrahman Bin Mahdi dan lain-lain lagi. Semoga Allah memberikan kita kefahaman. Wallahu’alam.

Huraian jawapan :

Hadis tersebut diriwayatkan dalam beberapa kitab hadis dengan lafaz yang pelbagai. Antaranya al-Hakim al-Nisaburi dalam kitab al-Mustadrak[1]. Beliau menukilkan sanad dan matan seperti berikut :

أَخْبَرَنِي عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ مُوسَى الْعَدْلُ ثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ أَيُّوبَ أَنْبَأَ يَزِيدُ بْنُ عَبْدِ الْعَزِيزِ الطَّيَالِسِيُّ ثَنَا خَالِدُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ الْوَاسِطِيُّ، عَنْ حُسَيْنِ بْنِ قَيْسٍ الرَّحَبِيُّ عَنْ عِكْرِمَةَ عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ‌مَنِ ‌اسْتَعْمَلَ ‌رَجُلًا مِنْ عِصَابَةٍ وَفِي تِلْكَ الْعِصَابَةِ مَنْ هُوَ أَرْضَى لِلَّهِ مِنْهُ فَقَدْ خَانَ اللَّهَ وخانَ رَسُولَهُ وخانَ الْمُؤْمِنِينَ

“ Abdullah bin Muhammad bin Musa Bin al-Adl telah memberitahu saya, beliau berkata : Muhammad bin Ayub telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Yazid Bin Abdul Aziz al-Tayalisi telah memberitahu kami, beliau berkata : Khalid bin Abdullah al-Wasiti telah menceritakan kepada kami bahawa beliau meriwayatkan daripada Husain bin Qays al-Rahabi daripada Ikrimah daripada Ibn Abbas RA, beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda : Sesiapa yang melantik seorang lelaki dari satu kumpulan sedangkan dalam kumpulan tersebut terdapat orang yang lebih Allah reda daripadanya, maka dia telah melakukan pengkhianatan kepada Allah, Rasul-Nya dan dia juga telah mengkhianati orang yang beriman.”

Al-Uqaili juga menukilkan hadis ini di dalam kitab beliau, al-Dhu’afa al-Kabir[2] dengan sedikit tambahan pada lafaz tersebut. Beliau menukilkan sanad dan matan seperti berikut :

حَدَّثَنَاهُ مُحَمَّدُ بْنُ إِسْمَاعِيلَ قَالَ: حَدَّثَنَا عَفَّانُ قَالَ: حَدَّثَنَا خَالِدُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ، عَنْ حُسَيْنِ بْنِ قَيْسٍ عَنْ عِكْرِمَةَ عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ‌مَنِ ‌اسْتَعْمَلَ ‌رَجُلًا عَلَى عِصَابَةٍ وَفَى تِلْكَ الْعِصَابَةِ مَنْ هُوَ أَرْضَى لِلَّهِ مِنْهُ فَقَدْ خَانَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَخَانَ جَمَاعَةَ الْمُسْلِمِينَ

“Muhammad bin Ismail telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Affan telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Khalid bin Abdullah telah menceritakan kepada kami, beliau meriwayatkan daripada Husain bin Qays daripada Ikrimah daripada Ibnu Abbas RA, beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda : Sesiapa yang melantik seorang lelaki untuk menguruskan satu kaum sedangkan dalam kaum tersebut ada orang yang lebih Allag reda berbanding dia, maka dia telah melakukan pengkhianatan terhadap Allah, Rasul-Nya dan jamaah orang Islam.”

Ibn Adiy turut meriwayatkan hadis ini di dalam al-Kamil fi al-Dhu’afa[3] dengan makna yang sama. Beliau menukilkan hadis ini dengan sanad dan matan seperti berikut :

حَدَّثَنَا عَبْدَانُ حَدَّثَنا وَهْبُ بْنُ بَقِيَّةَ أنا خَالِدٌ عَنْ حُسَيْنِ بْنِ قَيْسٍ عَنْ عِكرمَة عنِ ابْنِ عَبَّاسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيه وسَلَّم قَال: ‌مَنْ ‌اسْتَعْمَلَ ‌عَامِلا عَلَى قَوْمٍ وَفِي تِلْكَ الْعِصَابَةِ مَنْ هُوَ أَرْضَى لِلَّهِ مِنْهُ فَقَدْ خَانَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالْمُؤْمِنِينَ

“’Abdan telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Wahb Bin Baqiyyah telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Khalid Bin Husain telah memberitahu kami, beliau meriwayatkan daripada Husain Bin Qays daripada Ikrimah daripada Ibn Abbas bahawa Nabi SAW bersabda : Sesiapa yang melantik seorang pekerja untuk menguruskan satu kaum sedangkan dalam kaum tersebut terdapat orang yang lebih Allah redha, maka dia telah melakukan pengkhianatan terhadap Allah, Rasul-Nya dan orang yang beriman.”

