Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

IF469

Soalan:

Assalamualaikum W.B.T. Apakah hukum solat di atas sejadah yang diperbuat daripada sutera bagi lelaki?

Jawapan:

Waalaikumussalam W.B.T. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Sabda Nabi S.A.W:

أَنَّهُ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - أَخَذَ فِي يَمِينِهِ قِطْعَةَ حَرِيرٍ وَفِي شِمَالِهِ قِطْعَةَ ذَهَبٍ وَقَالَ

هَذَانِ حَرَامٌ عَلَى ذُكُورِ أُمَّتِي حِلٌّ لِإِنَاثِهِمْ

Maksudnya: “Nabi Muhammad S.A.W mengambil sutera dan dipegangnya dengan tangan kanan. Lalu baginda mengambil emas dan dipegangnya dengan tangan kiri. Kemudian baginda bersabda, “Kedua-duanya ini (sutera dan emas) haram untuk kaum lelaki dalam kalangan umatku, dan halal untuk kaum wanitanya”.

Riwayat Ahmad (3/255); Al-Bukhari (2921); Muslim (2076);

          Abu Daud (4056), Nasaie (8/202) dan Ibnu Majah (3592)

Hukum Memakai Sutera

Hukum memakai sutera adalah haram bagi kaum lelaki dan halal bagi kaum wanita. Hal ini berdasarkan hadith nabi S.A.W:

أحلَّ الذهبُ والحريرُ لإناثِ أُمتي، وحُرِّم على ذكورِها

Maksudnya: “Dihalalkan emas dan sutera bagi wanita dalam kalangan umatku, dan diharamkan bagi kaum lelakinya”.                                                                  

            Riwayat al-Nasa’ie (5163)

Imam al-Syaukani menyatakan hadis ini merupakan dalil yang digunakan oleh jumhur ulama’ yang berpendapat bahawa sutera dan emas adalah haram bagi lelaki dan harus bagi wanita. (Rujuk: Nail al-Autar, 2/98).

Saidina ‘Ali bin Abi Thalib R.A menyatakan: “Nabi S.A.W pernah memberiku pakaian daripada sutera bergaris maka aku pun keluar mengenakannya. Ketika Rasulullah S.A.W melihatnya, tampaklah kemarahan di wajah baginda. Maka aku pun membahagikan pakaian sutera tersebut di antara wanita-wanitaku.”

 Riwayat al-Bukhari (5840)

Selain itu, para ulama’ menyatakan hikmah pengharaman sutera bagi lelaki kerana kerana Islam adalah agama jihad dan kekuatan. Maka Islam juga menjaga sifat kelelakian kaum lelaki daripada segala perkara yang menunjukkan kelemahan dan kelembutan. Sedangkan sutera itu sifatnya lembut dan melambangkan kewanitaan. Hal ini  berbeza dengan wanita yang dihalalkan memakai sutera kerana Allah menciptakannya dengan sifat kelembutan yang sukakan kecantikan dan kewajipannya untuk berhias demi kesenangan suaminya. (Rujuk: Nihayah al-Muhtaj, 373-374).

Penggunaan Sutera Selain daripada Pakaian

Kita sedia maklum bahawa hukum pemakaian sutera adalah haram bagi kaum lelaki dan harus bagi kaum wanita. Justeru, apakah hukum mengambil sutera sebagai alas untuk solat atau duduk dan sebagainya?

Hukum menggunakan sutera sebagai selimut, cadar atau alas untuk solat adalah seperti hukum memakai sutera iaitu diharamkan bagi lelaki dan diharuskan bagi wanita. Ini adalah pandangan jumhur ulama’ daripada mazhab Syafi’e, Maliki dan Hanbali. (Rujuk: Umdah Al-Qari' Syarh Sahih Al-Bukhari, 22/13-14; Al-Iqna', 1/198, Kasysyaf al-Qina', 1/273).

Berkata Imam Hajar al-Asqalani dalam bab ‘mengambil sutera sebagai alas’: “Hukumnya (menjadikan sutera sebagai alas) adalah sama seperti hukum (memakai sutera) dari sudut pengharaman dan keharusan”. (Rujuk: Fath al-Bari, 10/291; Irsyad al-Sari, 8/440).

Berkata Imam Hajar al-Haitami: “Dan diharamkan bagi lelaki untuk menjadikan sutera sebagai pakaian, alas untuk duduk atau bersandar, alas untuk tidur dan segala jenis penggunaan”. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 3/20 dan Al-Iqna', 1/198). Hal ini bersandarkan hadith Nabi S.A.W yang diriwayatkan daripada Huzaifah:

نَهَانَا رَسُول الله صلى الله عَلَيْهِ وَسلم عَن لبس الْحَرِير والديباج وَأَن نجلس عَلَيْهِ

Maksudnya: "Nabi S.A.W melarang kita daripada memakai sutera dan dibaj (sejenis sutera) serta duduk di atasnya."

