IRSYAD FATWA HAJI DAN KORBAN SIRI KE-53: BOLEHKAH MENJUAL KULIT KORBAN YANG DISEDEKAHKAN UNTUK SUMBANGAN KEPADA GOLONGAN FAKIR

ifhk53.JPG

Soalan

Assalamualaikum, saya mewakili satu organisasi kemanusiaan yang membantu golongan fakir dan miskin. Persoalan saya bolehkah kami menjual kulit binatang korban yang disedekahkan kepada kami kemudian duit itu digunakan untuk sumbangan kepada fakir miskin. Terima kasih

Ringkasan Jawapan

Menurut pandangan Mazhab Syafi’e, tidak dibenarkan untuk menjual dan mengambil daripada bahagian korban itu sebagai upah sama ada korban wajib atau sunat. Namun dibenarkan bagi golongan fakir untuk menjual bahagian korban yang diterimanya seperti kulit bagi mendapat manfaat daripadanya. Selain itu, bagi badan berkumpulan, mereka boleh membantu dalam menguruskannya supaya memberi kemudahan kepada golongan fakir.

Huraian Jawapan

Ibadah korban merupakan salah satu daripada syiar Islam dalam menghayati pengorbanan agung yang dilakukan oleh Baginda Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS. Allah SWT menjanjikan ganjaran dan kelebihan yang besar bagi mereka yang melakukannya dengan hanya untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).

(Surah al-Kauthar, 2)

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, maka harus diteliti berkenaan dengan larangan menjual bahagian daripada korban. Menurut pandangan mazhab al-Syafi’e para ulamanya bersepakat bahawa dilarang seseorang yang melakukan korban itu menjual bahagian daripada korbannya Begitu juga larangan memberi upah kepada penyembelih daripada bahagian korban tersebut. Perkara ini seperti yang disebut oleh Imam al-Nawawi di dalam kitabnya:

وَاتَّفَقَتْ نُصُوصُ الشَّافِعِيِّ وَالْأَصْحَابِ عَلَى أَنَّهُ لَا يجوز بيع شئ مِنْ الْهَدْيِ وَالْأُضْحِيَّةِ نَذْرًا كَانَ أَوْ تَطَوُّعًا سَوَاءٌ فِي ذَلِكَ اللَّحْمُ وَالشَّحْمُ وَالْجِلْدُ وَالْقَرْنُ وَالصُّوفُ وَغَيْرُهُ وَلَا يَجُوزُ جَعْلُ الْجِلْدِ وَغَيْرِهِ أُجْرَةً لِلْجَزَّارِ بَلْ يَتَصَدَّقُ بِهِ الْمُضَحِّي وَالْمُهْدِي أَوْ يَتَّخِذُ مِنْهُ مَا يَنْتَفِعُ بِعَيْنِهِ كَسِقَاءٍ أَوْ دَلْوٍ أَوْ خُفٍّ وَغَيْرِ ذَلِكَ

Maksudnya: kenyataan-kenyataan (fatwa) al-Syafi’ie dan umala-ulama mazhabnya telah bersepakat, sesungguhnya tidak diharuskan menjual sesuatu daripada al-Hadyu (haiwan sembelih Dam) dan Haiwan Korban nazar (korban wajib) atau sunat sama ada daging, lemak, kulit, tanduk, bulu dan selainnya, dan tidak harus menjadikan kulit dan selainnya sebagai upah kepada penyembelih, akan tetapi, dibolehkan orang yang melakukan korban dan orang yang membayar dam memberi sedekah dengannya atau mengambil manfaat dengan barang seperti membuat kantung air, baldi, khuf dan selainnya

(Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/420)

Selain itu, bagi penerima agihan korban sekiranya mereka dari golongan yang kaya, maka tidak boleh menjual bahagian yang diterimanya dan menggunakan duit jualan itu untuk manfaat yang lain melainkan golongan fakir dan miskin. Ini kerana kedudukan mereka yang kaya adalah sama seperti orang yang melakukan korban.

Habib Abdul Rahman al-Ba’lawi menyatakan di dalam kitabnya:

وللفقير التصرف في المأخوذ ولو بنحو بيع الْمُسْلَمِ لملكه ما يعطاه، بخلاف الغني فليس له نحو البيع بل له التصرف في المهدي له بنحو أكل وتصدق وضيافة ولو لغني، لأن غايته أنه كالمضحي نفسه،

Maksudnya: Bagi golongan yang fakir, membelanjakan bahagian korban yang diterimanya walaupun seperti menjual barang diterima kerana telah menjadi miliknya, berbeza dengan golongan yang kaya tidak dibenarkannya untuk melakukan perkara seperti menjualnya namun ia boleh menggunakan bahagian korban yang diberikan itu dengan cara dimakan, sedekah dan menjamu tetamu walaupun mereka kaya, ini kerana kedudukannya seperi orang yang melakukan korban.

(Lihat al-Bughyah al-Mustarshidin, hlm 319)

Kesimpulan

Justeru, dalam menjawab persoalan yang diajukan di atas serta dalil dan nas yang diberikan dapat disimpulkan bahawa, tidak dibenarkan untuk menjual dan mengambil daripada bahagian korban itu sebagai upah sama ada korban wajib atau sunat. Namun dibenarkan bagi golongan fakir untuk menjual bahagian korban yang diterimanya seperti kulit bagi mendapat manfaat daripadanya. Selain itu, bagi badan berkumpulan, mereka boleh membantu dalam menguruskannya supaya memberi kemudahan kepada golongan fakir.

Wallahua’lam


Cetak   Emel