Ibn Abi ‘Asim juga turut meriwayatkan hadis di dalam kitab beliau, al-Sunnah[4] dengan sanad yang sama seperti yang dinukilkan oleh Ibn ‘Adiy.

Jika diteliti, kesemua riwayat hadis ini tertumpu kepada Husain Bin Qays. Beliau adalah seorang perawi yang lemah. Imam al-Bukhari mejelaskan bahawa riwayat hadis Husain Bin Qays ditinggalkan oleh Imam Ahmad[5]. Imam al-Nasaie menyebut bahawa beliau adalah seorang perawi yang ditinggalkan periwayatannya[6].  Imam Ahmad Bin Hanbal juga turut mengkritik beliau, beliau menyebut :

‌حسين ‌بن ‌قيس الرحبي ليس حديثه بشئ لا أروي عنه شيئا

“Husain bin Qays al-Rahabi hadis-hadis yang diriwayatkan oleh beliau tidak ada nilai. Saya tidak meriwayatkan apa-apa daripada beliau”[7]

Imam Yahya bin Ma’in juga turut menilai Husain bin Qays sebagai perawi yang lemah[8]. Riwayat Husain bin Qays daripada Ikrimah disokong oleh riwayat yang lain (mutaba’at) iaitu riwayat Yazid bin Abu Habib daripada Ikrimah. Ia diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kubra[9] dengan lafaz yang hampir sama. Beliau menukilkan sanad dan matan seperti berikut :

أَخْبَرَنَا أَبُو عَبْدِ اللهِ الْحَافِظُ ,ثنا أَبُو جَعْفَرٍ مُحَمَّدُ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ عَبْدِ اللهِ الْبَغْدَادِيُّ ثنا يَحْيَى بْنُ عُثْمَانَ بْنِ صَالِحٍ, ثنا أَبِي  ثنا ابْنُ لَهِيعَةَ  ثنا يَزِيدُ بْنُ أَبِي حَبِيبٍ  عَنْ عِكْرِمَةَ  عنِ ابنِ عَبَّاسٍ  رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا عَنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  ‌مَنِ ‌اسْتَعْمَلَ ‌عَامِلًا مِنَ الْمُسْلِمِينَ وَهُوَ يَعْلَمُ أَنَّ فِيهِمْ أَوْلَى بِذَلِكَ مِنْهُ وَأَعْلَمُ بِكِتَابِ اللهِ وَسُنَّةِ نَبِيِّهِ  فَقَدْ خَانَ اللهَ  وَرَسُولَهُ وَجَمِيعَ الْمُسْلِمِينَ

“Al-Hafiz Abu Abdullah telah memberitahu kami, beliau berkata : Abu Jaafar Muhammad bin Muhammad bin Abdullah al-Baghdadi telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Yahya bin Uthman Bin Soleh telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Ayah saya telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Ibnu Lahi’ah telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Yazid Bin Abu Habib telah menceritakan kepada kami, beliau meriwayatkan daripada Ikrimah daripada Ibnu Abbas RA daripada Rasulullah SAW : Sesiapa yang melantik seseorang dari kalangan orang Islam sedangkan dia tahu dari kalangan mereka ada yang lebih layak daripadanya, lebih tahu tentang al-Quran dan Sunnah Nabi, maka dia telah melakukan pengkhianatan kepada Allah, Rasul-Nya dan kesemua orang Islam.”

Namun, dalam riwayat ini terdapat permasalahan puncanya adalah Ibn Lahi’ah. Nama sebenar beliau adalah Abdullah bin Lahi’ah bin ‘Uqbah al-Hadrami. Beliau adalah seorang perawi yang lemah ingatan terutama selepas kitab dan lembaran riwayat beliau terbakar pada tahun 170 H[10].

Riwayat beliau hanya diterima jika ianya diriwayatkan oleh tiga orang anak murid beliau iaitu Abdullah bin al-Mubarak, Abdullah bin Wahb dan Abdullah Bin Yazid al-Muqri. Ini kerana mereka meriwayatkan hadis daripada Ibn Lahi’ah ketika mana buku dan lembaran kepunyaan beliau masih ada[11]. Jika dalam dalam hadis ini, yang meriwayatkan daripada beliau adalah Uthman bin Soleh. Beliau meriwayatkan hadis daripada Ibn Lahi’ah selepas peristiwa buku dan lembaran hadis beliau terbakar.

