Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

tiktok

 

 

SOALAN

Saya  lihat trend terkini pelbagai video  TikTok  telah tersebar luas di media sosial dan mudah menjadi ikutan masyarakat tanpa mengira usia. Persoalan saya, Apakah hukum bermain TikTok ? Mohon pencerahan, Terima kasih

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda  SAW hingga ke hari kiamat.

Konsep permainan TikTok

TikTok merupakan aplikasi telefon yang  membenarkan pengguna merakam  video yang diiringi pelbagai genre muzik sebagai latar belakang. Iringan muzik tersebut boleh dipercepatkan, diperlahankan dan boleh ditapis dengan  beberapa pengubahsuaian. Pengguna juga boleh menghasilkan  video komedi dan melakukan  pergerakan mulut secara senyap  seiring dengan rentak muzik yang popular  (lip-sync).   Selain itu, TikTok menyediakan  perkhidmatan  untuk  menyebar luas video yang telah dihasilkan rangkaian  media sosial. [1]   Dapat difahami  bahawa TikTok   hanyalah sebuah  aplikasi yang akan dicorakkan oleh penggguna untuk menari mengikut rentak yang dimainkan dalam tempoh beberapa minit. Kemudian, permain TikTok boleh berkongsi video yang dirakam ke rangkaian media sosial. Aplikasi sejenisnya seperti  Musicly  dan Dubsmash

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami akan membahagikan kepada dua perbahasan iaitu hukum bermain TikTok dan hukum memuatnaik video TikTok ke  rangkaian media sosial bagi tatapan umum. Hal ini video TikTok  mudah tersebar luas dengan pantas  hanya dihujung jari  sekaligus  menjadi  ikutan masyarakat tanpa mengira usia sama ada  lelaki mahupun wanita.

Hukum bermain TikTok

Pada dasarnya sebarang  aplikasi media sosial  seperti Facebook, Twitter, Youtube, WhatsApp, Instagram mahupun TikTok yang digunakan untuk perkara yang manfaat adalah dibolehkan.  Hal ini bertepatan kaedah  berikut :

الأصل في الأشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم

Maksudnya:” Pada asal sesuatu hukum itu adalah diharuskan, sehingga terdapat dalil ke atas pengharamnya

Pengguna  yang bertanggungjawab  mengurus sebarang aplikasi sama ingin memandu kepada jalan yang bermanfaat mahupun jalan yang membawa kerosakan. Justeru,  hukum harus boleh berubah kepada hukum lain tertakluk cara pengguna mengendalikannya. Hal ini, situasi gambaran isu  kadangkala boleh menatijahkan hukum yang berbeza berdasarkan  kaedah umum yang menyebut:

الحكم على الشيئ فرع عن تصوره

Maksudnya:Hukum terhadap sesuatu perkara merupakan cabang daripada  gambarannya'

 (Lihat al-Ta'rifat, (59); al-Kulliyyat, 290)

Aplikasi TikTok  boleh dikategorikan sebagai  hiburan.  Persoalannya, adakah bermain TikTok termasuk hiburan  yang dibenarkan syarak ?  

Beberapa penetapan hukum dalam hiburan  antaranya ialah:

  • Makruh, sekiranya hiburan itu tidak memberi sebarang kesan baik  kepada manusia kerana melakukan perbuatan yang tidak berfaedah.
  • Haram, sekiranya membawa keburukan kepada inidividu dan masyarakat. Ini seperti perbuatan yang bercampur dengan perkara yang diharamkan syarak
  • Dibenarkan dan digalakkan, sekiranya hiburan itu memberi kesan yang baik kepada individu dan masyarakat (Lihat  al-Fiqh al-Manhaji, 3/521-522)

Merujuk kepada fungsi TikTok mahupun sebarang persamaan aplikasi tersebut yang merakam pelbagai   gaya tarian  mengikut genre muzik, maka  permainan video TikTok hanya sia sia dan tidak mendatang sebarang faedah dan kategori hiburan yang dihukumkan makruh.

Hadis yang diriwayatkan daripada Uqbah bin Amir RA, daripada Nabi SAW:

لَيْسَ مِنَ اللَّهْوِ إِلاَّ ثَلاَثٌ ‏:‏ تَأْدِيبُ الرَّجُلِ فَرَسَهُ وَمُلاَعَبَتُهُ أَهْلَهُ وَرَمْيُهُ بِقَوْسِهِ وَنَبْلِهِ

Maksudnya: Tidak termasuk perkara yang hiburan sia-sia melainkan tiga perkara: Seseorang yang melatih kudanya, bermesra dengan isterinya dan memanah dengan menggunakan busur anak panahnya.

