Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

IF 470 JUMAAT

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu persoalan. Baru-baru ini ada institusi atau pihak yang melanggar arahan pemerintah  dengan tetap mengadakan juga solat Jumaat di dalam institusi mereka. Perbuatan ini jelas bertentangan dengan arahan pemerintah supaya tidak diadakan solat Jumaat dan sebarang mass gathering sepanjang perintah kawalan pergerakan sebagai langkah mengekang penularan wabak Covid-19. Soalan saya, adakah mereka berdosa dan solat Jumaat itu tidak sah kerana telah melanggar arahan pemerintah sekalipun mereka telah memenuhi semua syarat sah solat Jumaat? Harap dapat pencerahan mengenai perkara ini.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sabda Rasulullah SAW :

نَحْنُ الآخِرُونَ السَّابِقُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، بَيْدَ أَنَّهُمْ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِنَا، ثُمَّ هَذَا يَوْمُهُمُ الَّذِى فُرِضَ عَلَيْهِمْ فَاخْتَلَفُوا فِيهِ، فَهَدَانَا اللَّهُ، فَالنَّاسُ لَنَا فِيهِ تَبَعٌ، الْيَهُودُ غَدًا وَالنَّصَارَى بَعْدَ غَدٍ

Maksudnya : “Kita adalah umat yang terakhir (lahir ke dunia) dan umat yang terdahulu (menikmati kelebihan, ganjaran dan masuk syurga) pada hari kiamat walaupun mereka (umat terdahulu) diberikan kitab (syariat samawi) sebelum kita. Hari Jumaat ialah hari yang telah difardhukan atas mereka (untuk mendampingkan diri kepada Allah) tetapi mereka telah mempertikaikannya. Lalu Allah memberi petunjuk kepada kita sedangkan mereka menerima hari-hari berikutnya, iaitu Yahudi pada hari Sabtu dan Nasrani pula pada hari Ahad.” Riwayat al-Bukhari (876) dan Muslim (855)

Solat Jumaat adalah merupakan antara beberapa kelebihan yang dikurniakan khusus kepada umat Nabi Muhammad SAW supaya mereka mendapat kemuliaan hari Jumaat tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/198)

Secara umumnya, solat Jumaat yang didirikan adalah sah sekiranya memenuhi semua syarat-syarat yang wajib dan sah yang telah digariskan oleh para ulama. Walau bagaimanapun, para ulama telah berbeza pendapat mengenai syarat-syarat tersebut, yakni ada yang menerimanya sebagai syarat dan ada yang menolaknya sebagai syarat.

Berbalik kepada persoalan di atas, kami melihat ia termasuk dalam syarat sah solat Jumaat yang berkait rapat dengan pemerintah yang mana syarat ini diperselisihi oleh para ulama.

Keizinan am untuk melaksanakan solat Jumaat

Ulama mazhab Hanafi telah meletakan syarat, perlu mendapat keizinan am bagi melaksanakan solat Jumaat. Ibn Nujaim al-Misr al-Hanafi menjelaskan bahawa keizinan am tersebut bermakna pelaksanaannya mestilah diumumkan sehinggakan kalau pemerintah menutup pintu kubunya (tidak membenarkan orang luar) dan menunaikan solat Jumaat di dalamnya bersama ahli-ahlinya serta askar-askarnya sahaja, solat Jumaat tersebut tidak sah… sekiranya pintu dibuka dan diberi keizinan untuk orang ramai masuk (menunaikan solat Jumaat bersama), solat Jumaat tersebut sah tetapi makruh kerana ia tidak menunaikan hak Masjid Jamek. Hal ini kerana solat Jumaat adalah merupakan syiar Islam dan keistimewaan umat ini, maka pelaksanaannya mestilah diumumkan (kepada orang ramai). (Lihat al-Bahr al-Raiq, 2/162-163)

Dr. Wahbah al-Zuhaili mengatakan bahawa perlunya kepada keizinan am bagi menunaikan solat Jumaat (menurut mazhab Hanafi) kerana setiap perhimpunan memerlukan keizinan (pemerintah) bagi menghadirinya. Oleh itu, tidak akan berlaku sesuatu perhimpunan melainkan dengan keizinan (pemerintah). (Lihat Mausu’ah al-Fiqh al-Islami wa al-Qadhaya al-Mu’asirah, 2/250)

Begitu juga, Syeikh al-Islam Burhan al-Din al-Marghinani menyebutkan tidak boleh melaksanakan solat Jumaat melainkan oleh pemerintah atau sesiapa yang diberi arahan olehnya (sebagai Imam dan Khatib) kerana ia didirikan di Masjid Jamek. Hal ini kerana berkemungkinan berlaku perselisihan pada siapa yang patut mengetuai (mengimami) dan diutamakan. Dan kemungkinan juga boleh terjadi pada hal selainnya. Oleh itu, arahan bagi imam dan khatib mesti daripada pemerintah bagi menyempurnakan kewajipan solat Jumaat tersebut. (Lihat al-Hidayah Syarh Bidayah al-Mubtadi, 1/82)

Manakala jumhur ulama menyatakan bahawa keizinan pemerintah, mahupun kehadirannya bukan syarat sah solat Jumaat kerana Ali bin Abi Talib R.A telah mengimamkan solat Jumaat ketika Uthman bin Affan R.A dikepung (disekat) oleh pemberontak. Tidak ada seorang pun dalam kalangan sahabat yang mengingkari perkara tersebut. Malah, Uthman sendiri telah membenarkan dan mengarahkan manusia untuk solat bersama mereka sebagaimana katanya :

