IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-165: PENGUMPULAN HADITH SAHIH DAN TAHAPNYA

 

Soalan:

Siapakah orang yang pertama mengumpulkan hadith sahih dan apakah tahap-tahap hadith sahih?

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan soalan di atas, kami melihat bahawa terdapat dua soalan yang diajukan. Di sini kami menukilkan jawapan daripada Syeikh Mustafa al-‘Adawi di dalam kitabnya Syarah ‘Ilal al-Hadith.

Bagi menjawab soalan pertama, orang pertama yang mengambil berat dalam mengumpulkan hadith sahih ialah Abu Abdillah Muhammad bin Ismail al-Bukhari yang terkenal dengan karyanya iaitu al-Jami’ al-Sahih al-Musnad al-Mukhtasar min Umuur Rasulillah SAW wa Sunanihi wa Ayyamihi (الجامع الصحيح المسند المختصر من أمور رسول الله صلى الله عليه وسلم وسننه وأيامه). Walaubagaimanapun, karya ini terkenal dengan nama Sahih al-Bukhari.

Kitab Sahih Al-Bukhari ini ditulis hasil daripada cadangan dan dorongan oleh guru Imam Al-Bukhari yang bernama Ishaq Bin Rahawaih. Kata Al-Bukhari: Kami duduk bersama-sama dengan Ishaq bin Rahawaih, lalu beliau berkata: Alangkah bagus sekiranya kamu dapat kumpulkan sebuah kitab mukhtasar berkenaan dengan sunnah Nabi S.A.W yang sahih. Lalu ia melekat di hatiku, maka aku pun mula mengumpulkan Al-Jaami’ Al-Sahih. Rujuk Masa’il Al-Imam Ahmad Wa Ishaq Bin Rahawaih (1/145).

Berkaitan soalan kedua, telah berkata sekumpulan ahli ilmu berkaitan tahap kesahihan sesebuah hadith:

 

  • Tahap paling tinggi apa yang disepakati oleh al-Bukhari dan Muslim.
  • Apa yang dikeluarkan (diriwayatkan) oleh Imam al-Bukhari.
  • Apa yang dikeluarkan (diriwayatkan) oleh Imam Muslim.
  • Hadith yang syaratnya disepakati oleh al-Bukhari dan Muslim.
  • Hadith-hadith yang disyaratkan sahih oleh penulis di dalam kitabnya.
  • Hadith-hadith yang sahih tetapi tidak dikeluarkan oleh Al-Bukhari atau Muslim.

Penutup

Kesimpulannya, mengetahui atau mengenalpasti akan kesahihan sesebuah hadith amat penting. Lebih-lebih lagi, jika hal tersebut melibatkan ibadah seharian kita. Di samping itu juga, kita perlu mengetahui sumber-sumber rujukan bagi mencari hadith-hadith yang berstatus sahih. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam setiap ilmu yang dipelajari. Amin.

 Wallahua’lam.


Cetak   Emel