Riwayat al-Bukhari (5837) dan Muslim (2067)

Berkata Imam al-Mawardi ketika menjawab pandangan daripada Abu Hanifah yang mengharuskan pemakaian sutera sebagai alas: “Pandangan ini adalah suatu pandangan yang bersalahan kerana keumuman hadis nabi S.A.W yang menyatakan “Dihalalkan emas dan sutera bagi wanita dalam kalangan umatku, dan diharamkan bagi kaum lelakinya”, oleh yang demikian mengambil sutera sebagai alas adalah suatu perkara yang berlebih-lebihan dalam mempamerkan kemewahan, justeru hukumnya lebih berat daripada hukum memakai sutera, maka lebih utama ia diharamkan”. (Rujuk: Al-Hawi al-Kabir, 2/478).

Justeru, diharamkan bagi kaum lelaki menggunakan sutera selain daripada pakaian seperti  sejadah, selimut, cadar dan sebagainya. Hal ini berdasarkan keumuman hadis nabi S.A.W yang melarang pemakaian sutera bagi lelaki. Tambahan pula ia merupakan simbol kemegahan dan berlebih-lebihan dalam mempamerkan kemewahan.

Hukum Sembahyang Dengan Pakaian Sutera Meskipun diharamkan bagi lelaki untuk memakai pakaian sutera atau menjadikannya alas ketika solat, namun sekiranya dia solat dalam keadaan sedemikian solatnya itu tetap sah di sisi jumhur ulama’.

Berkata Imam Ibn al-Mulaqqin: “Diharamkan mengerjakan solat dengan mengenakan pakaian yang diperbuat daripada sutera, dan barangsiapa yang melakukan hal sedemikian, maka solatnya sah tetapi dia berdosa, dan ini adalah pendapat jumhur ulama’. Dan berkata Imam Syafie dan Abu Thaur: “Perbuatan (mengenakan pakaian sutera) ketika solat itu haram, tetapi solatnya sah”. (Rujuk: Al-Taudhih li Syarh al-Jami' al-Sahih, 5/353).

Berkata Imam Ibn Nujaim: “Dan sekiranya dia menutupi dirinya dengan pakaian daripada sutera dan menunaikan solat (dalam keadaan itu), maka solatnya sah tetapi dia menanggung dosa sama seperti hukum orang yang solat di tanah yang dirampas”. (Rujuk: Al-Bahr al-Raiq Syarh Kanz al-Daqaiq, 1/283).

Imam al-Rajihi ketika mengulas tentang hukum solat dengan mengenakan pakaian daripada sutera berkata: “hukum solatnya sah tetapi dia mendapat dosa, kerana kaedah fiqh menyebutkan, sekiranya larangan itu merujuk kepada zat (syarat dan rukun), maka hukumnya boleh membatalkan solat, namun sekiranya larangan itu merujuk kepada faktor luaran, maka hal tersebut tidak membatalkan solat. Seorang Muslim hanya dituntut untuk memastikan pakaian dan badannya bersih ketika solat”. Sekiranya dia memakai pakaian bernajis maka solatnya tidak sah, namun sekiranya dia bersolat memakai pakaian daripada sutera, maka solatnya sah tetapi berdosa kerana mengenakan pakaian yang diharamkan”. (Rujuk: Syarh Umdah al-Fiqh, 1/15)

 

Kesimpulan
Setelah meneliti perbahasan di atas, dapatlah kami simpulkan masalah ini kepada beberapa perkara:

  • Hukum memakai sutera adalah haram bagi kaum lelaki dan halal bagi kaum perempuan selagi tidak melanggar batas syariat. Namun begitu, kaum lelaki diharuskan memakai sutera ketika dalam keadaan darurat seperti memakainya ketika tiada pakaian yang boleh menutupinya pada musim sejuk atau untuk tujuan perubatan (Rujuk: Al-Majmu' Syarh al-Muhadzzab, 4/437).
  • Hukum menggunakan sutera selain daripada pakaian samada di dalam solat seperti sejadah atau di luar solat seperti selimut, cadar, dan sebagainya ialah sama seperti hukum memakai sutera iaitu haram bagi kaum lelaki dan halal bagi kaum perempuan.
  • Bagi lelaki yang memakai sutera atau menggunakannya sebagai alas untuk solat, dia menanggung dosa kerana melakukan perbuatan yang haram tetapi solatnya tetap sah di sisi jumhur ulama’. Hal ini kerana perkara tersebut tidak memberi apa-apa kesan dari sudut sah dan batalnya solat mengikut hukum syarak. Wallahu a’lam.

Kami juga ingin mengingatkan kaum lelaki supaya bertaqwa kepada Allah dalam urusan meninggalkan pakaian sutera. Sesungguhnya Allah menjanjikan kenikmatan di syurga yang lebih abadi bagi kaum lelaki yang meninggalkan larangan tersebut di dunia, sebagaimana firman Allah S.W.T:

عَالِيَهُمْ ثِيَابُ سُندُسٍ خُضْرٌ وَإِسْتَبْرَقٌ وَحُلُّوا أَسَاوِرَ مِن فِضَّةٍ وَسَقَاهُمْ رَبُّهُمْ شَرَابًا طَهُورًا

Maksudnya: "Mereka di dalam syurga memakai pakaian hijau yang diperbuat daripada sutera halus dan sutera tebal (yang bertekap), serta mereka dihiasi dengan gelang tangan daripada perak; dan mereka diberi minum oleh Tuhan mereka dengan sejenis minuman (yang lain) yang bersih dan suci."

(Surah al-Insan: 21)

Semoga Allah memberikan kita semua kefahaman yang benar dalam beragama. Ameen.