Hadis riwayat Abi Daud (2513)

Hukum Memuatnaik Video Tik Tok

Kami bahagikan perbahasan hukum memuatnaik video TikTok kepada dua jenis permainan iaitu video  (lip-sync) dan  video tarian  TikTok

  • (Lip-sync)

Pengguna aplikasi TikTok  boleh merakam  (lip-sync) iaitu pergerakan mulut serta  menunjukkan aksi-aksi mimik muka  mahupun menjeler lidah dan melibatkan sebahagian pergerakan   anggota badan dengan  iringan muzik yang dimainkan.  Gaya tersebut  jelas menghilangkan akhlak sebagai seorang muslim sejati.  Walaupun video  TikTok yang dimuatnaik  hanya melibatkan pergerakan mimik  muka  namun dikhuatiri  video tersebut punca menaikkan syahwat  bagi setiap mata yang memandang  sekalipun pemain video TikTok wanita yang menutup  aurat.  Hal  tersebut  dibimbangi dengan kadar sangkaan yang kuat (ghalabah az-zhan) menimbulkan fitnah dan kemudaratan pada agama.  Maka ia diharamkan berdasarkan kaedah sadd al-zarai’, iaitu mencegah perkara-perkara yang boleh membawa kepada yang haram. Hal ini bertepatan kaedah fiqh  berikut :

ما أدى إلى الحرام فهو حرام

MaksudnyaApa sahaja yang membawa kepada yang haram, maka ia haram.

Ini juga berdasarkan satu kaedah:

اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ

Maksudnya: “Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan”.

Kaedah ini diambil daripada kata-kata Saidina Umar RA:

مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ

Maksudnya:” Barangsiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, akan ditohmah”

Apa jua perkara yang berisiko menimbulkan fitnah, hendaklah sedaya upaya dielakkan kerana ia akan memberi kesan yang buruk untuk jangka masa pendek mahupun panjang.

Begitu juga tujuan penggunaan aplikasi video TikTok  untuk  menyebarkan  perkara yang boleh mengundang fitnah sesama manusia:

الوسائل لها أحكام المقاصد

Maksudnya: Kesemua wasilah (cara) baginya adalah berdasarkan hukum yang hendak dicapai

  • Tarian TikTok

Realiti  terkini,   tarian  Tiktok Suling Sakti Sponge Bob sedang menjadi trend  ikutan masyarakat  rentetan video  TikTok   mudah tersebar luas  di alam maya. Tarian tersebut melibatkan pergerakan tangan, dada dan punggung  yang  berlatar belakang muzik.  Bahkan, segelintir pemain TiKTok bercampur gaul antara  lelaki dan perempuan dalam merakam  tarian dengan gaya yang memberahikan tanpa rasa malu. Hal ini jelas telah  menimbulkan fitnah  dan syahwat bagi sesiapa  yang memandang. Ini bertentangan dengan syariat  Islam yang sangat menitikberatkan batas-batas pergaulan dan penjagaan aurat  sesama manusia dalam  kehidupan seharian.

 Firman Allah SWT :

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّـهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ ﴿٣٠﴾ وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. (30) Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.

Surah al-Nur (30-31)

Ayat di atas adalah merupakan perintah daripada Allah SWT kepada Nabi agar berpesan kepada orang-orang lelaki beriman supaya menundukan pandangan mereka daripada wanita-wanita dan aurat-aurat yang tidak halal buat mereka (Lihat: al-Tafsir al-Muyassar, (353)

Dr. Wahbah Zuhaili dalam tafsirnya menyatakan bahawa menjaga pandangan dan kemaluan merupakan satu kehormatan dan kemuliaan. Ianya bertujuan untuk menutup pintu kerosakan dan mencegah daripada terjadinya sesuatu perkara yang haram. (Lihat: al-Tafsir al-Wasit li al-Zuhaili ( 2/1746)

Nabi SAW bersabda :

لَا يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ، وَلَا الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ

Maksudnya : “Janganlah seorang lelaki melihat aurat lelaki lain, dan seorang perempuan melihat aurat perempuan lain” 

Riwayat  Muslim (338)

Sehubungan itu, permainan video TikTok hanyalah  sia-sia dan tidak mendatangkan sebarang faedah. Bahkan,  trend gaya  tarian Tiktok   jelas menghilangkan nilai akhlak seorang muslim sejati  selain mengundang mudarat kepada agama dan ancaman  fitnah.

Rasulullah SAW bersabda:

أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا

Maksudnya: “Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya.

Riwayat al-Tirmizi (11).

 

Penutup

Setelah meneliti hujah yang dibentangkan, permainan video TikTok yang   merakam pelbagai   gaya tarian  mengikut genre muzik hanya  perbuatan  sia-sia dan tidak mendatang sebarang faedah.   Adapun,  pemain TikTok dilarang memuat naik video tarian  TikTok  mahupun aksi mimik (Lyp Sinc)  di media sosial. Larangan tersebut  bertujuan  menutup pintu kerosakan (sadd al-zara’i) selain  boleh   menimbulkan ancaman  fitnah bagi sesiapa  yang melihatnya.

Oleh yang demikian, umat Islam perlu memelihara diri daripada  sebarang hiburan yang tidak mendatangkan faedah serta boleh menjatuhkan maruah individu sekaligus  mengugat nilai-nilai akhlak seorang mukmin. Semoga kita terhindar daripada golongan tersebut, Sabda Rasulullah SAW :

لَيَكونَنَّ مِن أُمَّتي أقْوامٌ، يَسْتَحِلُّونَ الحِرَ والحَرِيرَ، والخَمْرَ والمَعازِفَ

Maksudnya : Sungguh akan ada sebagian dari umatku yang menghalalkan zina, sutera, minuman keras, dan alat-alat musik

Riwayat al-Bukhari ( 5590)

Akhir kalam,  kami berdoa agar Allah SWT memberikan kefahaman yang baik  dalam beragama dan  menjalani kehidupan  mengikut neraca syariah  yang sebenar.

.

 

[1] https://en.wikipedia.org/wiki/TikTok