IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-170: ILMU HILANG DI PEHA WANITA

 

Soalan: Apakah status hadith ini?

 

Matan Hadith

 

ضَاعَ الْعِلْمُ فِي أَفْخَاذِ النِّسَاءِ

Maksudnya: “Hilangnya ilmu di peha-peha wanita”.

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan soalan di atas, hadith ini dinukilkan oleh para ulama’ hadith di dalam kitab mereka yang mengumpulkan hadith-hadith palsu. Hadith di atas ini juga disebut dengan lafaz yang sedikit berlainan iaitu:

 

ضَاعَ الْعِلْمُ بَيْنَ أَفْخَاذِ النِّسَاءِ

Maksudnya: “Hilangnya ilmu di antara peha-peha wanita”.

 

Hadith di atas bukan daripada Nabi SAW dan ia merupakan perkataan daripada Bisyr al-Hafi sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Sakhawi dan juga Syeikh Mulla Ali al-Qari. Antara ulama’ hadith yang menilai hadith ini sebagai palsu di dalam kitab mereka ialah:

 

  • Imam al-Sakhawi. [Lihat: al-Maqasid al-Hasanah, 640]
  • Syeikh al-Zurqani. [Lihat: Mukhtasar al-Maqasid, 597]
  • Syeikh al-Ajlouni. [Lihat: Kasyf al-Khafa’, 34/2]
  • Syeikh Mulla Ali al-Qari. [Lihat: al-Asrar al-Marfu’ah, 237/1][Lihat: al-Mashnu’ Fi Ma’rifah al-Hadith al-Maudhu’, 120]
  • Syeikh al-Qauqaji. [Lihat: al-Lu’lu’ al-Marshu’, 112/1]

 

Penutup

Kesimpulannya, hadith di atas adalah tidak sahih dan kita sesekali tidak dibenarkan menyebarkannya kepada orang lain. Apatah lagi, menyandarkannya kepada Nabi SAW. Ini kerana, hukuman bagi orang yang berdusta di atas nama Rasulullah SAW adalah neraka merupakan tempatnya. Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara lidah-lidah kita daripada menyampaikan dan menyebarkan hadith-hadith yang tidak sahih. Amin.

 

Wallahua’lam

 

 

 


Cetak   Emel