Bahkan Ibn Lahi’ah banyak dikritik oleh para ulama hadis antaranya Imam Ahmad. Imam Ahmad menilai beliau sebagai seorang yang lemah. Abdurrahman Bin Mahdi turut meninggalkan periwayatan beliau[12]. Perkara ini juga dinyatakan oleh Imam Yahya bin Ma’in, beliau berkata :

عبد الله ابن لهيعة ليس حديثه بذلك القوي

“Hadis riwayat Abdullah Bin Lahi’ah tidak begitu kuat”[13]

Justeru, riwayat sokongan ini juga adalah riwayat yang lemah disebabkan perawi yang bernama Ibn Lahi’ah.

Kesimpulannya, sanad hadis ini lemah kerana perawi yang bernama Husain bin Qays. Beliau adalah seorang perawi yang lemah dan ditinggalkan periwayatannya. Sanad hadis ini disokong oleh riwayat yang lain iaitu riwayat Yazid bin Abi Habib daripada Ikrimah.

Namun begitu, riwayat sokongan (mutaba’at) ini juga adalah lemah kerana perawi yang bernama Ibn Lahi’ah. Beliau adalah seorang perawi yang terlalu lemah hafalannya terutama selepas lembaran dan kitab beliau terbakar. Riwayat beliau hanya diterima jika diriwayatkan daripada Abdullah bin al-Mubarak, Abdullah bin Wahb dan Abdullah Bin Yazid al-Muqri. Ini kerana mereka meriwayatkan hadis daripada Ibn Lahi’ah ketika mana buku dan lembaran kepunyaan beliau masih ada.

Yang meriwayatkan hadis ini daripada beliau ialah Uthman Bin Soleh. Beliau meriwayatkan hadis daripada Ibn Lahi’ah selepas peristiwa buku dan lembaran hadis beliau terbakar. Bahkan Ibn Lahi’ah turut dikritik oleh tokoh besar seperti Imam Ahmad, Yahya bin Ma’in, Abdurrahman Bin Mahdi dan lain-lain.

NOTA HUJUNG :

[1] Al-Hakim al-Nisaburi, Muhammad Bin Abdullah, al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain (1990), Dar al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut, j.4 h.104 no 7023.

[2] Al-Uqaili, Muhammad Bin Amru, al-Dhu’afa al-Kabir (1984), Dar al-Maktabah al-Ilmiyah, Beirut, j. h.247.

[3] Ibn Adiy, Abdullah Bin Adiy, al-Kamil fi Dhu’afa al-Rijal (1997), Dar al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut, j.3 h.219

[4] Ibn Abi ‘Asim, Ahmad Bin ‘Amru, al-Sunnah (1980), al-Maktab al-Islami, Beirut, j. h.626 no 1462.

[5] Abu Abdullah al-Bukhari, Muhammad bin Ismail, al-Tarikh al-Kabir (2019), al-Nasyir al-Mutamayyiz, Riyadh, j.3 h.327. Beliau menyebut : تركَ أَحمدُ حديثَهُ

[6] Al-Nasaie, Ahmad bin Syu’aib, al-Dhu’afa wa al-Matrukin (1976), Dar al-Wa’i, Aleppo, h.33. Beliau menyebut :متروك الحديث

[7] Ibn Abu Hatim, Abdurrahman bin Muhammad, al-Jarh wa al-Ta’dil (1952), Dairah al-Ma’arif al-Uthmaniyah, India, j.3. h.63.

[8] Ibid

[9] Abu Bakar al-Baihaqi, Ahmad bin Husain, al-Sunan al-Kubra (2011), Markaz Hijr li al-Buhuth wa al-Dirasat al-Islamiyah, Mesir, j.20 h,348 no 20390.

[10] Ibid. Yahya bin Abdullah bin Bukair berkata : احترق كتب ابن لهيعة في سنة سبعين ومائة

[11] Ibid. Amru Bin Ali berkata : عبد الله بن لهيعة احترقت كتبه، فمن كتب عنه قبل ذلك مثل ابن المبارك (9 م 4) وعبد الله بن يزيد

المقري اصح من الذين كتبوا بعد ما احترقت الكتب، وهو ضعيف الحديث

[12] Syamsuddin al-Zahabi, Muhammad Bin Ahmad, Mizan al-‘Itidal fi Naqd al-Rijal (1963), Dar al-Ma’rifah, Beirut, j.2 h.475.

[13] Ibid. j.5 h.147


Cetak   Emel