الصَّلاَةُ أَحْسَنُ مَا يَعْمَلُ النَّاسُ، فَإِذَا أَحْسَنَ النَّاسُ، فَأَحْسِنْ مَعَهُمْ، وَإِذَا أَسَاءُوا فَاجْتَنِبْ إِسَاءَتَهُمْ

Maksudnya : “Solat adalah sebaik-baik amalan yang dilakukan oleh manusia. Oleh itu, sekiranya orang ramai melakukan kebaikan (dengan mendirikan solat), maka lakukanlah kebaikan (mendirikan solat) bersama mereka. Dan sekiranya mereka melakukan keburukan (kesalahan), maka jauhilah keburukan mereka itu.” Riwayat al-Bukhari (695)

Selain itu, kewajipan solat Jumaat adalah fardu ain. Oleh itu, tidak disyaratkan padanya keizinan pemerintah sebagaimana solat zuhur (tidak perlu kepada keizinan pemerintah untuk melaksanakannya). Juga kerana ia adalah solat sepertimana solat-solat yang lain. (Lihat al-Mughni, 2/245; Badai’ al-Sanai’  fi Tartib al-Syarai’, 1/268 dan Mausu’ah al-Fiqh al-Islami wa al-Qadhaya al-Mu’asirah, 2/250)

Oleh itu, kami cenderung kepada pendapat bahawa keizinan pemerintah atau kehadirannya bukanlah syarat sah solat Jumaat sebagaimana pendapat jumhur ulama dalam kalangan mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali.

Melanggar arahan pemerintah yang melarang mendirikan solat Jumaat bagi mengekang penularan wabak Covid-19

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa solat Jumaat yang didirikan adalah sah sekiranya memenuhi semua syarat yang telah ditetapkan tetapi berdosa kerana telah mengingkari arahan pemerintah.

Hal ini kerana pemerintah berhak mengadakan apa-apa polisi dan peraturan bagi menjaga kemaslahatan rakyat. Di sini jelas bahawa larangan mengadakan sebarang mass gathering (perhimpunan ramai), termasuklah solat Jumaat sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan adalah demi kemaslahatan rakyat iaitu mengekang atau membendung penularan wabak Covid-19. Juga arahan yang dikeluarkan itu, tidak ada unsur maksiat padanya kerana ia melibatkan maslahah rakyat yang patut diutamakan, yang mana ianya hanya berlaku setelah perbincangan yang panjang melibatkan badan-badan berautoriti serta pakar-pakar dalam bidang masing-masing, bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam surah al-Nahl ayat 43, supaya merujuk kepada ahl al-Zikr iaitu golongan yang pakar dalam bidang masing-masing.

Perkara ini juga bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan :

دَرْءُ الْمَفَاسِدِ أَولَى مِن جَلب المصَالِح

Maksudnya : “Menolak mafsadah (keburukan) adalah lebih utama berbanding mendatangkan kebaikan.”

Justeru, arahan yang dikeluarkan adalah bersifat menolak sedaya mungkin faktor-faktor yang boleh mendatangkan kemudaratan yang lebih besar meskipun terpaksa mengenepikan beberapa maslahah-maslahah yang tertentu.

Oleh itu, mentaati pemerintah dalam perkara ini adalah wajib dan sesiapa yang mengingkarinya adalah berdosa kerana perbuatannya itu bukan sahaja mendedahkan dirinya kepada kemudaratan tetapi juga orang lain. Juga sebagai mematuhi perintah Allah SWT dan rasulNya supaya mentaati pemerintah dalam perkara-perkara yang makruf. Perkara ini kami telah bahaskan secara panjang lebar di dalam ruangan Irsyad al-Fatwa Siri ke-457.[1]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa solat Jumaat yang didirikan adalah sah sekiranya memenuhi semua syarat yang telah ditetapkan tetapi berdosa kerana telah mengingkari arahan pemerintah.

Sebagai seorang rakyat yang bertanggungjawab, sepatutnya sama-sama menyokong dan membantu ulil amri (pemerintah) dalam hal-hal yang makruf (baik). Lebih-lebih lagi, dalam suasana sekarang yang mana negara sangat memerlukan sokongan semua rakyat agar mematuhi perintah dan arahan yang telah dikeluarkan dalam membendung penularan wabak Covid-19.

Oleh itu, kami sekali lagi ingin menasihati semua agar patuhilah arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Sekiranya kita tidak mampu membantu pemimpin dan kerajaan kita dengan harta dan tenaga dalam membendung penularan wabak Covid-19 ini, sekurang-kurangnya marilah kita sama-sama membantu mereka dengan mengikuti arahan dan perintah yang dikeluarkan. Mudah-mudahan perkara tersebut menjadi amal kebajikan kita di hari akhirat kelak.

Semoga Allah SWT menghilangkan wabak yang sedang melanda negara kita dengan segera serta melindungi kita semua. 

 

[1] Lihat https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/4332-irsyad-al-fatwa-siri-ke-457-wajibkah-mengikut-arahan-pemerintah-untuk-tidak-pergi-ke-masjid.